MAJLIS PELANCARAN PELAN STRATEGIK 2024-2028, INISIATIF KELESTARIAN DAN GoDIGITAL PDC
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PELAN STRATEGIK 2024-2028, INISIATIF KELESTARIAN DAN GoDIGITAL PDC
25 MAC 2024 (ISNIN) | 9.00 PAGI
ATRIUM PDC
[Salutasi]
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan rasa syukur kerana dapat hadir meraikan Majlis Pelancaran Pelan Strategik 2024-2028, Inisiatif Kelestarian dan Godigital PDC dengan penuh harapan dan aspirasi baru pada hari yang berbahagia ini. Sebelum saya meneruskan ucapan ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam penyediaan dan pelaksanaan pelan strategik ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Seperti yang sedia maklum, Pulau Pinang telah berjaya merekodkan aliran masuk pelaburan tertinggi dalam negara berjumlah RM71.9 bilion pada tahun 2023. Serentak itu, menerusi kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Willayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA), negeri ini berjaya memudah cara pelaburan sebanyak RM13.67 bilion, dan lebih 20,701 peluang pekerjaan berjaya dimudah cara pada tahun lalu.
Nilai pelaburan tersebut yang didorong pelaburan langsung asing (FDI) telah menyumbang sebanyak RM61.7 bilion atau 85.8 peratus daripada aliran masuk pelaburan pembuatan negeri Pulau Pinang. Saya yakin, situasi ini secara tidak langsung telah berjaya mengukuhkan keyakinan para pelabur antarabangsa dan tempatan terhadap potensi negeri ini sebagai antara lokasi pelaburan yang terbaik dalam negara.
Malah, tidak keterlaluan untuk saya nyatakan di sini bahawa Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan pelaburan ini, memandangkan sebahagian besar syarikat-syarikat yang menyumbang kepada FDI ini bertempat di taman-taman perindustrian dibangunkan oleh pihak berkaitan.
Dengan ini, saya dan seluruh rakyat Pulau Pinang menaruh harapan tinggi kepada PDC untuk terus meningkatkan kualiti di taman-taman perindustrian bawah seliaan PDC terutamanya Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP 3) dan Batu Kawan Technology Park (BCTP) dengan konsep ketersediaan infrastruktur atau ‘Infra Ready Concept’.
Dalam pada itu, PDC turut memainkan peranan penting dalam menyediakan infrastruktur fizikal serta kemudahan logistik bagi mewujudkan suatu ekosistem yang kompresensif lagi kondusif serta meningkatkan ketersambungan dan keperluan pihak industri, yang mana antaranya adalah hab perkhidmatan perniagaan global atau Global Business Services (GBS), Workers Village dan juga Hab Logistik yang diyakini dapat menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini, sekaligus memantapkan pendapatan negara.
Saudara dan Saudari sekalian,
Sebagai sebuah organisasi yang berusaha selari dengan Visi Penang2030, PDC telah menetapkan matlamat dan inisiatif jelas untuk tempoh lima (5) tahun akan datang melalui Pelan strategik baharu (2024 - 2028) berpaksikan Land Innovation, Asset Innovation, Business Sustainability and Smart Professional atau LABS, yang menjadi panduan serta hala tuju PDC bagi tempoh dinyatakan. Saya difahamkan bahawa pelan strategik ini bukan sahaja akan membawa PDC ke arah pertumbuhan berterusan, malah juga menekankan nilai-nilai kelestarian dan digitalisasi yang semakin penting dalam ekonomi global masa kini.
Sebagai perkongsian bersama, PDC LABS terdiri daripada empat (4) teras utama dan 15 strategi yang mana implimentasi strategi dirangka diyakini bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang yang lestari dan juga pembangunan fizikal mampan ke arah mencapai gagasan Visi Penang 2030.
Jsuteru, saya berharap semoga semua warga PDC akan lebih progresif, dinamik dan bersemangat dalam memastikan projek-projek strategik berimpak tinggi di bawah Pelan Strategik PDC 2024 - 2028 ini dapat dilaksanakan dengan jayanya mengikut garis masa yang ditetapkan, dan juga dalam memastikan Pulau Pinang akan sentiasa berada di tangga pertama dalam aspek nilai pelaburan serta terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Pelan strategik yang dilancarkan hari ini bukan sahaja mencerminkan aspirasi dan visi Kerajaan Negeri, malah juga kesungguhan pentadbiran ini melalui PDC dalam usaha membangunkan ekonomi tempatan dengan mengutamakan kelestarian alam sekitar serta peralihan kepada era digital yang semakin penting melalui dua inisiatif yang akan dilancarkan bersama Pelan Strategik pada hari ini iaitu: INISIATIF KELESTARIAN dan GoDIGITAL.
Sebagai makluman, PDC telah mencatatkan kedudukan pertama membabitkan kedua-dua inisiatif tersebut melalui penghasilan Pelaporan Kelestarian dan Kerangka Kerja ESG SDG bagi tahun 2023, serta menjadi agensi kerajaan pertama di Pulau Pinang yang telah memperkenalkan penggunaan tandatangan digital pada baucar bayaran.
Oleh yang demikian, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada PDC kerana telah berjaya menyiapkan Pelan Strategik 2024 – 2028 serta melaksanakan dua inisiatif tersebut dengan jayanya. Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah sekali lagi kepada semua yang terlibat untuk menjayakan majlis ini lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan ini.
Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Strategik 2024 - 2028, Inisiatif Kelestarian dan GoDigital PDC. Saya doakan agar semua usaha ini berjalan dengan lancar dan jayanya. Salam Ramadan Al Mubarak.
Sekian, terima kasih.