MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN JUBLI EMAS TAMAN BANDARAYA

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW  

BERSEMPENA MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN

JUBLI EMAS TAMAN BANDARAYA

31 DISEMBER 2023 (AHAD) | 720 PAGI

PENTAS TERBUKA, TAMAN BANDARAYA,

PERSIARAN KUARI

 

Yang Berbahagia Dato’ Ir. Rajendran a/l P.Anthony

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang

 

Yang Berusaha Sr. Cheong Chee Hong

Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang

 

Ahli Majlis-Ahli Majlis

Majlis Bandaraya Pulau Pinang

 

Ketua-Ketua Jabatan; Rakan-Rakan Media; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Selamat pagi, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana sentiasa komited mengekalkan keindahan dan keceriaan Taman Bandaraya sehingga ke hari ini.

Saya difahamkan bahawa Taman Bandaraya yang pada asalnya dikenali sebagai Taman Belia Pulau Pinang mula dibuka buat pertama kali kepada orang ramai pada 26 Februari 1972. Dengan ini, pada tarikh 26 Februari 2022, secara tidak langsung, Taman Bandaraya ini telah mencapai usia jubli emas iaitu 50 tahun pembukaannya.

Banyak perubahan serta penambahbaikan dari segi kemudahan rekreasi, landskap, papan tanda arah, laluan pejalan kaki, astaka, tandas dan taman permainan telah dilaksanakan sebagaimana yang kita dapat lihat sekarang ini. Serentak itu, MBPP juga telah menambah daya tarikan di taman ini dengan memastikan pembangunannya diseimbangkan dengan kehijauan bagi memberi keselesaan kepada pengunjung. Sebagai perkongsian bersama, sebanyak RM700,000 setahun dibelanjakan oleh MBPP untuk tujuan penyelenggaraan Taman Bandaraya demi keselesaan semua. Sebagai tambahan, pada tahun 2024, Taman Bandaraya bakal dilengkapi dengan trek kereta kawalan jauh dengan anggaran kos berjumlah RM80,000.

Oleh itu, bagi mengekalkan dan meningkatkan kawasan hijau di sini, saya percaya tanggungjawab tersebut tidak hanya terletak di bahu MBPP semata-mata, sebaliknya turut melibatkan semua pihak untuk sama-sama memelihara, melindungi dan menguruskan taman ini secara mampan ke arah persekitaran yang kondusif dan menyegarkan.

Hadirin sekalian,

Dalam tempoh 50 tahun ini, saya difahamkan oleh MBPP bahawa purata pengunjung harian ke Taman Bandaraya adalah antara 1,500 – 3,000 orang setiap hari tanpa mengira pengunjung tempatan mahupun luar negeri. Tahniah diucapkan kepada MBPP di atas pencapaian ini.

Sejajar dengan gagasan Visi Penang2030 iaitu ke arah melahirkan sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, MBPP sehingga kini telah berjaya mentransformasikan 213 buah taman kejiranan dan 69 taman poket dengan membabitkan peruntukan berjumlah anggaran RM14 juta bermula dari 2002 hingga 2023 demi menyediakan sebuah kehidupan yang liveable kepada seluruh rakyat negeri ini.

Menerusi inisiatif-inisiatif berkaitan, ia terbukti bahawa MBPP bergerak seiringan dengan Tema D Visi Penang2030 iaitu melabur dalam persekitaran fizikal bagi meningkatkan daya tahan dan adalah menjadi dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memastikan pembangunan fizikal serta kehijauan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Malah, pada aspek keselamatan, pemasangan peranti defibrillator luaran automatik (AED) dan penambahan pencahayaan di dalam taman ini juga dilihat sebagai aset tambahan kepada para pengunjung yang bertandang.

Saudara dan saudari sekalian,

Mengambil kesempatan ini, saya sekali lagi ingin menyeru kepada para pengunjung untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti vandalism yang boleh merosakkan kemudahan serta tanaman landskap di sini. Bersama-samalah kita menjaga kemudahan yang disediakan ini supaya ia dapat dinikmati serta kekal terpelihara untuk tempoh 50 tahun akan datang lagi untuk generasi akan datang.

Nescaya, kepelbagaian aktiviti yang diadakan bersama-sama keluarga di sini telah mengukir banyak memori indah kepada kita tanpa mengira latar belakang, bangsa dan juga peringkat umur khasnya rakyat negeri ini.

Sebagai penutup kata, sekali lagi, syabas diucapkan kepada ahli jawatankuasa majlis dan khasnya kepada MBPP atas kejayaan sambutan Jubli Emas Taman Bandaraya pada hari ini. Mengambil peluang ini juga, saya ucapkan selamat menyambut kedatatangan tahun baru 2024 kepada semua, khasnya rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi sekalian.

Dengan ini, saya sukacitanya merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Taman Bandaraya.

Sekian, terima kasih.

mbpp

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang