MAJLIS PENYERAHAN CEK SUMBANGAN KEPADA PERSATUAN NELAYAN KAWASAN (PNK) PULAU PINANG SELATAN YANG TERLIBAT DENGAN PROJEK PENGUKUHAN BEKALAN ELEKTRIK MELALUI SAMBUNGTARA TALIAN ATAS DI PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN CEK SUMBANGAN KEPADA PERSATUAN NELAYAN KAWASAN (PNK) PULAU PINANG SELATAN YANG TERLIBAT DENGAN PROJEK PENGUKUHAN BEKALAN ELEKTRIK MELALUI SAMBUNGTARA TALIAN ATAS DI PULAU PINANG

 

SABTU 14 OKTOBER | 2.30 petang

JEN HOTEL

 

 

Terima kasih saudara pengacara majlis.

 

YB Zairil Khir Johari

Exco Infrastruktur, Pengangkutan Dan Digital

YB Tuan Kumaresan a/l Aramugam

Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Uban

YBhg. Dato’ Seri Ir. Baharin bin Din

Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif TNB

YBhg. Dato’ Haji Zulkifli bin Long

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang

Y.Bhg. Datuk Shamsul bin Ahmad

Chief Regulatory & Stakeholder Management Officer

 

Ir. Dev Anandan

Ketua Pegawai Grid

Encik Abd. Aziz bin Rosdi

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (Pulau Pinang)

Encik Omar bin Hassan

Pengurus Besar, Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pinang Selatan

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada semua pihak yang sudi hadir pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pulau Pinang Selatan pada petang yang mulia ini.

Terima kasih juga saya ucapkan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana menjemput saya kerana sesungguhnya, majlis ini amat bermakna kepada saya dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana melibatkan aspek perhubungan, kerjasama dan saling mesra di antara Kerajaan Negeri, masyarakat nelayan, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan serta sudah tentu, pihak TNB.

Sebagai sebuah Kerajaan Negeri berkebajikan, keperluan setiap rakyat dan intipati yang membentuk negeri ini adalah sentiasa menjadi keutamaan. Atas dasar tersebut, maka penyampaian sumbangan pada hari ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan terhadap rakyat dalam usaha berterusan dalam membangunkan komuniti nelayan. Sebagai Ketua Menteri, saya mengucapkan tahniah kepada persatuan dan nelayan-nelayan yang terlibat, TNB serta agensi kerajaan kerana dapat berunding dengan baik, saling memahami dan akhirnya mencapai penyelesaian yang membawa manfaat kepada semua pihak.

Hadirin sekalian,

Projek pengukuhan bekalan elektrik melalui sambungtara talian atas ini merupakan sebuah talian atas penghantaran monopole dengan rekaan unik sepanjang 8.5 kilometer (km) yang akan dibina dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Stesen Janakuasa (SJ) Perai ke PMU The Light di bahagian pulau negeri. Lazimnya, projek ini adalah sangat penting untuk bekalan elektrik di Pulau Pinang khususnya pada masa depan bagi memastikan pembekalan tenaga elektrik yang stabil dan berdaya harap.

Keupayaan pembekalan tenaga elektrik seumpama ini adalah amat diperlukan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi meliputi pelbagai bidang termasuk perindustrian, pembangunan insfrastruktur, pengangkutan dan pelancongan. Keterjaminan bekalan tenaga elektrik dan kestabilannya adalah bagi memperkasakan pembangunan fizikal termasuk rangkaian perhubungan jalan raya, pengangkutan awam, meningkatkan kapasiti pelabuhan dan juga lapangan terbang.

Sebagai makluman, projek tersebut telah dilancarkan pada 15 September 2022 dan dijangka siap pada Ogos 2024. Malah, dengan anggaran kos lebih RM500 juta, projek berimpak tinggi yang bermutu ini akan terletak bersebelahan dengan Jambatan Pulau Pinang dan turut dilengkapi dengan lampu hiasan estatik, sekaligus bakal menjadi satu lagi mercu tanda ikonik kebanggaan serta daya tarikan baharu untuk negeri ini.

Bagi Kerajaan Negeri, kejayaan projek ini sudah tentunya akan menyokong dan merancakkan lagi pembangunan negeri ini secara keseluruhannya, selaras dengan Visi Penang2030 iaitu ke arah merealisasikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara yang telah digariskan secara komprehensif, lengkap dan menyeluruh.

Saudara dan saudari sekalian,

Isu masyarakat nelayan dan keterjaminan makanan merupakan agenda yang sangat dekat di hati saya. Saya sedar dengan pelaksanaan projek ini, ianya secara tidak langsung bakal memberi kesan kepada para nelayan daripada kelas Zon Konservasi dan kelas Zon A yang mana kebanyakan daripada mereka adalah merupakan nelayan-nelayan tempatan.

Oleh itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited dalam usaha merealisasikan janji-janji yang tersenarai dalam Manifesto Perpaduan 2023 bagi meneruskan bantuan pukat kepada nelayan, mempelbagaikan pendapatan golongan nelayan serta mewujudkan zon akuakultur baharu bagi menggalakkan penternakan kerang, ikan, ketam nipah serta tiram.

Dalam pada itu, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak TNB kerana komited dan tidak melupakan tanggungjawab sosial kepada rakyat yang terkesan akibat pelaksanaan projek ini. Pemberian sumbangan yang merupakan  tanggungjawab sosial korporat (CSR) dari pihak TNB kepada komuniti setempat pada hari ini diharapkan dapat mengekalkan suasana harmoni dan sihat di antara kedua-dua pihak demi kesejahteraan semua.

Sebagai penutup kata, besarlah harapan saya dan seluruh rakyat Pulau Pinang agar apabila projek ini siap kelak, ia dapat membantu Kerajaan Negeri dalam usaha merancakkan lagi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi di Pulau Pinang selain daripada memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan.

Dengan kata-kata itu, saya dengan sukacitanya melancarkan Majlis Penyerahan Cek Sumbangan kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pulau Pinang Selatan.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang