MAJLIS TAHLIL & IFTAR ANJURAN PERSATUAN SAUDAGAR-SAUDAGAR PERMATA DAN PENUTIAN WANG MUSLIM PULAU PINANG (MJMC)
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS TAHLIL & IFTAR ANJURAN PERSATUAN SAUDAGAR-SAUDAGAR PERMATA DAN PENUTIAN WANG MUSLIM PULAU PINANG (MJMC)
8 APRIL 2024 (ISNIN) ; 6.45 PETANG ;
LORONG SOO HONG, OFF LEBUH AH QUEE
YB Teh Lai Heng
ADUN Komtar
Dr. Haji Anvar Hussain
Presiden Persatuan Saudagar-Saudagar Permata dan Penutian Wang Muslim Pulau Pinang (MJMC)
Ahli Jawatankuasa Persatuan Saudagar-Saudagar Permata dan Penutian Wang Muslim Pulau Pinang
Para Jemputan dan rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Saudagar-Saudagar Permata dan Penutian Wang Muslim Pulau Pinang (MJMC) atas jemputan ke Majlis Tahlil & Iftar pada petang ini.
Saya amat berbesar hati dapat menyertai majlis ini bersama anda semua seperti tahun-tahun sebelumnya, dan tahniah kepada MJMC atas kejayaan penganjuran kali ini.
Sebagai sebuah persatuan berteraskan perniagaan, komitmen yang dimainkan oleh setiap individu dalam persatuan adalah sangat penting dan harus dipuji serta dihargai.
MJMC yang ditubuhkan sejak tahun 1973 mempunyai keunikannya tersendiri yang mana ia adalah terdiri daripada gabungan dua perniagaan berbeza iaitu peniaga kedai emas dan juga pengurup wang (money changer).
Hadirin yang dihormati,
Sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Negeri sehingga kini, aspek kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan sama ada dalam ekonomi, sosial, pendidikan mahupun keagamaan.
Malah, peranan yang dimainkan dalam bidang ekonomi serta perniagaan menjadi amat penting untuk Pulau Pinang yang mana ia menghidupkan sosioekonomi masyarakat sekali gus menjana pertumbuhan pesat ke arah membina sebuah negeri yang makmur dan sejahtera.
Tidak hanya itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga sentiasa komited dalam menambah baik agenda pemerkasaan perancangan pembangunan agar pelaksanaan dasar dan projek-projek pembangunan dapat memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat negeri ini.
Komitmen ini adalah selaras dengan Visi Penang2030 dan juga kerangka Malaysia Madani yang bermatlamat menambah baik kualiti kehidupan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Oleh itu, saya berharap agar rakyat di negeri ini terus berdedikasi memainkan peranan sebagai pencetus dan pencipta ekonomi dalam mewujudkan peluang-peluang perniagaan dan mata pencarian, seterusnya menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang memberi inspirasi kepada semua sama ada dalam dan juga luar negara.
Saudara dan Saudari sekalian,
Justeru, adalah menjadi harapan saya agar Kerajaan Negeri dan rakyat dapat menjalinkan kerjasama sebagai satu pasukan dalam memacu pembangunan dan kemajuan negeri ke tahap yang lebih tinggi.
Kita sama-sama boleh lakukan demi negeri yang kita cintai ini.
Sebagai penutup kata, tahniah sekali lagi kepada barisan jawatankuasa yang terlibat dalam memastikan majlis pada petang ini berjalan dengan lancar. Malah, saya juga percaya menerusi penganjuran majlis sebegini ia akan dapat mengeratkan lagi ikatan silaturahim sedia terjalin.
Dalam pada itu, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Semoga bergembira dengan sanak saudara tersayang dan berhati-hati di jalan raya serta di mana sahaja anda semua berada.
Sekian, terima kasih.