MAJLIS BERBUKA PUASA MADANI BERSAMA YAB PERDANA MENTERI
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA MADANI BERSAMA
YAB PERDANA MENTERI
5 APRIL 2024 | JUMAAT
PUSAT ISLAM,
UITM PERMATANG PAUH
Terima kasih saudara/i pengacara majlis.
(SALUTASI)
Salam Sejahtera, Salam Penang 2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Salam Ramadan Al Mubarak kepada seluruh umat Islam yang menjalani ibadah di bulan yang mulia ini. Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri di atas kesudian beliau menghadiri majlis berbuka puasa pada hari yang berbahagia ini. Saya mewakili saf kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan selamat kembali ke kampung halaman kepada YAB Perdana Menteri.
Di samping itu, saya berasa amat terharu melihat kehadiran Tuan-tuan dan Puan-puan pada petang ini kerana sesungguhnya semangat dan komitmen untuk bersama-sama di dalam majlis ini akan memeriahkan lagi jamuan berbuka puasa kita. Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pihak urus setia kerana di dalam ketekunan mengharungi ibadah puasa, namun anda semua tetap komited dalam menyatu idea, serta menzahir upacara bagi memastikan program ini terlaksana dengan penuh tertib dan jayanya.
Yang Berhormat Datuk Seri Utama serta hadirin yang dihormati sekalian,
Kerajaan Negeri sememangnya mengambil cakna tentang kebajikan rakyat dengan menghulurkan pelbagai jenis bantuan kepada golongan yang memerlukan terutamanya ketika menjelang musim perayaan. Saya difahamkan pada hari ini terdapat penerima yang terdiri daripada pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) serta golongan asnaf yang akan menerima bantuan perlu. Meskipun sumbangan ini mungkin dilihat tidak seberapa namun, ia adalah sangat membantu dalam mengurangkan beban perbelanjaan terutama menjelang Syawal ini.
Saudara saudari yang saya hormati,
Kerajaan Negeri komited dan akan terus memberikan komitmen tinggi berhubung pemberian bantuan tanpa diskriminasi terutamanya anak-anak yang berasal dari golongan B40 dan mempunyai keinginan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif memperkasakan Tabung Amanah Pinjaman Penuntut Negeri Pulau Pinang serta Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke Institut Pengajian Tinggi (iBITA) yang berkelayakan bagi meringankan kos perbelanjaan sepanjang pengajian khususnya kepada pelajar-pelajar sesi kemasukan pertama ke IPT.
Bagi bantuan iBITA, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyalurkan sebanyak RM2.4 juta sehingga September 2023 demi memudahkan anak-anak kelahiran Pulau Pinang yang saya sayangi untuk menyambung pelajaran. Selain itu, dalam usaha untuk menjadikan Pulau Pinang ini sebagai hab bakat di peringkat global, Kerajaan Negeri meletakkan keutamaan yang tinggi terhadap pembangunan modal insan dengan mengambil inisiatif memperkasakan Tabung Amanah Pinjaman Penuntut Negeri Pulau Pinang. Sehingga tahun lalu, sebanyak RM2.9 juta telah disalurkan kepada kepada 1,303 pelajar tabung amanah ini.
Terdapat beberapa faedah yang diperoleh oleh pelajar melalui tabung amanah ini yang mana salah satunya adalah pinjaman diberikan akan bertukar kepada biasiswa sekiranya peminjam berjaya mendapatkan Ijazah Kelas Pertama mengikut IPT masing-masing.
Beralih pula kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP), pada tahun 2024, ZPP telah memperuntukkan sejumlah RM3 juta melalui bantuan Skim Zakat Pakaian Seragam Kembali ke Sekolah yang memberikan manfaat kepada 19,799 anak-anak yang memerlukan di Pulau Pinang. Bukan itu sahaja, Zakat Pulau Pinang juga telah membelanjakan sebanyak RM5.2 juta kepada 5,000 pelajar yang tergolong dalam kategori Skim Permulaan IPT, dan RM15.5 juta kepada 4,000 penerima Skim Dermasiswa yang berkelayakan.
Yang Berhormat Datuk Seri Utama serta hadirin yang dimuliakan,
Seperti yang saya tekankan sebelum ini, pendidikan merupakan aspek yang paling penting bagi memastikan usaha pembangunan modal insan dapat dilaksanakan. Ini adalah bagi melahirkan insan berakhlak dan berilmu demi menjamin masa depan Malaysia akan terus dipacu oleh insan-insaan yang berkredibiliti. Justeru, Kerajaan Negeri sentiasa memberikan sokongan serta motivasi kepada pelajar dalam pelbagai aliran bagi memastikan bakat anak-anak ini tidak disia-siakan. Diharapkan dengan bantuan-bantuan yang diberikan ini, ia dapat menjadi pemangkin semangat kepada pelajar untuk terus mencapai keputusan yang cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi.
Sebagai penutup kata, besar harapan saya untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘tanah ilmu’ pada suatu hari nanti, di samping penyumbang ekonomi terbesar negara biarpun saya sudah tidak berkhidmat sebagai Ketua Menteri lagi. Dengan ini, saya mendoakan agar semuanya dilimpahi keberkatan pada bulan Ramadan ini, dan Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.
Sekian, terima kasih.