KARNIVAL PENGUKUHAN KESALINGHUBUNGAN DAN PEMBANGUNAN USAHAWAN PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA

KARNIVAL PENGUKUHAN KESALINGHUBUNGAN DAN PEMBANGUNAN USAHAWAN PULAU PINANG

 

16 FEBRUARI 2024 (JUMAAT) | 3.15 PETANG

 POLITEKNIK SEBERANG  PERAI

 

YAB Dato’ Seri Utama Anwar bin Ibrahim

Perdana Menteri Malaysia

 

YB Fahmi bin Fadzil

Menteri Komunikasi

 

YBhg. Dato’ Haji Rosli bin Isa

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

 

YBhg. Datuk Mohamad Fauzi bin Md. Isa

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi

 

YBhg. Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)

 

YBhg. Tan Sri Khalid bin Ramli

Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang

 

Barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang

 

Barisan ADUN dan Ahli Parlimen

 

Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan

Warga Politeknik Seberang Perai

Rakan-rakan media serta Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

 

Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pihak Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) kerana sudi menjemput saya untuk bersama–sama dalam majlis yang amat bermakna ini iaitu Karnival Pengukuhan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar bin Ibrahim.

Bagai sirih pulang ke gagang, saya mengucapkan selamat kembali ke kampung halaman kepada Perdana Menteri atau kini lebih dikenali sebagai PMX. Kami di Pulau Pinang sentiasa menanti-nantikan kepulangan Dato’ Seri. Semoga selepas ini, kerap-keraplah turun ke Pulau Pinang supaya lebih erat lagi hubungan negeri dengan pihak pentadbiran di Putrajaya.

YAB Dato’ Seri serta hadirin yang dihormati sekalian,

Kesalinghubungan dan usahawan adalah tidak asing lagi pada era kini. Sejak pandemik melanda, kebangkitan usahawan jelas dilihat lebih meluas secara dalam talian sekaligus berjaya merancakkan ekonomi negara. Tambahan pula, ianya selari dengan gagasan Visi Penang2030 khususnya dalam usaha menaik taraf ekonomi bagi meningkatkan pendapatan isi rumah serta menjamin kualiti kehidupan yang lebih baik melalui penggunaan serta kemudahan dalam talian.

Saya amat berbangga melihat bangsa Malaysia yang kini terbukti semakin terbuka kepada ilmu berkaitan teknologi dan pemasaran produk dalam talian yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ekonomi dan usia. Saya yakin dengan platform serta ilmu yang dipraktikkan kini mampu melahirkan sebuah masyarakat yang mampan dan berdaya saing di peringkat global.

 

Tidak dapat disangkal lagi, Pulau Pinang telah menjadi lokasi semula jadi untuk kepelbagaian aktiviti usahawan, tidak terhad dari perniagaan tradisional hingga kepada aktiviti ekonomi yang memanfaatkan teknologi terkini. Saya berharap, dengan pelancaran Penang Internet Exchange (PIX) baru–baru ini, diharapkan ia dapat melonjakkan lagi pertumbuhan sektor perniagaan di negeri ini ke peringkat global. PIX merupakan usaha Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan dalam usaha untuk mengurangkan kependaman rangkaian untuk pengguna internet dan memastikan pengalaman dalam talian yang lebih pantas untuk semua rakyat Pulau Pinang.

Saya sedar, dalam era digital kini, penglibatan usahawan dalam talian memainkan peranan penting untuk meningkatkan daya saing yang sihat yang secara tidak langsung akan menyumbang kepada pembangunan minat yang kreatif dan kritis dalam kalangan masyarakat di samping melatih para usahawan untuk membuka peluang baharu dalam mencipta pekerjaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang khususnya dan Malaysia amnya. Keupayaan untuk beradaptasi dengan teknologi merupakan kelebihan utama usahawan dalam talian, dan Kerajaan Pulau Pinang sentiasa komited untuk menyokong perkembangan ini.

Melalui inisiatif-inisiatif seperti peningkatan akses kepada infrastruktur digital, bantuan daripada segi kewangan dan program-program pembangunan keusahawanan, Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan yang diperlukan kepada semua usahawan di negeri ini. Saya percaya bahawa dengan kolaborasi strategik antara sektor awam dan swasta, kita dapat mencipta ekosistem yang kondusif bagi pertumbuhan dan kejayaan para usahawan di Pulau Pinang.

YAB Dato’ Seri serta hadirin yang dihormati sekalian,

 

Saya ingin menggalakkan semua pihak yang hadir pada hari ini untuk terus berusaha dengan lebih gigih dan kreatif dalam mencari serta mencipta peluang baharu, mengembangkan idea-idea yang kreatif dan mengambil peluang untuk bekerjasama serta mendapatkan bantuan daripada pihak-pihak yang berkaitan untuk mengembangkan perniagaan masing-masing ke peringkat yang lebih tinggi.

Sebagai Ketua Menteri, saya akan terus menjalankan pelbagai inisiatif dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya bagi menjamin pembangunan modal insan serta melonjakkan ekonomi di negeri ini. Dalam masa yang sama, saya mengharapkan agar para usahawan khususnya, dan rakyat di negeri ini umumnya supaya menjalinkan hubungan yang kukuh, saling bantu-membantu dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman untuk kebaikan bersama.

Adalah menjadi tanggungjawab kepada saya sebagai seorang pemimpin untuk memastikan rakyat hidup aman dan sejahtera sepanjang saya memegang tanggungjawab dan amanat ini. Sebelum saya menyerahkan tampuk pemerintahan negeri dalam kurang daripada empat (4) tahun  kepada Ketua Menteri yang baharu, saya akan memastikan bahawa taraf hidup rakyat di negeri ini berada di tahap lebih baik, selaras dengan pembangunan ekonomi yang kian rancak di Pulau Pinang.

Seperti yang diketahui, Pulau Pinang berjaya mengekalkan kedudukan sebagai pengeksport utama negara sehingga Disember 2023 walaupun negeri ini merupakan negeri kedua terkecil di Malaysia selain secara konsisten mengekalkan kedudukan ketiga teratas dalam sumbangan ekonomi, pertumbuhan dan tarikan pelaburan ke arah negara ini.

Justeru, saya berharap usaha pada hari ini dapat menambahkan lagi inisiatif–inisiatif bagi merealisasikan objektif, visi dan misi di peringkat negeri sekaligus menyumbang kepada pembangunan negara. Tambahan pula, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melantik MCMC sebagai Pengerusi Advokasi Masyarakat Pulau Pinang. Dengan ini, besar harapan saya agar usaha-usaha ini akan membawa kepada pencapaian yang lebih gemilang terutamanya dalam bidang keusahawanan, serta menyumbang kepada pembangunan negara kita secara keseluruhan.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang