MAJLIS BERBUKA PUASA ANJURAN PERTUBUHAN KEBAJIKAN WARISAN LEBUH TAMIL & PENYAMPAIAN BANTUAN HARI RAYA AIDILFITRI 2024
NOTA PERCAKAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA ANJURAN PERTUBUHAN KEBAJIKAN WARISAN LEBUH TAMIL & PENYAMPAIAN BANTUAN HARI RAYA AIDILFITRI 2024
15 MAC 2024 (JUMAAT) | 6.30 PETANG
DEWAN BANGUNAN UMA
Yang Berhormat Puan Lim Hui Ying
Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong
Yang Berhormat Teh Lai Heng
ADUN Komtar
Encik Mohamed Asri bin Seeni Mohamed
Pengerusi Pertubuhan kebajikan Warisan Lebuh Tamil
Yang Berbahagia Dato’ Haji Haja Najmudeen Kader
Presiden Liga Muslim Pulau Pinang
Para Exco Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil Serta Ahli-ahli
Para Jemputan; Rakan-rakan Media; Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Salam Ramadan Al Mubarak kepada semua.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil atas jemputan sempena Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan Hari Raya Aidilfitri pada petang yang berbahagia ini.
Syukur, tahun ini merupakan penganjuran kali ke-8, dan mengambil peluang ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil yang komited dalam penganjuran majlis khas ini demi kepentingan komuniti setempat.
Sebagaimana diketahui umum, Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil merupakan sebuah organisasi yang begitu aktif menganjurkan pelbagai program khasnya bantuan-bantuan kebajikan membabitkan masyarakat setempat, kepada mangsa-mangsa banjir, percambahan sektor pendidikan, agihan bubur sepanjang bulan Ramadan dan juga program bantuan beg sekolah kepada anak-anak yatim terutamanya kumpulan B40.
Malah, pada hari ini, kita turut akan menyaksikan penyampaian bantuan Aidilfitri kepada 150 penerima orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan 60 kanak-kanak OKU yang terpilih dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Permatang Damar Laut. Adalah diharapkan sumbangan ini dapat memberikan sedikit keceriaan kepada semua penerima terutamanya dalam menyambut kedatangan 1 Syawal.
Hadirin sekalian,
Menyingkap penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam pembangunan Pulau Pinang, Kerajaan Negeri tidak pernah menafikan kepentingannya yang mana ia merupakan tulang belakang bukan hanya kepada sektor ekonomi, malah juga sosial serta perpaduan sejagat.
Elemen-elemen ini umumnya merupakan intipati penting sebagaimana tercatat dalam Manifesto Perpaduan 2023 yang bakal membawa harapan negeri ini untuk tempoh lima tahun akan datang iaitu, meningkatkan daya huni bagi menambah baik kualiti kehidupan, memperkasakan rakyat bagi meningkatkan penyertaan awam, melabur dalam persekitaran terbiba bagi menambah baik daya pemulihan dan menaik taraf ekonomi bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.
Ikatan kerjasama yang sedia terjalin ini bukan hanya telah memperkasakan lagi pembangunan Pulau Pinang secara menyeluruh, malah juga telah mewujudkan kehamornian yang sering dicemburi. Contohnya, di bulan Ramadan yang suci ini, pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang kaum dan juga kepercayaan dapat bersama dalam majlis iftar yang diadakan dari semasa ke semasa di seluruh negeri ini.
Sebagai penutup kata, sekali lagi, sekalung penghargaan diucapkan kepada seluruh jawatankuasa Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil atas penganjuran serta jemputan ke majlis yang cukup bermakna ini dan selamat berbuka puasa kepada semua.
Sekian, terima kasih.