MAJLIS BERBUKA PUASA PERSATUAN MUSLIM BERSATU (UMA)
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA PERSATUAN MUSLIM BERSATU (UMA)
25 MAC 2024 (ISNIN) | 7 PETANG
DEWAN PERSATUAN MUSLIM BERSATU (UMA)
[Salutasi]
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Pertamanya, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan kepimpinan Persatuan Muslim Bersatu atau lebih dikenali dengan singkatan U.M.A kerana sudi menjemput saya untuk turut serta dalam pada hari ini. Saban tahun, saya akan pastikan saya tidak akan ketinggalan menghadiri majlis berbuka puasa anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang begitu banyak berjasa kepada pertumbuhan pembangunan dan juga sosial di negeri ini.
Saya sedia maklum bahawa bulan Ramadan merupakan satu bulan yang sangat mulia bagi seluruh umat Islam. Pada bulan ini juga, umat Islam diwajibkan menunaikan ibadah puasa yang menjadi salah satu rukun Islam. Saya percaya bahawa hikmah berpuasa ini akan mengajar semua erti kesederhanaan yang seterusnya menyemai serta mencetuskan nilai kerohanian yang terus menjadi intipati kepada hidup bermasyarakat kita di negeri Pulau Pinang ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Saya percaya bahawa majlis berbuka puasa yang diadakan pada petang ini merupakan satu majlis yang dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli persatuan bersama masyarakat setempat serta badan-badan NGO yang lain. Selain daripada mengeratkan silaturahim, majlis seperti ini juga menjadi platform untuk menyampaikan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal dan anak-anak yatim.
Pada hari ini, saya difahamkan seramai tiga (3) asnaf dan dua (2) orang kurang upaya (OKU) bakal menerima sumbangan yang keseluruhannya berjumlah RM500. Semoga dengan bantuan ini, ia dapat mengukir senyuman kegembiraan dan memberi sinar harapan terutama ketika menyambut bulan Ramadan yang mulia.
Pada masa sama, diharapkan ianya juga dapat membantu saudara dan saudari sekalian untuk membuat persiapanSyawal yang bakal menjelma. Saya percaya dengan perkongsian bantuan ini, ia dapat menyemai sifat rahmah serta berkasih-sayang dalam kalangan masyarakat sekaligus menerapkan nilai kesederhanaan dalam diri setiap daripada kita semua.
Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,
Ketahuilah bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat menghargai usaha-usaha NGO yang membantu masyarakat setempat. Saya sedia maklum bahawa persatuan ini telah mengambil satu pendekatan untuk menyediakan kemudahan kepada masyarakat dengan menggunakan bangunan persatuan sebagai dewan masyarakat.
Saya gembira dengan komitmen dan tanggungjawab dimainkan oleh anda semua sebagai sebuah NGO yang sentiasa menjadikan kebajikan masyarakat sebagai antara agenda utama dalam pertubuhan masing-masing. Untuk pengetahuan semua, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa membuka ruang diskusi kepada semua NGO untuk mengadakan apa-apa perbincangan berkaitan urusan, aktiviti atau isu yang memerlukan bantuan daripada pihak berkuasa tempatan.
Sesungguhnya, kekuatan dan idea di sebalik penubuhan sesebuah NGO ini adalah sangat penting bagi memenuhi keperluan sosial rakyat secara keseluruhannya, di samping bersama-sama Kerajaan Negeri dalam menjayakan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Sebelum mengakhiri ucapan, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Persatuan Muslim Bersatu yang berjaya mengadakan majlis berbuka puasa pada petang ini. Saya doakan agar jawatankuasa yang sedia ada diberikan kekuatan serta semangat yang tinggi untuk terus memimpin komunitinya bagi bersama-sama membangun serta maju seiring dengan hasrat kerajaan negeri Pulau Pinang.
Selamat menyambut bulan Ramadan Al Mubarak dan semoga semua dilimpahi dengan berkah di bulan yang mulia ini.
Sekian, terima kasih.