MAJLIS BERBUKA PUASA ANJURAN PERSATUAN PENDUDUK KOMPLEKS JALAN KEDAH

NOTA PERCAKAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA ANJURAN PERSATUAN PENDUDUK KOMPLEKS JALAN KEDAH
TAHUN 2024

21 MAC 2024 (KHAMIS) | 6.45 PM

DEWAN ORANG RAMAI FLAT JALAN KEDAH

YB Wong Yuee Harng
ADUN Pengkalan Kota

YBhg. Dato ' Ir. Rajendran a/l P. Anthony
Dato’ Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Yang Berusaha Saudara Ewe Chee Way
Pengarah Pusat Khidmat Padang Kota/Parlimen Batu Kawan

YBrs. Encik Abdul Wahab bin Shaik Mydin
Pengerusi Kompleks Jalan Kedah

Para Jemputan; rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Salam Sejahtera Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

>> Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah atas jemputan sempena Majlis Buka Puasa Tahun 2024 pada petang yang berbahagia ini.

>> Secara peribadinya, penduduk di sini amat dekat di hati saya, malah menjadi sebahagian daripada perjalanan saya dari seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kini menggalas tanggungjawab sebagai seorang Ketua Menteri.

>> Ikhlas saya katakan bahawa saya amat bangga dengan komitmen Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah yang saban tahun menganjurkan acara berbuka puasa yang disertai oleh para penduduk di Flat Jalan Kedah.

>> Saya percaya, amalan ini bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan silatulrahim antara semua penduduk yang berbilang kaum, malah juga mampu bersama-sama berkongsi rezeki terutamanya dengan sahabat-sahabat serta jiran-jiran kita yang lebih memerlukannya.

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

>> Dalam mengejar pembangunan ekonomi di negeri ini, adalah menjadi harapan saya agar semua rakyat Pulau Pinang turut diperkasakan dengan ilmu yang bermanfaat serta sahsiah terpuji. Berbaki beberapa tahun saya memegang amanah sebagai Ketua Menteri, saya percaya pembangunan sahsiah serta modal insan merupakan kunci utama dalam mencapai Visi Penang 2030 dan Malaysia Madani.

>> Oleh itu, saya menaruh harapan yang amat tinggi kepada para penduduk di sini supaya tonjolkan peribadi positif serta terapkan nilai-nilai murni dalam mendidik anak-anak yang bakal mewarisi negara kita pada suatu hari nanti. Sekiranya terdapat sebarang kekangan atau kesusahan, dipersilakan untuk Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian memberikan maklum balas berkaitan hal-hal tersebut ke Pusat Khidmat Padang Kota yang sentiasa terbuka untuk anda semua bagi mendapatkan rujukan serta bantuan yang diperlukan.

>> Hadirin sekalian, selain daripada aktiviti berbuka puasa, seramai 15 penerima sumbangan khas daripada golongan asnaf, B40 dan orang kurang upaya (OKU) juga bakal menerima sedikit bantuan duit raya pada hari ini. Saya berharap agar bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam perbelanjaan golongan berkaitan terutamanya di bulan Ramadan ini.

>> Sebagai penutup kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah dan juga para penyumbang yang telah memberikan komitmen serta sokongan dalam menjayakan majlis ini.

>> Semoga hubungan yang terjalin pada hari ini dapat terus dikekalkan demi pengukuhan ikatan masyarakat dan negeri yang dicintai ini. Salam Ramadan Al-Mubarak.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang