ISTIADAT PENGANUGERAHAN DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT KEHORMATAN NEGERI SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG KE-74 TAHUN 2023
TEKS UCAPAN YAB TUAN CHOW KON YEOW
KETUA MENTERI PULAU PINANG
PADA ISTIADAT PENGANUGERAHAN DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT KEHORMATAN NEGERI
SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG KE-74 TAHUN 2023
14 OKTOBER 2023 | 9.25 PAGI
DEWAN SRI PINANG
Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak,
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang
Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd. Nor
Yang Berhormat Dato’ Law Choo Kiang
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan Yang Berbahagia Datin Teoh Hooi Tuang
Yang Berhormat Dato' Dr. Mohamad bin Abdul Hamid
Timbalan Ketua Menteri I, Pulau Pinang dan
Yang Berbahagia Datin Noraini binti Abd. Jalil
Yang Berhormat Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
Timbalan Ketua Menteri II, Pulau Pinang dan
Yang Berbahagia Puan Belinda Nair
Yang Berhormat Dato' Haji Rosli bin Isa
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan
Yang Berbahagia Datin Norwani binti Muhamad Shariff
Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri dan Puan Sri- Puan Sri
Yang Berbahagia Dato’ Seri-Dato’ Seri dan Datin Seri-Datin Seri
Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri
Yang Berbahagia Konsul-Konsul Jeneral dan Yang Berbahagia Konsul-Konsul Kehormat
Yang Berbahagia Dato’-Dato’ dan Datin-Datin
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.
Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Dengan segala hormat dan penuh takzimnya pihak Kerajaan Negeri, pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam serta seluruh rakyat negeri Pulau Pinang ingin mengucapkan Selamat Ulang Tahun yang ke-74 kepada Tuan Yang Terutama Tun. Kami semua mendoakan agar Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan serta keluarga senantiasa dikurniakan dan dilimpahi rahmat, dilanjutkan usia serta sentiasa dalam kesihatan yang baik, kesejahteraan dan keafiatan.
Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk menzahirkan rasa syukur dan jutaan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun di atas kepercayaan melantik saya sekali lagi sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selaras dengan Perkara 7 (2) (a) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, malah barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut berjaya dibentuk dalam tempoh empat (4) hari selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 demi kelangsungan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri kepada rakyat yang dicintai.
Tuan Yang Terutama Tun, Yang Amat Berbahagia Toh Puan dan hadirin sekalian,
Berlandaskan amanat yang diberikan oleh rakyat Pulau Pinang dalam tempoh 15 tahun ini, banyak yang telah kita capai, kecapi dan juga lalui bersama-sama. Aspirasi untuk menjadi sebuah ‘Negeri Berkebajikan’ terus dipegang sebagai intipati yang mencorakkan negeri ini demi memastikan segala hasil yang dijana dapat dinikmati secara bersama. Bersandarkan kepada kepercayaan yang diberikan ini juga, saya dan barisan kepimpinan saya akan terus mengemudi bahtera ini ke arah kecemerlangan demi kelangsungan perpaduan, kemakmuran serta keharmonian bersama.
Seperti yang sedia maklum, Pulau Pinang telah mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 13.1 peratus atau RM112.1 bilion bagi tahun 2022, iaitu yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain. Bagi tempoh Januari sehingga Jun 2023 pula, perkongsian perangkaan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan bahawa Pulau Pinang telah merekodkan pelaburan yang diluluskan bagi sektor perkilangan berjumlah RM4.258 bilion merangkumi 67 projek dengan unjuran 4,738 peluang pekerjaan baharu.
Prestasi cemerlang ini membuktikan bahawa kestabilan dan kemakmuran ekonomi negeri kini adalah lahir daripada dasar serta kepimpinan Kerajaan Negeri serta dedikasi dan iltizam seluruh rakyat negeri Pulau Pinang secara keseluruhan.
Tuan Yang Terutama Tun, Yang Amat Berbahagia Toh Puan dan hadirin sekalian,
Seperti yang telah diumumkan pada 10 Oktober lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih mengekalkan pengurusan kewangan yang berintegriti setelah menerima Sijil Bersih iaitu Sijil Pendapat Tanpa Teguran (Dengan Perenggan Hal-Hal Lain) daripada Ketua Audit Negara bagi penyata kewangan tahun 2022. Malah, turut dinyatakan adalah prestasi kewangan Kerajaan Negeri yang terus kukuh dengan baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan pada akhir tahun semasa adalah berjumlah RM1.859 bilion berbanding RM2.117 bilion pada akhir 2021.
Hutang awam Kerajaan Negeri menunjukkan baki berjumlah RM41.11 juta pada akhir tahun 2022 berbanding RM45.41 juta pada tahun 2021 iaitu menurun sebanyak RM4.30 juta atau bersamaan 9.5 peratus. Penurunan hutang berkaitan adalah disebabkan oleh tiada pinjaman baharu diambil sejak tahun 2016 dan pembayaran balik pinjaman telah dibuat mengikut jadual.
Kerajaan Negeri lazimya tekad meneruskan aspirasi untuk merealisasikan gagasan Visi Penang2030 iaitu ke arah mereaslisasikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Sebagaimana kita semua sedia maklum, sistem pemantauan Dashboard Penang2030 telah diwujudkan melalui laman web https://penang2030.com dan seluruh rakyat Pulau Pinang dapat memantau sasaran dan pencapaian Visi Penang2030 dari semasa ke semasa. Saya bersama-sama barisan kepimpinan dan semua anggota perkhidmatan awam dengan sokongan daripada Tuan Yang Terutama Tun, akan terus menggembleng usaha dan tenaga untuk melaksanakan amanah ini dengan penuh berintegriti bagi mereaslisasikan visi berkaitan demi menjamin kemakmuran, keselamatan serta kebahagiaan berkekalan rakyat negeri ini.
