MAJLIS MAKAN MALAM AMAL DAN MAJLIS BERBUKA PUASA ANJURAN PERSATUAN WARISAN DATO’ KOYAH
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA
MAJLIS MAKAN MALAM AMAL DAN MAJLIS BERBUKA PUASA ANJURAN PERSATUAN WARISAN DATO’ KOYAH
8 APRIL 2024 (ISNIN)
MAKAM DATO’ KOYAH
10.00PM
____________________________
Terima kasih Tuan/Puan pengacara majlis
YB Puan Lim Hui Ying
Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong
YB Tuan Teh Lai Heng
ADUN Komtar
Yang Dihormati Dr. Abdul Rashid bin S N Masooth
Presiden Persatuan Warisan Dato’ Koyah
Yang Dihormati Tuan Adam Malik bin Shahul Hamid Setiausaha Agung PERMIM dan merangkap Setiausaha Kehormat Persatuan Warisan Dato’ Koyah
Yang Berbahagia Dato’ Haja Najmudeen bin Kader, Presiden Liga Muslim Pulau Pinang
Yang Dihormati Tuan Mohamed Hasan bin Othuman, Presiden Central Muslim Society
Yang Dihormati Dato’ Dr. Ameenul Hussaini bin Abdul Kader
Presiden GAPEIM
Yang Berusaha Saudara Ewe Chee Way
Pengarah Pusat Khidmat KADUN Padang Kota/Ahli Parlimen Batu Kawan
Dato’-Dato’, Tuan-tuan, Puan-puan dan rakan-rakan media yang dihormati sekalian.
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, tahniah diucapkan kepada Persatuan Warisan Dato’ Koyah kerana berjaya menganjurkan Majlis Makan Malam Ramadan ke-30 ini yang juga diadakan setiap tahun oleh pihak persatuan sebagai tanda kesyukuran, dan juga bertujuan untuk mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama masyarakat pelbagai bangsa di sekitar George Town.
Umumnya, Kerajaan Negeri menyokong sepenuhnya usaha-usaha yang dilakukan oleh Persatuan Warisan Dato’ Koyah ini untuk memastikan Pulau Pinang kekal sebagai sebuah negeri yang kukuh teras perpaduannya.
Tatkala dunia sedang menelusuri arus globalisasi, amat penting bagi majlis-majlis sebegini untuk mengekalkan identiti serta jati diri, dalam usaha menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Saya dimaklumkan bahawa banyak aktiviti amal dan kemasyarakatan sedang dirangka, dan juga telah dijalankan sepanjang tahun ini di bawah pimpinan Presiden Dr. Abdul Rashid. Antaranya, penganjuran “Kelas Bacaan Maulud” pada setiap hari Khamis serta Jumaat dan juga program “Memasak serta Mengedarkan Makanan Percuma kepada Orang Ramai” pada setiap hari Khamis.
Di sini, saya juga ingin memuji usaha gigih pihak persatuan dalam memulihara dan memelihara makam ulama tersohor ini yang diiktiraf sebagai status warisan UNESCO Kategori Satu dan memperoleh pengiktirafan Anugerah Kehormat Juri Kategori Konservasi, Penambahbaikan dan Adaptasi serta Kategori Program Dana Aktiviti Warisan dan Kebudayaan.
Amat diharapkan kepesatan industri pelancongan berasaskan warisan dan budaya di George Town akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi khususnya pada peringkat tempatan sekaligus turut menyuntik kebaikan kepada masyarakat setempat.
Saya tidak bercadang untuk berucap dengan lebih panjang, sebagai penutup kata, sekali lagi, sekalung penghargan diucapkan kepada semua jawatankuasa penganjur majlis yang penuh bermakna ini. Mengambil peluang ini juga, saya ucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakan-rakan saya yang beragama Islam. Semoga bergembira bersama-sama sanak saudara tersayang di hari lebaran ini.
Sekian, terima kasih.