MAJLIS SANTUNAN KASIH RAMADAN BERSAMA YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS SANTUNAN KASIH RAMADAN BERSAMA YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH
20 MAC 2024 (RABU) | 6.10 PETANG
MASJID JAMEK AL AMIN, SIMPANG TIGA
Terima kasih saudara/i pengacara majlis
[Salutasi]
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang atau PERDA dan Jawatankuasa Kariah Masjid Al Amin, Simpang Tiga kerana sudi menjemput saya untuk bersama-sama hadir di Majlis Santunan Kasih Ramadan dan berbuka puasa pada hari yang berbahagia ini.
Apatah lagi, majlis ini diserikan dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang sedang berkunjung di Pulau Pinang ketika ini. Saya mewakili seluruh rakyat Pulau Pinang mengucapkan selamat datang ke Pulau Pinang kepada Dato’ Seri.
YAB Dato’ Seri dan para hadirin yang dihormati sekalian,
Seperti yang selalu saya nyatakan sebelum ini, Kerajaan Negeri sememangnya amat menghargai peranan serta jasa mana-mana agensi, jabatan kerajaan, institusi-institusi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa tampil untuk bersama-sama kerajaan dalam usaha menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan, lebih-lebih lagi ketika menjelang musim perayaan. Sesungguhnya usaha murni ini bukan sahaja memberikan sedikit kegembiraan kepada para penerima, tetapi turut menyemai sikap rahmah dan saling membantu dalam kalangan masyarakat serta mampu membantu kerajaan dalam pengagihan bantuan-bantuan kepada golongan sasaran ini.
Saya difahamkan pada hari ini, seramai 200 penerima yang terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim, golongan kurang mampu serta pelajar tahfiz turut diraikan dengan berbuka puasa bersama dan kemudian bakal menerima bantuan. Usaha seperti yang dilaksanakan oleh PERDA, iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kariah Masjid Al Amin pada hari ini haruslah dipuji, dan ia menepati dasar Kerajaan Negeri agar bantuan yang ingin disalurkan akan terus sampai kepada golongan sangat memerlukan terutama di peringkat peringkat luar bandar.
YAB Dato’ Seri dan para hadirin yang dihormati sekalian,
Melalui Visi Penang 2030 yang dijadikan panduan untuk melahirkan sebuah negeri yang pintar dan hijau berteraskan keluarga serta memberikan inspirasi kepada negara, sememangnya penglibatan masyarakat adalah amat diperlukan kerana rakyat adalah penggerak utama dalam usaha mentransformasikan sesebuah negeri ke satu tahap yang lebih maju. Kerajaan Negeri tidak pernah berhenti dalam menganjur dan merencanakan pelbagai program dan inisiatif dalam usaha memperkasakan rakyat di negeri ini
Seperti yang semua sedia maklum, Pulau Pinang terkenal dalam industri elektronik dan pembuatan, malah berjaya merekodkan aliran masuk pelaburan tertinggi dalam Malaysia pada tahun 2023 dengan jumlah RM71.9 bilion. Biarpun rekod tersebut didorong oleh kemasukan pelaburan langsung asing (FDI), kerjasama antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan juga turut menyumbang kepada kemeriahan landskap ekonomi dalam negeri yang sekaligus memperkukuhkan ekonomi negara.
Oleh itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memperkasakan usahawan PKS di negeri ini dengan meneruskan pelbagai bantuan serta inisiatif melalui jabatan dan agensi yang terlibat terutamanya dalam usaha mempromosikan produk secara dalam talian supaya para usahawan tidak hanya bergantung kepada penjualan secara fizikal semata-mata.
Dengan prestasi Malaysia yang mengekalkan kedudukan teratas dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) 2023 untuk tahun ke-10 berturut-turut, negara tercinta ini mendapat tempat pertama dalam sektor Kewangan Islam, Makanan Halal, dan Media & Rekreasi Halal. Menyentuh kategori makanan halal, saya sedar bahawa ramai antara usahawan PKS di negeri ini khususnya yang menghasilkan produk-produk makanan sangat enak dan bermutu tinggi malah, ramai antara usahawan yang menggunakan teknologi ‘retort’ dalam usaha memanjangkan hayat makanan tanpa penggunaan pengawet. Melalui pelbagai lawatan sebelum ini, saya melihat para usahawan berjaya menghasilkan pelbagai jenis sambal, lauk pauk sedia untuk dimakan, manisan dan macam-macam lagi. Justeru, adalah menjadi iltizam Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membangunkan ekonomi di negeri ini secara menyeluruh terutamanya melalui pemerkasaan usahawan. Saya percaya apabila usahawan diperkasa, maka ekonomi rakyat sejahtera.
YAB Dato’ Seri dan para hadirin yang dihormati sekalian,
Kerajaan Negeri berharap agar segala usaha yang dilaksanakan ini mendapat sokongan yang penuh daripada rakyat untuk kita sama-sama membina sebuah masyarakat yang berjaya, makmur dan progresif. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan syabas atas usaha daripada semua pihak yang telah bersama-sama membantu PERDA dan kariah masjid yang bertungkus-lumus bagi memastikan program dirancangkan pada petang yang berbahagia ini dapat dijalankan dengan jayanya.
Sebagai penutup kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan syabas kepada semua yang terlibat dalam penganjuran majlis ini. Semoga bulan suci ini dapat diraikan dengan penuh semangat muhibah, rahmah dan rasa rendah diri. Salam Ramadan Al Mubarak kepada semua.
Sekian, terima kasih.