PERUTUSAN TAHUN BARU 2024 OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB CHOW KON YEOW PADA 31 DISEMBER 2023 DI KOMTAR, GEORGE TOWN
PERUTUSAN TAHUN BARU 2024 OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB CHOW KON YEOW PADA 31 DISEMBER 2023 DI KOMTAR, GEORGE TOWN
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Dalam sekelip mata, tahun 2023 bakal melabuhkan tirai dengan pelbagai ragam cerita, suka dan duka dalam tempoh satu tahun yang amat bermakna. Kita telah berjaya menempuhi pelbagai halangan dan kecapi pelbagai kejayaan pada tahun ini. Apabila mentari pagi menyinar esok hari pada tahun yang baru, pastinya kenangan dan pengalaman yang mengajar sepanjang tahun 2023 mampu menjadi guru terbaik bagi menghadapi tahun baru yang akan datang.
Apabila diimbas kenangan pada tahun 2023, ia amat bermakna selepas rakyat Pulau Pinang sekali lagi telah memberi mandat kepada Kerajaan Perpaduan untuk menerajui tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri sekali gus menamatkan kemelut ketidakstabilan politik yang berlaku dalam negara. Saya ingin menegaskan di sini bahawa mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat tidak akan disia-siakan, sebaliknya akan dimanfaatkan dengan inisiatif dan daya usaha bagi memastikan pembangunan Pulau Pinang terus gemilang. Biarlah tahun 2024 menjadi lembaran baharu kepada kita semua untuk memberi fokus bagi membawa perubahan positif, memulihkan serta mengembalikan hala tuju dan kegemilangan negara ini di landasan yang betul dari segi pembangunan sosial, ekonomi dan politik.
Berasaskan nilai Malaysia Madani dan prinsip Kerajaan Perpaduan yang dipegang kini, Pulau Pinang perlu terus menerajui, menyuntik inspirasi dan menyumbang kepada nilai kesejahteraan rakyat dalam negara secara keseluruhan.
Saya percaya, dunia kini kian berubah mengikut peredaran zaman, maka dengan itu, segala usaha dan objektif yang disasarkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Konsep Malaysia Madani akan didukung pada peringkat negeri yang mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus mengemudi negeri melalui perancangan serta pelaksanaan rapi untuk mencapai Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara bagi memulihkan sektor ekonomi agar pembangunan negeri khususnya dan negara amnya dapat bergerak dengan pantas serta bertambah rancak.
Malah, Pulau Pinang telah mengukuhkan kedudukannya sebagai penyumbang utama kepada pelaburan langsung asing (FDI) pembuatan negara dengan menguasai 42 peratus bagi tempoh suku ketiga dari bulan Januari hingga September tahun ini. Dalam tempoh yang sama, Pulau Pinang turut mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan iaitu RM44.9 bilion merentasi pelbagai sektor merangkumi sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan. Justeru, sebagai salah sebuah negeri utama yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, saya berharap agar Kerajaan Pusat dapat memberi perhatian kepada keperluan serta pembangunan infrastruktur secara berterusan bagi negeri Pulau Pinang.
Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi sekalian,
Umumnya, kejayaan pembangunan dan pemulihan ekonomi yang dicapai sehingga kini adalah hasil usaha bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang sentiasa berganding bahu demi memastikan pelaksanaan projek atau program yang memberikan manfaat kepada rakyat. Tidak dilupakan jasa seluruh penjawat awam, swasta serta pemain industri yang telah bertungkus lumus menjadi tulang belakang kepada kejayaan ini. Oleh itu, jutaan terima kasih dan syabas saya ucapkan!
Adalah ditekankan bahawa dalam usaha Kerajaan Negeri memberi fokus kepada pembangunan sosial demi kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat di Pulau Pinang, projek-projek infrastruktur mega seperti aliran transit ringan (LRT), projek pembesaran lapangan terbang serta projek ‘Silicon Island’ di bahagian selatan pulau negeri ini juga diberikan keutamaan, malah telah mula dilaksanakan. Seperti yang saya telah nyatakan sebelum ini, Kerajaan Negeri yakin projek ‘Silicon Island’ ini akan mengulangi kejayaan FIZ Bayan Lepas yang membawa pembaharuan kepada ekonomi Pulau Pinang lebih 50 tahun lalu. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kita memerlukan ‘Silicon Island’ untuk mengembangkan lagi tanah perindustrian di Bayan Lepas bagi menjamin perkembangan serta peningkatan daya saing sektor pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) negeri kita yang terkemuka.
Adalah mustahil bagi kesemua projek mega ini siap sebelum saya menamatkan tanggungjawab saya sebagai Ketua Menteri di negeri ini, namun biarlah saya menggalas tanggungjawab untuk memulakan projek-projek ini demi kesejahteraan rakyat pada masa akan datang. Harus diingati, 'berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian', kita harus bersusah-susah dahulu untuk bersenang-senang kemudian.
Dengan kehadiran tahun 2024, saya percaya ramai antara kita mempunyai azam baru yang ingin dicapai. Saya mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia amnya dan rakyat Pulau Pinang khususnya akan terus berusaha demi mencapai kejayaan lebih bermakna dalam kehidupan masing-masing. Kerajaan Negeri juga ingin mengambil peluang ini untuk menyeru seluruh rakyat negeri ini untuk terus mengekalkan keharmonian yang kita nikmati dan banggakan ini. Kerajaan Negeri akan terus memastikan rakyat di negeri ini sentiasa hidup dalam kemakmuran dan keharmonian dengan semangat perpaduan yang sentiasa mekar sejak bertahun lamanya.
Dengan ini, saya menjemput seluruh rakyat Pulau Pinang bersama-sama mengalu-alukan ketibaan 2024 dengan semangat kasih sayang, perpaduan, toleransi dan kegembiraan. Semoga lembaran baharu ini membuka lebih banyak peluang positif serta keamanan di seluruh dunia dapat dicapai.
Semoga negara kita Malaysia khususnya negeri Pulau Pinang, terus gemilang di mata dunia. Selamat Tahun Baru 2024.