MAJLIS PELANCARAN BULAN PEMERKASAAN WANITA (WEM) 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN

BULAN PEMERKASAAN WANITA (WEM) 2023

 

12 MAC 2023

SPICE CONVENTION CENTRE

 

*Salutasi di rostrum*

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

 

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada TalentCorp selaku penganjur Majlis Pelancaran Bulan Pemerkasaan Wanita atau Women Empowerment Month (WEM) 2023 pada petang yang berbahagia ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya amat berbesar hati dan menghargai usaha dan komitmen yang telah diberikan oleh semua pihak terutamanya Menteri Sumber Manusia, YB V. Sivakumar dan pasukan dari Kementerian Sumber Manusia termasuk TalentCorp, kerana memilih negeri ini sebagai tuan rumah bagi penganjuran acara yang julung kali diadakan ini.

Selain itu, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Timbalan Menteri, YB Hajah Aiman Athirah binti Sabu dan seluruh warga kerja Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang turut mengambil bahagian dalam acara ini. Terima kasih atas sokongan dan dukungan terutama dalam pembangunan agenda wanita ke arah kemampanan Malaysia.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Selaras dengan tema Hari Wanita Antarabangsa tahun ini iaitu “Embrace Equity”, sudah tiba masanya kita menepis dan menangani pandangan stereotaip berhubung peranan berasaskan gender dan tanggungjawab tradisional yang diharapkan ke atas kaum wanita.

Mengikut statistik, penglibatan wanita dalam sektor ekonomi masih rendah iaitu pada aras 55.5 peratus berbanding lelaki pada aras 80.9 peratus pada tahun 2021.

Sehubungan itu, amalan “Diversity, Equity and Inclusion” (ataupun D-E-I) dilihat sebagai langkah bertepatan bagi membolehkan peningkatan peluang untuk kaum wanita terus bekerja, di samping menggalakkan golongan lelaki untuk sama-sama memikul dan mengukuhkan tanggungjawab rumahtangga dan keluarga.

Selain bantuan wang tunai, adalah penting untuk kita mengkaji dan melihat semula akan keperluan terutama dalam penyediaan infrastruktur dan persekitaran yang selesa bagi membolehkan para ibu bapa untuk terus bekerja tanpa kegusaran dan kerisauan.

Inilah antara topik hangat yang sering dibincangkan iaitu penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak atau child care centre berdekatan tempat kerja yang turut menjadi amalan D-E-I.

Dan untuk aspek ini, Pulau Pinang amat bangga kerana kita telah dipilih menjadi tuan rumah atau perintis dalam inisiatif industry-driven child care centre yang pertama di Malaysia, dipacu oleh Micron Memory Sdn. Bhd. di Batu Kawan. Terima kasih TalentCorp sebagai rakan kongsi strategik yang menyokong usaha ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Untuk mencapai aspirasi Malaysia MADANI di mana tidak ada rakyat yang tertinggal dalam aspek pembangunan, saya percaya bahawa amalan D-E-I adalah salah satu daripada kunci asasnya.

Dan sekali lagi, kita di Pulau Pinang yakin bahawa negeri ini berada atas landasan yang tepat memandangkan komponen-komponen dalam D-E-I ini sudah pun digabungkan dalam pelan tindakan Visi Penang2030 dengan matlamat menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Visi ini dibangunkan sejajar dengan 17 Matlamat Pembangunan Mampan SDG dan dipacu dengan jayanya oleh Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) iaitu agensi pelaksana negeri yang memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan wanita  dan usaha kesaksamaan gender di peringkat negeri. 

Saya mengambil peluang ini untuk menyarankan agar YB V. Sivakumar boleh mengetengahkan pembaharuan dalam Kementerian Sumber Manusia dan Kerajaan Pusat, memandangkan Dasar 30 peratus golongan wanita sebagai pembuat keputusan sudah melebihi sedekad lamanya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Usaha mencapai kesaksamaan dalam memartabatkan wanita merupakan satu perjalanan yang jauh, namun ianya bukan misi yang mustahil di mana kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan.

Justeru, inisiatif “Women Empowerment Month 2023” ini merupakan contoh terbaik dalam memacu agenda D-E-I negara, dan saya berharap program ini memberi inspirasi kepada lebih banyak pihak berkepentingan, baik syarikat-syarikat tempatan mahupun antarabangsa.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Kementerian Sumber Manusia serta TalentCorp atas inisiatif ini. Semoga kesemua aktiviti-aktiviti ini berterusan dan memberikan kesedaran kepada semua, kerana "the world will never realise 100% of its goals if 50% of its people cannot realise their full potential.”

Selamat Hari Wanita dan terima kasih semua.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang