PROGRAM KARNIVAL SUNGAI PINANG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA PROGRAM KARNIVAL SUNGAI PINANG
1 APRIL 2023
YB Lim Siew Khim
Adun Sungai Pinang
YB RSN Rayer
Ahli Parlimen Jelutong
Wakil-wakil MPKK dan Jawatankuasa Masjid Jamek Jelutong Persatuan Penduduk
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ADUN Sungai Pinang, YB Lim Siew Khim selaku penganjur dan pasukannya atas inisiatif penganjuran Karnival Sungai Pinang pada petang yang berbahagia ini.
Meskipun berada dalam bulan Ramadan, saya berasa gembira dengan sambutan yang amat menggalakkan ini terutama daripada komuniti setempat dan juga keluarga besar KADUN Sungai Pinang. Tahniah dan syabas diucapkan.
Sesungguhnya, penyertaan dan penglibatan komuniti dalam aktiviti sosial sebegini amat penting sebagai platform untuk mengukuhkan institusi sosial secara bersama serta menerapkan nilai-nilai keharmonian dan memupuk jalinan kerjasama yang sangat baik.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sepertimana yang dimaklumkan, program pada hari ini sarat dengan pelbagai acara dan pengisian yang menaik, bermula dari gerai penjualan makanan sehingga photo booth bersama BoboiBoy yang merupakan satu siri televisyen animasi francais yang diterbitkan oleh Animonsta Studios Sdn. Bhd. dan merupakan kegemaran kanak-kanak di Malaysia.
Bukan itu sahaja, terdapat juga kaunter-kaunter yang menawarkan perkhidmatan terus kepada rakyat seperti Bas Rapid untuk penduduk Sungai Pinang mendaftarkan Pas Mutiara, Zakat Pulau Pinang (ZPP), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta pameran oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Pelbagai tawaran menarik turut disediakan, antaranya adalah jualan murah, gunting rambut percuma, pemberian baucer RM3 untuk mengisi minyak petrol motor dan pemberian baucer RM50 subsidi untuk membuat cermin mata.
Justeru, saya berharap para komuniti setempat dapat sama-sama menyokong dan memeriahkan penganjuran program pada hari ini.
Selaras dengan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, objektif penganjuran karnival ini sangat bertepatan dalam usaha memperkasakan proses penyampaian dan perkhidmatan kepada rakyat.
Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada ADUN Sungai Pinang, YB Lim Siew Khim dan pasukan atas inisiatif program outreach yang sangat baik ini.
Saya juga ingin berterima kasih atas komitmen penuh yang diberikan oleh semua yang mengambil bahagian petang ini iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Zakat Pulau Pinang (PUZ), ADDK, Bas Rapid, Perkeso serta pasukan MPKK setempat yang sentiasa memainkan peranan sebagai pengantara antara rakyat dan juga Kerajaan Negeri. Tanpa komitmen anda, Kerajaan Negeri tidak mampu mencapai kedudukan hari ini.
Saya berharap akan ada lebih banyak program seperti ini akan dilaksanakan oleh wakil rakyat bagi menyantuni masyarakat dengan lebih kerap sekaligus memberi peluang untuk memahami permasalahan yang dihadapi oleh akar umbi.
Sekian, terima kasih.