MAJLIS MAKAN AMAL SJKT RAMAKRISHNA
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI NEGERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS MAKAN AMAL SJKT RAMAKRISHNA
30 MAC 2024 (SABTU) | 8.30 PM
DEWAN SJKC SANG WU
Terima kasih saudara/i Pengacara Majlis
YB Dato’ Seri Sundarajoo a/l Somu
Exco Perumahan dan Alam Sekitar
YB RSN Rayer
Ahli Parlimen Jelutong merangkap Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang
YB Ramkarpal Singh a/l Karpal Singh
Ahli Parlimen Bukit Gelugor
YB Senator Dr. Lingeshwaran a/l Dato’ Seri R. Arunasalam
Ahli Dewan Negara merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang
YB Kumaresan a/l Aramugam
ADUN Batu Uban
YBhg. Dato’ Ir. Rajendran a/l P. Anthony
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang
YBrs. Encik Sritharan a/lChattukutti
Guru Besar SJKT Ramakrishna
YBrs. Encik Kumarathiraviam a/l Kasinathan
Yang di-Pertua PIBG SJKT Ramakrishna
YBrs. Encik Ramasamy
Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah SJKT Ramakrishna
Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato-Dato dan Datin-Datin
Barisan Pegawai Kanan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah
Barisan Guru Besar serta warga pendidik
Anak-anak yang dikasihi, rakan-rakan media serta hadirin yang dihormati sekalian.
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani. Vanakam.
Terlebih dahulu, saya amat berbesar hati dan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada hadirin sekalian kerana sudi meluangkan masa untuk menghadiri dan memeriahkan Majlis Makan Amal Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ramakrishna pada malam yang berbahagia ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Dalam mengejar arus pembangunan terutamanya pembangunan ekonomi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah meminggirkan mana-mana aspek pembangunan lain terutamanya dalam bidang pendidikan. Hal ini kerana, saya percaya pembangunan sosial adalah sangat bergantung kepada pembentukan akhlak yang baik serta pendidikan yang sempurna. Pembangunan modal insan merupakan faktor kritikal bagi menjana dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara.
Anak-anak ini akan membesar dan mewarisi negara dan menentukan hala tuju negara ini dengan harapan ke arah yang lebih baik, Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai pemimpin, warga pendidik serta ibu bapa untuk mencurahkan ilmu, memberikan bimbingan serta menyediakan ruang pembelajaran yang selesa dan selamat supaya potensi anak-anak kita boleh terus digilap demi masa depan mereka yang lebih baik.
Justeru, majlis makan amal yang diadakan hari ini bertujuan mengumpul dana bagi membina dan melengkapkan dua (2) buah bilik darjah di tingkat tiga (3) blok bangunan SJKT Ramakrishna bagi tujuan pengajaran serta pembelajaran. Saya difahamkan, tujuan pembinaan dua (2) buah kelas baharu ini adalah bagi menampung permintaan penduduk setempat yang ingin menempatkan anak-anak mereka di sekolah ini apabila kemasukan murid-murid meningkat secara drastik.
Hadirin yang diraikan,
Kerajaan negeri Pulau Pinang sentiasa menyokong pembangunan di semua sekolah dalam negeri ini termasuk SJKT Ramakrishna. Selama ini, Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai bentuk sokongan, termasuk bantuan kewangan, pembangunan infrastruktur dan sumber pendidikan. Saya percaya, sumbangan ini telah memainkan peranan penting dalam kemajuan dan kejayaan sekolah di samping mampu melahirkan anak-anak yang berjaya.
Selain daripada pembangunan infrastruktur, Kerajaan Negeri turut menyokong program pendidikan sekolah dengan menyediakan pembiayaan dan menganjurkan kelas-kelas serta kursus-kursus menerusi insititusi-institusi berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik atau STEM iaitu Tech Dome Penang, Penang STEM, Penang Math Platform, Penang Skills Development Centre (PSDC) dan Penang Digital Library selain daripada menggalakkan pembelajaran bahasa dan budaya Tamil dalam kalangan murid-murid supaya pembudayaan Bahasa Tamil terus subur dalam kehidupan masyarakat kita.
Hari ini, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ramakrishna telah menonjol sebagai sebagai sekolah yang mempunyai reputasi yang kukuh dalam kecemerlangan akademik dan berkomitmen untuk memelihara bahasa, budaya dan nilai Tamil. Saya percaya sekolah ini telah berjaya dan akan melahirkan lebih ramai graduan yang cemerlang dalam pelbagai bidang.
Oleh yang demikian, penyediaan infrastruktur dan prasarana yang baik sera berkualiti adalah penting untuk meningkatkan minat murid-murid untuk belajar dengan lebih baik. Persekitaran pembelajaran yang kondusif akan menjadi penyumbang utama dalam penyampaian pendidikan dan kelancaran proses pengajaran serta pembelajaran. Pembinaan dua (2) buah bilik darjah ini akan melengkapkan bangunan SJKT Ramakrishna dengan infrastruktur yang diperlukan seperti bilik ICT, makmal sains, bilik seni dan bilik-bilik darjah seiring dengan kehendak pembelajaran dan pengajaran abad ke-21.
Sehubungan dengan itu, saya mewakili Kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 sebagai sumbangan kepada projek pembinaan dua (2) buah bilik darjah di tingkat tiga (3) SJKT Ramakrishna.
Adalah diharapkan sumbangan ini dapat menjadi perangsang kepada SJKT Ramakrishna agar mencapai lebih banyak kejayaan dari segi semua aspek demi masa depan yang lebih cemerlang. Sebagai penutup kata, saya mengucapkan tahniah kepada SJKT Ramakrishna dan tidak ketinggalan juga kepada pihak-pihak yang telah bersama-sama berganding bahu dalam usaha menjayakan program ini.
Dengan ini saya merasmikan Majlis Makan Amal SJKT Ramakrishna.
Sekian, terima kasih. Nandri. Vanakam.