PENGANJURAN PROGRAM MEMASAK BUBUR LAMBUK SURAU FLAT JALAN KEDAH TAHUN 2024

NOTA PERCAKAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW BERSEMPENA PENGANJURAN PROGRAM MEMASAK BUBUR LAMBUK SURAU FLAT JALAN KEDAH TAHUN 2024

23 MAC 2024 (SABTU) | 130 PETANG

SURAU FLAT JALAN KEDAH

Yang Berusaha Encik Mohd. Ikbal Hassan Mydin
Pengerusi Surau Flat Jalan Kedah

Yang Berusaha Encik Zainul Alam
Setiausaha Surau Flat Jalan Kedah

Yang Berusaha Encik Abdul Wahab Shaik Mydin
Pengerusi Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah

Yang Berusaha Saudara Ewe Chee Way
Pengarah Pusat Khidmat Padang Kota/Parlimen Batu Kawan

Ahli-ahli jawatankuasa surau; para penduduk Flat Jalan Kedah; para jemputan; rakan-rakan media; Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

Salam Sejahtera Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

>> Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Surau Flat Jalan Kedah dan juga Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah atas jemputan ke program masakan bubur lambuk di sini.

>> Secara peribadinya, tanpa mengira sama ada pihak surau, persatuan penduduk ataupun seluruh penduduk di sini, ianya begitu dekat di hati saya terutamanya dalam mengukir memori perjalanan saya sebagai wakil rakyat di kawasan ini.

Saudara dan Saudari sekalian,

>> Saya dimaklumkan bahawa tradisi memasak bubur lambuk pada bulan Ramadan di Surat Flat Jalan Kedah telah berlangsung sejak 20 tahun lalu.

>> Terharu dan juga bangga dengan komitmen ini yang mana tradisi ini bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan silatulrahim antara semua penduduk yang berbilang kaum, malah juga semua pihak mampu bersama-sama berkongsi rezeki terutamanya dengan sahabat-sahabat serta jiran-jiran kita yang lebih memerlukannya. Sebagai tambahan, ia turut memberi peluang kepada rakan-rakan bukan beragama Islam untuk mengenali dengan lebih dekat pengertian masakan yang begitu sinonim dengan bulan yang mulia ini.

>> Sebagai perkongsian bersama, selain majlis iftar yang dianjurkan oleh pelbagai pertubuhan termasuk Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah, saya juga amat tertarik dengan proses penyediaan bubur lambuk yang mana memperlihatkan semua pihak bergotong-royong bersama-sama menyediakan bahan-bahan masakan seperti kulit kayu manis, buah pelaga, rempah kurma dan bunga lawang selain bawang merah, bawang putih serta beras yang menjadi bahan wajib, yang kemudian dimasukkan ke dalam periuk besar dan ia dikacau sehingga masak.

>> Di sini, bubur lambuk yang siap dimasak akan diedarkan kepada penduduk-penduduk di sini dan juga kepada pihak Surau Jalan Hutton. Malah, mereka yang bukan beragama Islam juga dialu-alukan untuk menerimanya.

>> Inilah istimewanya keharmonian bukan hanya di Flat Jalan Kedah, malah juga negeri Pulau Pinang secara keseluruhan. Maka, besarlah harapan saya agar semua rakyat Pulau Pinang diperkasakan dengan ilmu yang bermanfaat, sahsiah terpuji dan teruskan jalinan ikatan perpaduan sedia termeterai ke arah merealisasikan Visi Penang 2030 dan Malaysia Madani.

>> Sebagai penutup kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa surau Flat Jalan Kedah di atas komitmen berterusan dalam menjayakan program ini sejak sekian lama.

>> Dan sebagai wakil rakyat kawasan ini, saya akan terus memberikan sokongan perlu dalam memastikan program ini terus dilaksanakan pada setiap tahun demi pengukuhan ikatan masyarakat dan negeri yang dicintai ini.

Salam Ramadan Al-Mubarak. Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang