MAJLIS PERASMIAN PAMERAN MERGASTUA: TAXIDERMY = ART + SCIENCE COMBINED
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
PAMERAN MERGASTUA:
TAXIDERMY = ART + SCIENCE COMBINED
28 JANUARI 2023 (SABTU)
GALERI ARAS 3,
BALAI SENI LUKIS NEGERI PULAU PINANG
YB Yeoh Soon Hin
EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif
Yang Berusaha Encik Lee Khai
Pengerusi Jawatankuasa Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang
Yang Berusaha Puan Haryany binti Mohamad
Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang
Ahli-Ahli Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang
Ahli-Ahli Jawatankuasa Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang
Para Artis Program Drawingthon
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang dan juga Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang atas penganjuran pameran yang sungguh unik dan luar daripada kebiasaannya pada petang yang berbahagia ini.
Dalam suatu suasana yang alterasi, hari ini kita semua berpeluang untuk melihat seluruh galeri ini dihuni oleh haiwan-haiwan yang pada suatu ketika dahulu pernah bernyawa dan hidup dalam habitatnya.
Inilah kelainan yang disajikan melalui penganjuran Pameran Mergastua yang dianjurkan buat kali kedua di negeri Pulau Pinang, yang jarang sekali diketengahkan oleh mana-mana institusi seni.
Tahniah dan syabas sekali lagi kepada Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang dan juga Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang!
Hadirin yang dihormati sekalian,
Berlangsung selama lebih dua (2) bulan iaitu bermula 3 Januari hingga 16 Mac 2023 ini, saya pasti Pameran Mergastua ini telah membawa suatu dimensi baharu kepada setiap lapisan masyarakat untuk dihayati.
Dengan gabungan seni dan kepakaran di bawah kaedah taksidermi (taxidermy), telah membolehkan spesis-spesis ini dihayati dengan nyata. Taksidermi merupakan satu kaedah yang merakam secara fizikal bentuk serta rupa asal haiwan-haiwan.
Kaedah ini amat penting pada masa kini kerana di sebalik dunia yang kian pesat membangun, kita juga berhadapan dengan krisis kepupusan haiwan dan dengan pengetahuan ilmu dalam bidang taksidermi, walaupun haiwan tersebut pupus, generasi akan datang masih mempunyai peluang untuk melihat haiwan ini pada asal ciptaannya.
Usaha untuk menganjurkan pameran sebegini wajar diberikan pujian kerana ada di antara spesis-spesis haiwan yang hanya pernah dilihat dari jauh sama ada di zoo, akuarium, hutan atau melalui kaca televisyen. Namun pada kali ini, haiwan-haiwan ini seakan-akan jinak berada di sekeliling kita.
Haiwan-haiwan yang menjalani proses taksidermi ini bukan sahaja untuk diperagakan bagi tujuan tatapan pelawat tetapi juga lebih daripada itu, iaitu bagi tujuan penyelidikan dan kajian. Pameran ini turut membawa kita menelusuri keajaiban alam fauna yang penuh berwarna-warni dan misteri di mana melalui pameran ini, ia juga mendidik kita bahawa sesungguhnya setiap haiwan ini juga mempunyai watak dan peranan yang berbeza dalam kitaran alam ini semasa hayatnya.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Kita amat mengalu-alukan usaha murni sedemikian dan akan terus serta sentiasa memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi dalam apa jua usaha untuk menjadikan masyarakat lebih prihatin dan mempunyai nilai kasih sayang yang tinggi bukan sahaja sesama manusia tetapi juga makhluk-makhluk lain ciptaan Tuhan.
Saya berharap agar pameran ini dapat menjadi pelopor atau perintis kepada muzium dan balai seni ini untuk terus melipat gandakan usaha agar pameran-pameran sebegini akan diteruskan pada masa-masa yang akan datang.
Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada YB Yeoh Soon Hin selaku Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, Puan Haryany binti Mohamad (Pengarah) serta seluruh warga kerja yang terlibat atas usaha murni dan komitmen dalam merealisasikan pameran ini.
Saya berharap pameran ini dapat menarik penyertaan dan penglibatan setiap lapisan masyarakat, khususnya warga Pulau Pinang untuk sama-sama memberi kerjasama dan sokongan terhadap pameran ini.
Akhir kata saya dengan penuh sukacitanya merasmikan pameran MERGASTUA: Taxidermy= Art + Science Combined.
Sekian, terima kasih.