Umumnya, aspirasi serta komitmen berkaitan akan juga diselaraskan dengan 50 Manifesto Perpaduan 2023 bertunjangkan 16 tema utama yang mana ia telah menjadi komitmen serta janji kita kepada rakyat yang terus memberi amanat kepada barisan kepimpinan sedia ada untuk terus memacu Pulau Pinang ke arah kecemerlangan.
Meneliti intipati Manifesto Perpaduan 2023, banyak yang bakal dilaksanakan demi Pulau Pinang khususnya projek-projek mega meliputi infrastruktur, pengangkutan serta pelancongan seperti transit aliran ringan (LRT), projek 'Silicon Island', kereta kabel Bukit Bendera, Penang Bay, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan banyak lagi.
Malah, di Seberang Perai yang merupakan masa depan Pulau Pinang, ‘Meditech City’ di Batu Kawan akan dibangunkan sebagai salah satu usaha untuk melonjakkan Pulau Pinang ke arah mencapai taraf ‘Global City’ dan juga pembangunan kawasan perindustrian berteknologi tinggi baharu di Bertam, Seberang Perai Utara. Semua ini menagih komitmen serta kesungguhan semua pihak yang mana kita perlu yakin dan bekerja bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya demi pembangunan berterusan negeri yang kita cintai, Pulau Pinang.
Tuan Yang Terutama Tun, Yang Amat Berbahagia Toh Puan dan hadirin sekalian,
Tidak dapat disangkal, kemajuan negeri ini dipacu daripada keamanan yang telah sekian lama tersulam dalam kalangan masyarakat di Pulau Pinang. Perpaduan dan integrasi rakyat yang berbilang agama, kaum dan budaya menjadi kunci keharmonian dan kemakmuran di negeri Pulau Pinang ini. Lantaran itu, Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha meningkatkan perpaduan serta integrasi rakyat di negeri ini, dan usaha tersebut seharusnya menjadi tanggungjawab yang perlu dipikul bersama oleh semua penduduk di negeri ini.
Selaras dengan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas iaitu bagi tempoh 2021 hingga 2025 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri pada 11 September lalu yang menyentuh mengenai anjakan baru dalam menoktahkan kemiskinan tegar. Pulau Pinang umumnya memperoleh pujian daripada YAB Perdana Menteri sebagai negeri yang mencatatkan jumlah keluarga miskin tegar paling rendah berbanding negeri-negeri lain dalam negara pada ketika ini, dan menerusi jalinan kerjasama berterusan dengan Kerajaan Persekutuan, adalah diharapkan isu kemiskinan tegar dapat dinoktahkan dalam tahun ini juga.
Dalam laporan berkaitan juga, selain pelbagai langkah proaktif yang telah diambil untuk mengembalikan Malaysia ke landasan pertumbuhan yang betul serta prestasi buruh yang semakin baik dengan kadar produktiviti yang lebih tinggi iaitu 3.7 peratus setahun bagi tempoh 2021 – 2022, turut menarik perhatian saya adalah penurunan kadar pengangguran serta inflasi negara yang mana ia secara tidak langsung akan memberi impak kepada Pulau Pinang sebagai antara negeri pelaburan utama dalam negara.
Sementara itu, pada peringkat domestik, turut dinyatakan adalah Indeks Kesejahteraan rakyat negara ini yang telah meningkat sebanyak 1.3 peratus setahun dan pendapatan rakyat juga bertambah baik. Berkongsi data untuk negeri Pulau Pinang, hasil kajian yang dijalankan oleh badan pemikir, Penang Institute melaporkan bahawa bagi tempoh 2020 hingga 2021, ‘Happiness In Penang (HIP) Index’ yang dicatatkan adalah 76.5 peratus rakyat Pulau Pinang dikenal pasti berada tahap kegembiraan dan kebahagiaan. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa Pulau Pinang merupakan sebuah Pulau Mutiara yang bukan hanya menawarkan pembangunan ekonomi stabil, malah pada masa sama aspek sosial serta keharmonian tidak sama sekali terabai dan diabaikan. Negeri ini menawarkan sebuah kehidupan yang ‘liveable’ kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, bangsa dan juga umur.
Tuan Yang Terutama Tun, Yang Amat Berbahagia Toh Puan dan hadirin sekalian,
Bersempena hari yang bersejarah dan mulia ini, saya serta barisan pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam berikrar untuk sentiasa menumpahkan taat setia kepada Tuan Yang Terutama Tun yang mana segala pandangan serta nasihat yang diberikan telah dan akan terus menjadi tonggak pemerintahan Kerajaan Negeri hari ini.
Sekali lagi, saya mewakili seluruh rakyat negeri ini berdoa semoga Tuan Yang Terutama Tun akan terus memberi khidmat dengan penuh gigih, berwibawa, adil dan saksama demi kelangsungan kemakmuran serta kesejahteraan rakyat dan negeri ini. Semoga Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan dipanjangkan umur, diberi kesihatan yang terbaik dan sentiasa dalam perlindungan Tuhan Yang Maha Esa.
Indah taman dilitupi pohon,
Tumpang berteduh burung tempua,
Buat TYT Tun yang menyambut hari ulang tahun,
Moga bahagia dan dilanjutkan usia.
Sekian, terima kasih.