MAJLIS MOU ANTARA RAC DENGAN LPNPP BAGI PEMBANGUNAN DI ATAS SEBAHAGIAN LOT 286, 65 DAN 67, BANDAR PERAI, SEBERANG PERAI TENGAH, PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS MOU ANTARA RAC DENGAN LPNPP BAGI PEMBANGUNAN DI ATAS SEBAHAGIAN LOT 286, 65 DAN 67, BANDAR PERAI, SEBERANG PERAI TENGAH, PULAU PINANG

 

16 JANUARI 2024 (SELASA) | 9.50 PAGI

 

THE LIGHT HOTEL

 

 

Terima kasih kepada saudara/i Pengacara Majlis.

YB. Loke Siew Fook

Menteri Pengangkutan Malaysia

 

YB. Jagdeep Singh Deo a/l Dato' Seri Utama Karpal Singh

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang

 

YB. Dato’ Seri Sundarajoo a/l Somu

Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang

 

YBhg. Dato' Jana Santhiran Muniayan

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia

 

YBhg. Dato’ Azhar bin Ahmad

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Aset Keretapi (RAC)

 

YBrs. Puan ‘Ainul Fadhilah binti Samsudi

Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang

 

Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP),

Ketua-ketua Jabatan, serta rakan-rakan media dan para hadirin yang saya kasihi sekalian.

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dengan usaha sama bersama Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) telah menjayakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pada pagi yang mulia ini.

Seperti yang sedia maklum, Kerajaan Negeri melalui Visi Penang2030 memberi fokus kepada pembangunan negeri secara keseluruhan termasuk menjamin kesejahteraan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Pulau Pinang di bawah Tema A iaitu meningkatkan daya huni bagi menambah baik kualiti kehidupan serta menangani isu kemampuan dan kepelbagaian perumahan menerusi Inisiatif Strategik A1.

Justeru, penyediaan perumahan secara efisien dan holistik adalah diperlukan bagi mencapai visi tersebut. Bagi merealisasikan pencapaian kepada Visi Penang2030 ini, terdapat tiga (3) sasaran yang telah ditetapkan seperti:

  1. Pembekalan 220,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) menjelang tahun 2030;
  1. Pembekalan 22,000 Unit Sewa Beli (RTO); dan
  • 3,000 Keluarga Mendapat Faedah Pembaharuan Semula Bandar.

Sebagai makluman, sehingga 31 Disember 2023, Pulau Pinang kini telah berjaya mencapai sebanyak 154,685 unit iaitu 70.31 peratus bagi sasaran pertama dalam usaha pembekalan sebanyak 220,000 unit RMM menjelang tahun 2030. Dalam masa yang sama, sehingga 23 Oktober tahun lalu, sebanyak 4,544 unit sewa beli telah dikenal pasti untuk ditawarkan dalam usaha pembekalan 22,000 unit RTO di seluruh negeri. Selain itu, dua (2) projek Pembaharuan Semula Bandar telah dimulakan iaitu Pembaharuan Semula Bandar Mahsuri dan Pembaharuan Semula Bandar Free School di samping lima (5) lagi projek pembaharuan semula bandar telah dikenal pasti menerusi Pelan Induk Rumah Mampu Milik Pulau Pinang (RMMPg) yang mana ia akan memberi manfaat kepada 6,021 keluarga sedia ada merangkumi kesemua skim disediakan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sempena Majlis Menandatangani MoU pada hari ini, Mesyuarat Lembaga Pengarah LPNPP Bilangan 1 Tahun 2023 yang bersidang pada 13 April 2023 telah mengesyorkan supaya LPNPP bekerjasama dengan RAC untuk menjalankan penilaian tapak mengenai cadangan pembangunan projek Rumah Mampu Milik di atas Lot 286, Bandar Perai, Seberang Perai Tengah yang juga dikenali dengan Kampung Manis. Kerjasama ini dicadangkan supaya pembangunan di kawasan persekitaran berkaitan dilihat secara holistik memandangkan LPNPP mempunyai cadangan untuk membangunkan tapak berhampiran di atas Lot 671, Bandar Perai juga dikenali sebagai RMM Perai di bawah Rolling Plan 3 (RP3) RMMPg berkeluasan 9.33 ekar yang terletak 1.2 kilometer dari tapak ini.

Pembangunan secara menyeluruh adalah diperlukan di kawasan ini kerana ia merupakan sebuah lokasi kediaman tidak terancang, tidak mempunyai sistem perparitan sistematik yang menjurus kepada masalah banjir. Justeru, pembangunan keseluruhan bagi kedua-dua projek RAC dan LPNPP di kawasan ini akan dapat menukar wajah penempatan sedia ada kepada pembangunan perumahan yang lebih teratur dan efisien demi kesejahteraan masyarakat setempat. 

Selain itu, projek ini juga dapat memacu pertumbuhan ekonomi dengan ruang-ruang komersil yang dapat menjana pendapatan serta peluang pekerjaan, selain penyediaan pembangunan lebih terancang dengan laluan trafik yang lebih lancar.

Dengan itu, sebuah MoU antara RAC dan LPNPP akan dimeterai pada hari ini bagi usaha sama pembangunan di Kampung Manis ini. Sinergi di antara gabungan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang bersatu-padu dalam projek bagi membangunkan Kampung Manis ini adalah untuk manfaat rakyat negeri Pulau Pinang. MoU ini boleh diterjemahkan kepada Memorandum of Agreement (MOA) sekiranya terdapat keperluan tambahan setelah Request for Proposal (RFP) dimuktamadkan kelak.

Hadirin sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Pejabat YB Parlimen Batu Kawan, Pejabat YB ADUN Perai, Pejabat Daerah Dan Tanah Seberang Perai Tengah (PDTSPT), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Pulau Pinang (PTG) dan lain-lain jabatan atau agensi kerajaan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di atas komitmen yang dicurahkan dalam menjayakan projek-projek dirancang.

Kerajaan Negeri dan warga Pulau Pinang menanam harapan besar untuk melihat projek pembangunan ini berjaya dilaksanakan sebagaimana yang telah dirancang agar penempatan dengan pesekitaran menjadi lebih sempurna dan selesa, kemudahan sosial serta infrastruktur yang lebih selesa dapat dinikmati oleh penduduk.

Mengambil peluang ini juga, saya juga mengucapkan terima kasih kepada RAC selaku pemilik tanah kereta api yang diduduki oleh penduduk Kampung Manis. Saya faham, sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pengangkutan, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab RAC untuk membangunkan serta mengusahakan aset-aset yang dimilikinya bagi memastikan penjanaan hasil berterusan kepada Kerajaan, dan pada masa sama juga menyumbang kepada kesejahteraan rakyat. Dengan kerjasama ini, saya percaya usaha untuk merubah kawasan ini kepada sebuah kawasan yang membangun dan mampan akan dapat dicapai.

Akhir kata, sukacita saya merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) Dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) Bagi Pembangunan Di Atas Sebahagian Lot 286, 65 dan 67, Bandar Prai, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang