MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH KEPADA PEMENANG-PEMENANG PROGRAM “LOVEPENANG STREET FOOD COMPETITION 2022”

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH

KEPADA PEMENANG-PEMENANG PROGRAM “LOVEPENANG STREET FOOD COMPETITION 2022”

17 JANUARI 2023 

AUDITORIUM A, TINGKAT 5, KOMTAR 

 

YB Yeoh Soon Hin

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif

 

YBrs. Encik Azman bin Sirun

Pengarah, Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) , mewakili Datuk Bandar MBPP

 

YBrs. Encik Mohd Faidzal bin Hassan

Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Perhubungan Komuniti Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), mewakili Datuk Bandar MBSP

Para Pemenang Program “LovePENANG Street Food Competition 2022”

 

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur dan mengalu-alukan kehadiran semua ke Majlis Penyampaian Hadiah kepada Para Pemenang Program “LovePENANG Street Food Competition 2022” pada petang yang berbahagia ini.

Sepertimana yang semua sedia maklum, penganjuran program ini merupakan kesinambungan daripada kempen ❤️PENANG (LovePENANG), dengan matlamat bagi memupuk semangat perpaduan dengan penyertaan dan penglibatan rakyat melalui pelbagai aktiviti komuniti yang menarik.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Pertandingan “LovePENANG Street Food Competition 2022” adalah salah satu usaha dan pendekatan untuk mempromosikan Pulau Pinang sebagai salah satu ibu kota makanan jalanan terbaik yang penuh dengan keaslian, keunikan dan variasi makanan yang amat sinonim dengan ungkapan “syurga makanan”.

Seperti yang diketahui umum, Pulau Pinang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai salah satu bandar makanan jalanan terbaik di dunia dan pengiktirafan Michelin baru-baru ini mencerminkan keunikan budaya negeri Pulau Pinang yang berbilang kaum dalam dunia gastronomi.

Apabila kempen Penang Street Food ini telah dilancarkan, hampir 1,600 gerai dari seluruh Pulau Pinang telah mendaftar untuk menyertai Pertandingan “LovePENANG Street Food Competition 2022”, yang terdiri daripada 21 kategori makanan berbeza seperti char koay teow, nasi kandar, mee sotong dan laksa.

Pertandingan ini telah dijalankan dengan kaedah yang mudah di mana pelanggan akan menggunakan telefon pintar mereka untuk mengimbas kod QR yang telah diberikan kepada gerai semasa pendaftaran supaya para pelanggan dapat mengundi gerai-gerai tersebut.

Sepanjang tempoh pertandingan ini berlangsung, pihak penganjur telah menerima lebih daripada 260,000 undi oleh lebih 120,000 orang pengundi.

Terima kasih atas sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat bagi semua gerai yang mengambil bahagian.

Para hadirin sekalian,

Setelah dilaksanakan hampir dua (2) bulan bermula 20 September hingga 30 November 2022, kini tiba masanya untuk kita umumkan para pemenang, di mana setiap kategori mempunyai tiga (3) pemenang: tempat pertama, kedua dan ketiga dan masing-masing akan menerima ganjaran wang tunai sebanyak RM5,000, RM3,000 dan RM1,000.

Saya berharap ganjaran ini akan meningkatkan, menggalakkan serta memberi motivasi kepada para pemenang untuk terus mengorak langkah dan mencipta kemenangan yang lebih besar pada masa hadapan.

Tatkala kita meraikan kempen LovePENANG dengan pelbagai program dan inisiatif, Kerajaan Negeri juga berharap ia akan membuka lembaran baharu bagi seluruh rakyat Pulau Pinang untuk bangkit dan bertindak dalam membina masyarakat yang bukan sahaja penyayang serta harmoni tetapi juga berdaya tahan untuk mengekalkan budaya, warisan dan identiti kita.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pemenang dan semua yang terlibat dalam menjayakan majlis pada petang ini. Semoga pengiktirafan dan penghargaan seumpama ini akan menjadi pendorong dan penyuntik semangat untuk lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang