MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM BIL. 1 TAHUN 2023

UCAPAN YAB TUAN CHOW KON YEOW KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM BIL. 1 TAHUN 2023

17 JANUARI 2023 DEWAN SRI PINANG

 

Yang Berhormat Dato' Law Choo Kiang

Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Dato’ Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin

Bin Abd Rahman

Timbalan Ketua Menteri I

Yang Berhormat Prof. Dr. P. Ramasamy A/L Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri II

Yang Berhormat Dato’ Mohd Sayuthi Bin Bakar

Setiausaha Kerajaan Negeri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri

Yang Berbahagia Dato’ Seri/ Dato’-Dato/ Datin

Yang Berbahagia Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan

Pegawai-pegawai Kanan, Rakan-rakan Media dan Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.

 

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera, Salam Penang2030.

Pertamanya izinkan saya panjatkan kesyukuran atas kesempatan untuk kita semua berkumpul secara fizikal pada pagi ini dalam Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang.

Terima kasih dan sekalung penghargaan saya ucapkan kepada para hadirin sekalian yang sudi hadir ke perhimpunan kali pertama bagi tahun 2023. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang terutamanya kepada penjawat awam Negeri Pulau Pinang.

Komitmen anda sekalian untuk menghadiri Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang pada pagi ini amatlah saya hargai. Pada hari ini, bagi saya bukanlah sekadar memenuhi undangan atau arahan semata, namun ianya adalah satu manifestasi kesetiaan kita kepada organisasi keramat ini. Tahniah saya ucapkan!

Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan urusetia yang terlibat di atas usaha untuk menganjurkan Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang pada kali ini.

BAJET 2023

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Seperti yang kita ketahui, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengumumkan pemberian Bantuan Kewangan Khas (BKK) akhir tahun 2022 kepada 3,920 penjawat awam negeri ini sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,200. Ini merupakan satu penghargaan bagi penjawat awam Negeri Pulau Pinang yang telah mencapai pelbagai kejayaan dalam perkhidmatan pada tahun lalu. Pulau Pinang amatlah beruntung kerana memiliki barisan penjawat awam yang berdedikasi, berintegriti dan komited untuk memastikan dasar-dasar Kerajaan Negeri dilaksanakan dengan jayanya.

 

Kerjasama yang erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan amatlah penting bagi memastikan pembangunan infrastruktur di negeri kita akan terus maju ke hadapan. Di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Tahun 2023, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyasarkan 126 projek pembangunan dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM17.72 bilion dan peruntukan yang diperlukan bagi tahun 2023 berjumlah RM2.89 bilion.

 

Daripada 126 projek yang disenaraikan, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti 10 projek perlu diberikan keutamaan yang pastinya akan memberikan impak yang besar dan memberi kesan langsung kepada peningkatan taraf hidup rakyat Negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan kos berjumlah RM2.27 bilion bagi pelaksanaan projek tersebut.

Selain itu, di kesempatan ini juga saya ingin memohon kerjasama pegawai-pegawai peneraju dan semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek-projek di Negeri Pulau Pinang agar komited dalam mematuhi jadual pelaksanaan projek seperti yang telah ditetapkan agar projek-projek yang tertunggak dapat diselesaikan dengan kadar segera pada suku pertama tahun ini agar pelaksanaan projek tidak tersimpang jauh daripada jadual asal selaras dengan visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, yang memfokuskan empat indikator utama iaitu meningkatkan daya huni bagi menambah baik kualiti kehidupan, menaik taraf ekonomi bagi meningkatkan pendapatan isi rumah, memperkasa rakyat bagi meningkatkan penyertaan awam, dan melabur dalam persekitaran terbina bagi menambah baik daya pemulihan.

PERUBAHAN CUACA

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Seperti mana yang kita ketahui, negara kita telah mengalami fasa peralihan monsun yang bermula pada 3 Oktober 2022 dan  berterusan sehingga awal November 2022 yang lalu. Peralihan monsun ini juga menyebabkan berlakunya bencana luar jangka termasuk Negeri Pulau Pinang. Hal ini juga telah menjejaskan ramai pihak termasuklah penjawat awam Negeri Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sangat komited dalam membantu rakyat Negeri Pulau Pinang yang terlibat dengan banjir. Pelbagai inisiatif  telah diambil dengan kesiapsiagaan jentera yang kuat bagi membantu rakyat yang terlibat dengan bencana luar jangka ini, termasuk pelaksanaan projek-projek tebatan banjir bagi mengurangkan kesan banjir seperti yang telah saya rasmikan di beberapa kawasan yang terlibat.

 

Melalui projek ini, Kerajaan Negeri telah melantik Focal Persons dan mengadakan Bengkel Pengoperasian Pengurusan Bencana Negeri Pulau Pinang yang melibatkan 70 peserta dari Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan dan Agensi di Negeri Pulau Pinang.

 

Peruntukkan khas yang diluluskan oleh Jabatan Kewangan Negeri berjumlah RM400,000 ini akan diagihkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah bagi tujuan pembelian aset dan bekalan sebagai langkah persediaan dalam menghadapi bencana banjir luar jangka. Oleh itu, saya ingin ingatkan kepada semua jabatan terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Kerja Raya untuk memastikan sistem saliran di negeri kita berada dalam keadaan baik. Hal ini kerana, permasalahan sistem saliran yang tersumbat juga boleh menjadi punca utama bencana banjir.

TELEKOMUNIKASI 5G

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Sekiranya kita bercakap mengenai teknologi, sudah tentu kita dapat perhatikan perubahan-perubahan yang berlaku untuk menjadi kuasa besar dunia. Negeri Pulau Pinang merupakan negeri pertama telah memasuki fasa jaringan komunikasi 5G yang sekali gus menjadi faktor utama pertumbuhan ekonomi terutamanya bagi sektor perindustrian dan perkhidmatan di dunia.

 

Kerajaan Negeri amat komited untuk menambah baik infrastruktur telekomunikasi melalui Pelan Induk Kesalinghubungan Pulau Pinang (PCMP) bersama-sama sembilan syarikat telekomunikasi tempatan yang sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi merancakkan pembangunan infrastruktur telekomunikasi di negeri ini.

 

Rangkaian 5G ini membolehkan ketersambungan internet yang lebih pantas dan seterusnya pasti akan memberikan banyak manfaat kepada semua terutamanya kepada penjawat awam negeri bagi kelangsungan pekerjaan harian khususnya. Saya berharap dengan adanya kemudahan rangkaian 5G ini, semua penjawat awam negeri dapat melaksanakan tugasan harian dengan lebih cemerlang dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

 

PENUTUP

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Saya tidak mahu mengambil masa yang panjang. Akhir kata, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua anggota penjawat awam yang terlibat dalam menjayakan majlis pada hari ini. Teruskan berkhidmat dengan baik, kompeten dan bersatu hati dalam merealisasikan aspirasi Visi Penang2030.

 

Menutup ucapan saya pada pagi ini, izinkan saya berkongsi petikan kata hikmah oleh Bapa Kemerdekaan Negara, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj:

 

"Kita semua adalah rakyat Malaysia. Inilah ikatan yang

menyatukan kita. Marilah kita selalu ingat bahawa

perpaduan adalah kekuatan asas kita sebagai rakyat

dan sebagai sebuah negara."

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang