MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL ALAM KITA 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN

KARNIVAL ALAM KITA 2023

 

12 MAC 2023 (AHAD)

PERKARANGAN STADIUM BATU KAWAN

YB Nik Nazmi bin Nik Ahmad

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim

YB Dato' Sri Huang Tiong Sii

Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim

Yang Berbahagia Dato’ Haji Rosli bin Isa

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim

Yang Berbahagia Dato’ Mohd Sayuthi bin Bakar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan dan Negeri

Para Pegawai Kementerian dan Kerajaan Negeri

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir di Majlis Perasmian Karnival Alam Kita Tahun 2023 pada pagi yang berbahagia ini.

Bagi pihak tuan rumah, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan saya, YB Nik Nazmi bin Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan pasukan atas kesudian memilih memilih Pulau Pinang sebagai negeri pertama bagi penganjuran Karnival Alam Kita ini.

Sesungguhnya, saya amat berbesar hati dan menyambut baik penganjuran acara yang cukup bermakna ini, tambah-tambah lagi ia diadakan di Parlimen Batu Kawan ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Dengan objektif untuk memperkasa dan menerapkan budaya dan gaya hidup hijau di samping meningkatkan literasi kelestarian alam sekitar, saya kira penganjuran karnival yang berlangsung selama dua (2) hari ini telah membuktikan dengan jelas komitmen dan usaha berterusan bukan sahaja kepada Kementerian yang bertanggungjawab, tetapi juga kepada kita semua yang ada di bumi ini.

Selain itu, suka untuk saya nyatakan juga bahawa penganjuran ini sangat bertepatan dan selari dengan usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mengarusperdanakan kelestarian dari segi alam sekitar, ekonomi dan sosial dalam perancangan pembangunan bersepadu Pulau Pinang untuk menjadikan Pulau Pinang negeri hijau yang dipacu oleh ekonomi hijau menjelang tahun 2030.

Begitu juga Kerajaan Negeri telah sasarkan menjelang tahun 2050, Pulau Pinang akan menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi, penyayang, inklusif, rendah karbon dan berdaya tahan yang menekankan integriti rakyatnya dan alam sekitar, termasuk memperkayakan dan memulihkan budayanya yang kaya dan ekosistem semula jadi.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Apabila kita menyentuh perihal kelestarian alam sekitar,

terdapat tiga (3) perkara utama yang menjadi tonggak dan panduan iaitu merangkumi air, tenaga dan iklim. Ketiga-tiga perkara ini sememangnya relevan dalam membina kelestarian alam sekitar yang merupakan keupayaan untuk meningkatkan kualiti hidup manusia di dalam ekosistem sokongan bumi.

Amalan kelestarian alam sekitar juga sangat membantu dalam memastikan keperluan penduduk masa kini dapat dipenuhi tanpa menjejaskan kemampuan generasi akan datang bagi memenuhi keperluan mereka. Kelestarian alam sekitar juga merupakan interaksi bertanggungjawab dengan alam sekitar bagi mengelakkan pengurangan atau penurunan sumber semula jadi, serta kualiti persekitaran jangka panjang.

Kelestarian alam sekitar tidak hanya dikaitkan dengan alam sekitar, tetapi juga dengan persekitaran sosial dan ekonomi. Ia mempunyai tiga (3) tunjang utama melibatkan pembentukan ekonomi, sosial dan alam sekitar yang bertujuan menjamin integriti planet dan untuk meningkatkan kualiti hidup.

Justeru, langkah-langkah pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem perlu diambil kira dalam mengurus pembangunan untuk memastikan pembangunan yang mampan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Bagi menyambut baik hasrat dan ilham Kementerian bagi memastikan kelestarian alam sekitar, Kerajaan Negeri Pulau Pinang beriltizam untuk mencari alternatif yang mampan, mengutamakan polisi, tindakan dan penyelesaian demi kemajuan jangka masa panjang untuk alam sekitar, ekonomi dan masyarakat kita.

Dan kita akan terus melipatgandakan strategi ini sebagai komitmen berterusan terhadap agenda pengurusan sumber asli yang mampan dalam usaha untuk melestarikan alam sekitar.

Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi diucapkan kepada pihak Kementerian atas komitmen yang tidak berbelah bahagi menganjurkan Karnival Alam Kita ini. Saya yakin semua aktiviti dan pengisian sangat bermanfaat dan kita berharap rakyat Pulau Pinang khususnya tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam acara ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang