MAJLIS PECAH TANAH TAMAN PERINDUSTRIAN BATU KAWAN 3 (BKIP 3)
TEKS UCAPAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH TAMAN PERINDUSTRIAN BATU KAWAN 3 (BKIP 3)
16 FEBRUARI 2024 (JUMAAT) | 5.20 PETANG
BATU KAWAN
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani,
Saya amat berbangga kerana dapat hadir pada hari ini di Majlis Pecah Tanah Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP 3) yang akan disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Utama Anwar bin Ibrahim. Sekalung penghargaan saya ucapkan kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan semua pihak yang terlibat kerana menjayakan projek ini.
YAB Perdana Menteri serta hadirin yang saya hormati,
BKIP 3 merupakan taman perindustrian ke-10 yang dimajukan oleh PDC, iaitu kesinambungan kepada Taman Perindustrian Batu Kawan atau Batu Kawan Industrial Park (BKIP). BKIP3 membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi PDC untuk menyediakan lebih banyak taman industri bagi menampung permintaan daripada pelabur-pelabur luar dan dalam negeri.
BKIP 3 berkeluasan bersih seluas 407 ekar akan dibangunkan dalam empat (4) fasa yang mana fasa pertama iaitu seluas 60 ekar dijangka siap pada tahun 2025. Dalam pada itu, projek berkaitan juga akan melengkapkan ekosistem industri dengan taman-taman industri sekitar lain yang juga dibangunkan oleh PDC seperti BKIP, Bandar Cassia Technology Park, Penang Science Park dan Bukit Minyak Industrial Park. Kesalinghubungan infrastruktur berkualiti seperti Lebuhraya Utara Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Jambatan Pulau Pinang, Penang Port dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, tidak dinafikan bahawa pembangunan BKIP 3 dijangka membawa limpahan ekonomi yang positif bukan sahaja ke seluruh negeri Pulau Pinang bahkan juga ke wilayah utara Semenanjung Malaysia.
Umumnya, PDC juga memainkan peranan penting dalam menyediakan infrastruktur serta kemudahan yang bersesuaian bagi menampung keperluan pihak industri dan pelabur di Pulau Pinang, seperti Perkhidmatan Bisnes Global atau Global Business Services (GBS), Workers Village dan Hab Logistik. Infrastruktur yang disediakan oleh PDC telah memanfaatkan pelabur serta pemain industri dalam negeri sepanjang proses perindustrian negeri.
YAB Perdana Menteri dan hadirin yang dihormati,
Pulau Pinang kini berdiri sebagai penyumbang ekonomi yang penting dalam negara. Meskipun merupakan negeri kedua terkecil dalam Malaysia, Pulau Pinang memiliki pengalaman perindustrian selama lebih 50 tahun dan kini menempatkan lebih 350 syarikat antarabangsa (MNC) dan 4,000 perusahaan kecil dan sederhana (SME) seterusnya, mewujudkan satu ekosistem industri yang kondusif untuk pemain-pemain industri berkembang.
Sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) merupakan salah satu sektor keutamaan bagi Pulau Pinang. Sebagai negeri yang paling ke hadapan dalam sektor E&E, Pulau Pinang terus menjadi pemacu untuk eksport E&E dalam negara. Pada tahun 2021, Pulau Pinang mencatatkan rekod eksport tertinggi dalam negara dengan jumlah RM354 bilion nilai eksport. Prestasi cemerlang negeri diteruskan pada tahun 2022 dengan kadar peningkatan 27 peratus tahun ke tahun dengan jumlah RM452 bilion iaitu 29 peratus daripada keseluruhan eksport negara.
Dalam pada itu, Pulau Pinang juga terus menjadi destinasi yang digemari oleh para pelabur ke Malaysia. Pada tahun 2021, negeri ini merekodkan nilai pelaburan diluluskan daripada sektor pembuatan berjumlah RM76 bilion, rekod tertinggi oleh negeri setakat ini. Setakat bulan Januari hingga September 2023, jumlah pelaburan pembuatan yang diluluskan adalah sebanyak RM38.9 bilion, dengan pelaburan sektor E&E sebanyak 87 peratus.
