KARNIVAL RAYA ANJURAN PARLIMEN BUKIT BENDERA

NOTA PERCAKAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA KARNIVAL RAYA ANJURAN PARLIMEN BUKIT BENDERA

14 APRIL 2024 (AHAD) | 1230 TENGAH HARI

SK JALAN RESIDENSI
________________________________________________

[Salutasi]

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

➢ Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Salam Aidilfitri kepada semua umat Islam yang menyambut hari kemenangan ini setelah sebulan berpuasa. Malah, sekalung penghargaan saya ucapkan kepada Ahli Parlimen Bukit Bendera, Saudari Syerleena dan pasukannya yang menjayakan penganjuran majlis pada hari ini.

➢ Kepada semua hadirin, ribuan terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk bersama-sama saya dan juga barisan kepimpinan saya meraikan sambutan perayaaan yang begitu signifikan kepada kita sebagai rakyat Malaysia pada hari ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

➢ Pulau Pinang merupakan negeri majmuk yang kaya dengan pelbagai budaya berbilang kaum dan agama. Sikap saling menghormati, toleransi dan berbudi bahasa adalah nilai asas yang perlu ada pada semua kita di samping kemahiran untuk membezakan perkara benar dan perkara yang salah.

➢ Justeru, sebagaimana ditekankan dalam perutusan Aidilfitri saya baru-baru ini, besar harapan saya untuk terus menyaksikan nilai-nilai ini termasuk bersama-sama meraikan kepelbagaian yang telah lama berakar umbi di Pulau Pinang ini, kian mekar mengharum supaya pembangunan negeri akan lebih menyeluruh dengan kemantapan nilai-nilai kemanusiaan di samping pembangunan kelestarian serta ekonomi.

➢ Sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Negeri sehingga kini, aspek kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan sama ada pada aspek ekonomi, sosial, pendidikan mahupun keagamaan. Malah, bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kami akan meneruskan agenda Visi Penang2030 yang dijadikan panduan untuk memacu negeri ini. Sememangnya, pemerkasaan rakyat melalui kepelbagaian program serta dasar yang sedang dan telah direncanakan mampu membawa golongan sasaran keluar dari kepompong sedia ada dan seterusnya mengurangkan ketidaksamaan yang wujud.

➢ Serentak itu, kepelbagaian inisiatif yang telah digariskan dalam Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 turut dipantau dengan rapi yang mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa komited untuk menambah baik agenda pemerkasaan perancangan pembangunan agar pelaksanaan dasar serta projek-projek pembangunan dapat memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat negeri ini, dan juga selaras dengan kerangka Malaysia Madani.

Saudara dan Saudari yang dihormati sekalian,

➢ Adalah menjadi harapan saya agar Kerajaan Negeri dan rakyat dapat menjalinkan kerjasama sebagai satu pasukan dalam memacu pembangunan dan kemajuan negeri ke tahap yang lebih tinggi. Contohnya, setelah 10 tahun berusaha keras, pelaksanaan projek transit aliran ringan (LRT) di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) akhirnya dapat dilaksanakan. Saya berasa amat bersyukur dengan perhatian yang diberikan oleh Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim serta barisan kabinetnya kepada negeri Pulau Pinang.

➢ Seterusnya adalah Projek Air Perak - Pulau Pinang yang juga diharap bakal memperoleh perhatian daripada Kerajaan Persekutuan agar pelaksanaanya dipercepatkan demi jaminan pembekalan air di negeri ini. Tidak terkecuali adalah projek Lebuh Raya Juru – Sungai Dua yang begitu mendesak kini dan juga Pelan Induk Pesisir Pantai Utara (North Seafront Masterplan) serta Pesisir Pantai Timur (East Seafront) yang turut diketengahkan oleh saya di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,

➢ Saya tidak ingin berucap dengan lebih panjang, sempena Aidilfitri ini, gunakanlah kesempatan untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan mengeratkan ikatan silaturahim tanpa mengira latar belakang anutan agama, bangsa, politik kepartian mahupun budaya.

➢ Kepada ahli jawatankuasa penganjur, sekali lagi, tahniah diucapkan di atas kelancaran majlis yang berlangsung ini. Mengambil kesempatan ini, saya dan juga bagi pihak seluruh barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua.

➢ Saya mendoakan supaya sambutan hari raya yang disambut pada tahun ini menjadikan kita insan yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang