MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA SEKOLAH SERI AD DINIAH
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA
SEKOLAH SERI AD DINIAH
2 APRIL 2024 (SELASA) | 6.30 PETANG
DEWAN BESAR,
SEKOLAH SERI AD DINIAH
[Salutasi]
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan Al Mubarak kepada semua umat Islam yang menjalani ibadah puasa. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada pihak Badan Keluarga Addiniah (BAKA) yang sudi menjemput saya ke Majlis Iftar pada hari ini. Saya amat teruja kerana ini merupakan kedatangan pertama saya ke sekolah rendah ini semenjak saya menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri dan Ahli Parlimen Batu Kawan.
Hadirin yang dihormati,
Pulau Pinang merupakan negeri majmuk yang kaya dengan pelbagai budaya berbilang kaum dan agama. Lewat ini, pelbagai isu berkaitan agama telah timbul sehingga mewujudkan polemik dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Ia sepatutnya tidak timbul kerana negara kita, khususnya negeri Pulau Pinang yang sememangnya telah lama hidup harmoni antara satu sama lain.
Sikap saling menghormati, toleransi dan berbudi bahasa adalah nilai asas yang perlu ada pada semua rakyat Malaysia di samping kemahiran untuk membezakan perkara benar dan perkara yang salah. Nilai-nilai ini perlu dididik sejak kecil lagi. Pendidikan ini perlu mula diterapkan di sekolah sebagai sebuah madrasah, seperti kata pepatah meluntur buluh biarlah dari rebungnya.
Justeru, saya percaya, pihak Sekolah Seri Ad Diniah sememangnya menerapkan semua nilai-nilai murni yang akan membentuk akhlak murid-murid yang mulia kerana masa depan negara bergantung kepada semua anak-anak muda yang ada pada masa ini.
Namun, perlu saya tekankan di sini bahawa di samping peranan guru-guru di sekolah, peranan ibu bapa di rumah juga sangatlah penting. Segalanya bermula dari rumah. Saya sedar, cabaran semasa membesarkan anak-anak pada zaman ini sangatlah mencabar. Diharapkan ibu-bapa yang hadir pada hari ini dapat menjalankan tanggungjawab yang baik bagi melahirkan generasi yang berakhlak kerana saya percaya, pembangunan modal insan perlu diseiringkan dengan nilai akhlak yang baik disamping kecemerlangan akademik.
Dengan ini, Kerajaan Negeri sering membantu dan memberi sokongan kepada pembangunan serta pemerkasaan pendidikan di negeri ini termasuk pendidikan Islam. Peruntukan dan bantuan kepada sekolah-sekolah agama di bawah selian Kerajaan Negeri turut menjadi keutamaan kepada saya supaya setiap anak-anak di negeri ini menerima pendidikan yang sewajarnya tanpa sebarang kompromi. Ini termasuklah sumbangan insentif kepada guru-guru agama yang telah bertungkus lumus berkhidmat di semua sekolah agama di Pulau Pinang.
Hadirin yang dimuliakan,
Saya difahamkan bahawa bilangan murid di sekolah ini adalah seramai 370 orang untuk murid sekolah rendah dan 63 orang murid tadika. Seperti yang dimaklumkan oleh Encik Mustaqin sebentar tadi, ada masih terdapat banyak permintaan daripada ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak mereka di sekolah ini, namun atas kekangan ruang, penerimaan kemasukan murid-murid tidak dapat diteruskan. Ketahuilah bahawa Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang sedia untuk mendengar serta menghulurkan bantuan mengenai keperluan dan hal-hal yang berkaitan demi pembangunan pendidikan Islam di negeri ini.
Dalam pada itu, sukacita ingin saya maklumkan di sini, peruntukan sebanyak RM3,000 telah saya luluskan untuk disalurkan kepada pihak BAKA bagi tujuan aktiviti dan program untuk murid-murid dan guru-guru bagi tahun 2024. Semoga sekolah ini mampu melahirkan generasi ilmuan yang berakhlak demi pembangunan negara di masa hadapan
Sebagai penutup kata, terima kasih sekali lagi atas jemputan kepada saya untuk hadir ke majlis iftar pada hari ini. Saya mendoakan agar semuanya diberikan kesihatan yang baik untuk beribadat di bulan yang mulia ini.
Sekian, terima kasih.