Selain sektor E&E, Pulau Pinang juga kini berhasrat untuk menerajui sektor teknologi perubatan atau Medtech dalam negara. Pulau Pinang kini menempatkan lima (5) daripada 30 syarikat teknologi perubatan terbaik dunia dari segi jualan. Malah, menurut statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dari 2018 hingga September 2023, Pulau Pinang merekodkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM5.8 bilion bawah Kategori Peralatan Saintifik dan Pengukuran (termasuk teknologi perubatan) dan juga menyumbang 47 peratus dalam sektor ini. Menyedari potensi sektor tersebut, Pulau Pinang kini turut menyasarkan perkembangan positif untuk sektor teknologi perubatan.
YAB Perdana Menteri dan hadirin yang dimuliakan,
Dengan pengalaman dalam pembangunan sektor perindustrian selama lebih lima dekad, Pulau Pinang telah membina satu reputasi yang cemerlang di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa sebagai destinasi pelaburan berimpak tinggi. Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi agensi-agensi seperti PDC, Invest Penang dan MIDA akan terus memainkan peranan dalam usaha fasilitasi pelaburan dalam negeri, termasuk memudahkan golongan pelabur serta pemain industri untuk memulakan penyusunan operasi dalam negeri.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited untuk memacu perindustrian dalam negara menerusi kerjasama berterusan bersama pelbagai pihak, termasuk Kerajaan Persekutuan dalam membina ekosistem industri yang kondusif. Konsep ketersediaan daripada segi infrastruktur atau ‘Infra Ready Concept’ menjadi satu pegangan oleh pihak PDC ke arah pembinaan projek BKIP 3. Serentak itu, PDC juga berkerjasama rapat dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar konsep baharu tersebut direalisasikan, dan taman-taman industri dilengkapi infrastruktur berkualiti serta diyakini golongan pelabur tatkala kita dalam suasana geopolitik semasa yang tidak menentu. Sekalung penghargaan saya titipkan kepada TNB atas kerjasama mereka dalam usaha ini.
Dengan perasmian projek BKIP 3 ini yang turut dimeriahkan dengan kehadiran YAB Perdana Menteri, saya yakin projek taman industri oleh PDC ini akan membuka lebih banyak potensi untuk negeri Pulau Pinang terus berkembang sebagai destinasi pelaburan pilihan buat golongan pemain industri.
Kehadiran YAB Perdana Menteri bagi menyempurnakan majlis pecah tanah BKIP 3 yang merupakan taman perindustrian ke-10 PDC secara tidak langsung melakar satu lagi sejarah kepada PDC dan juga negeri Pulau Pinang kerana Taman Perindustrian PDC yang pertama iaitu Bayan Lepas Industrial Park (BLIP) telah dibuka oleh Allahyarham Tun Abdul Razak pada tahun 25 Mac 1971, setelah 53 tahun.
Pada kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan penghargaan saya kepada PDC, Invest Penang dan MIDA atas sinergi berterusan untuk bersama-sama menyediakan fasilitasi kepada golongan pelabur dan memudahkan usaha implementasi projek-projek pelaburan di sini. Realitinya, pembangunan sesebuah taman perindustrian adalah melibatkan pelaburan kos awalan yang tinggi, terutama bagi penyediaan infrastruktur utama seperti jalan raya, bekalan tenaga, sistem pembentungan dan bekalan air. Tambahan lagi, keperluan untuk meningkatkan keupayaan sistem infrastruktur sedia ada juga memerlukan sumber kewangan besar bagi menyelesaikan masalah-masalah yang timbul seiringan dengan pembangunan, terutamanya kesesakan lalu lintas.
Dengan ini, Kerajaan Negeri merakamkan jutaan terima kasih di atas bantuan berbentuk geran daripada Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan Kerajaan Negeri melalui agensinya iaitu PDC terus bergerak pantas ke hadapan dalam melaksanakan kepelbagaian pembangunan yang memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan juga negara secara keseluruhan.
Semoga pembukaan BKIP 3 ini membuahkan hasil yang positif untuk negeri Pulau Pinang dan pembangunan ekonomi negara Malaysia secara keseluruhan. Dengan kerjasama dan sinergi yang berterusan di antara Kerajaan Negeri serta Kerajaan Persekutuan, nescaya kita tidak mampu mengapai kejayaan yang lebih gemilang demi kepentingan seluruh rakyat negeri dan juga negara ini.
Sekian, terima kasih.