MAJLIS BERBUKA PUASA ANJURAN GABUNGAN PERSATUAN INDIA MUSLIM PULAU PINANG (GAPEIM)
NOTA PERCAKAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA
MAJLIS BERBUKA PUASA ANJURAN GABUNGAN PERSATUAN INDIA MUSLIM PULAU PINANG (GAPEIM)
23 MAC 2024 (SABTU) | 6.45 PETANG
BALAI RAKYAT JALAN PATANI
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Ameenul Hussaini
Presiden Gabungan Persatuan India Muslim Pulau Pinang
Yang Berusaha Tuan Haji Munower Sadiq
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan India Muslim Pulau Pinang
Dif-dif kehormat, rakan-rakan media serta Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
>> Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Gabungan Persatuan India Muslim Pulau Pinang (GAPEIM) atas jemputan sempena Program Iftar pada hari ke-10 Ramadan yang berbahagia ini.
>> Sepanjang perkhidmatan saya yang bermula sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), saya amat bertuah kerana telah menyaksikan keindahan perpaduan, toleransi dan semangat komuniti yang begitu kukuh tersemat dalam kalangan masyarakat di Pulau Pinang.
>> GAPEIM seumpamanya, merupakan sebuah organisasi yang begitu aktif dengan mengadakan pelbagai program sepanjang tahun untuk masyarakat setempat terutamanya bagi kumpulan B40 serta aktif memperkasakan komuniti India Muslim di negeri ini yang merangkumi aspek sosioekonomi, pendidikan, keagamaan dan sebagainya.
>> Syabas dan tahniah juga kepada GAPEIM yang saban tahun tidak pernah melepaskan peluang untuk menganjurkan acara berbuka puasa ini, bagi bersama-sama berkongsi rezeki terutama dengan mereka yang memerlukannya. Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya mengucapkan terima kasih kerana dengan usaha ini, ia sekaligus membantu Kerajaan Negeri menyantuni masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
>> Malah, saya turut difahamkan selain daripada majlis berbuka puasa pada hari ini, kita akan turut menyaksikan pemberian bakul makanan kepada 130 penerima yang terdiri daripada golongan B40, ibu tunggal and asnaf yang bernilai sebanyak RM15,600. Saya berharap dengan sedikit bantuan ini dapat membantu para penerima memasak juadah berbuka puasa untuk seisi keluarga.
Hadirin sekalian,
>> Ingin saya tekankan bahawa pentadbiran di bawah kepimpinan saya tidak pernah membeza-bezakan latar belakang kaum dan agama dalam usaha pembangunan ekonomi, sosial mahupun penglibatan politik.
>> Menerusi Belanjawan Pulau Pinang 2024, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM21.48 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) merangkumi pembangunan bagi tujuan pembinaan, pembaikan dan naik taraf masjid, surau dan juga sekolah agama.
>> Malah, RM7.4 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri di bawah butiran Sekolah Agama Rakyat (SAR) bagi tujuan membina baharu,menaik taraf serta kerja-kerja pembaikan, di samping bantuan-bantuan lain yang disalurkan oleh agensi-agensi Kerajaan Negeri bertanggungjawab.
>> Dalam merealisasikan Visi Penang2030, ketelusan, keadilan, toleransi serta semangat perpaduan yang tinggi ini sangat diperlukan terutamanya dalam memastikan setiap individu di negeri ini dapat menikmati kemajuan yang telah dikecapi. Justeru, melalui penglibatan serta penyertaan aktif daripada semua kelompok seperti GAPEIM, ia membolehkan segala perancangan dan perincian berkaitan dasar serta inisiatif dapat dilaksanakan dengan jayanya.
>> Sebagai penutup kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa GAPEIM dan juga para penyumbang yang telah memberikan komitmen dan juga sokongan yang baik dalam menjayakan majlis ini. Saya berdoa agar hubungan yang terjalin pada hari ini dapat terus dikekalkan demi pengukuhan ikatan masyarakat dan negeri yang dicintai ini.
Salam Ramadan Al Mubarak, sekian terima kasih.