MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL MALAYSIA BOOK OF RECORDS (MBOR) PENANAMAN SATU JUTA POKOK DALAM SEHARI SEMPENA HARI BUMI

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL MALAYSIA BOOK OF RECORDS (MBOR) PENANAMAN SATU JUTA POKOK DALAM SEHARI SEMPENA HARI BUMI

22 APRIL (ISNIN) | 8 MALAM

ANJUNG SERI MUTIARA

Terima kasih saudara/i Pengacara Majlis

Tuan Yang Terutama, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang

YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang

YB barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YBhg. Dato’ Seri Sr. Haji Rozali bin Haji Mohamud
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

YBrs. Encik Christoper Wong Hong Wai
Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records

Ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, barisan ahli jawatankuasa penyelaras

Rakan-rakan media serta para hadirin yang dihormati sekalian.

Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang hadir, kerana pada malam ini kita dapat berkumpul bagi bersama-sama menyaksikan Penyampaian Sijil Malaysia Book of Records Penanaman Satu Juta Pokok Dalam Sehari Sempena sambutan Hari Bumi pada 22 April 2024.

Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Yang Terutama, Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang telah mencetuskan idea penanaman satu juta pokok ini yang mana ia sangat bertepatan dengan keadaan iklim dunia kian meruncing pada ketika ini. Malah, saya juga amat terharu apabila majlis pada malam ini dianjurkan di kediaman Tun sendiri. Terima kasih Tun.

Dalam pada itu, syabas juga saya ucapkan kepada YBhg. Dato Seri Sr. Haji Rozali bin Haji Mohamud, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Amal TYT Pulau Pinang yang telah bekerja keras dan memainkan peranan yang amat penting dalam kerja-kerja perancangan program, mengkoordinasikan sumber-sumber diperlukan, mengatur sumber manusia, memotivasikan tenaga kerja dan seterusnya memantau sehingga program ini mencapai kejayaan.

Tahniah juga kepada YB Dato’ Seri Sundarajoo, Exco Perumahan dan Alam sekitar, yang menggembleng tenaga sokongan daripada jabatan-jabatan kerajaan, swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi berasaskan komuniti (CBO). Seterusnya, saya ingin menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua yang terlibat bagi menjayakan program ini demi negeri yang kita cintai ini.

Tuan Yang Terutama Tun serta hadirin yang dihormati sekalian,

Pencapaian penanaman satu juta pokok adalah sangat penting dalam usaha menghijaukan Pulau Pinang, selari dengan Visi Penang2030 yang berinspirasi menjadikan negeri ini sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Tambahan pula, berikutan data diperoleh daripada kajian Penang2030 yang menunjukkan suhu purata Pulau Pinang akan meningkat 1.5 darjah celsius menjelang tahun 2030.

Gabungan peningkatan suhu ini serta ancaman-ancaman seperti banjir, kemarau mahupun penyakit-penyakit yang berkaitan bukan sahaja akan memberi impak negatif kepada pembangunan sosioekonomi di negeri kita, malah juga seluruh negara, memandangkan kedudukan Pulau Pinang yang menjadi negeri penyumbang terbesar eksport kepada jumlah dagangan Malaysia serta merekodkan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dalam negara.

Saya amat teruja apabila dimaklumkan bahawa sehingga kini, sasaran menanam 500,000 batang pokok telahpun dicapai, dan hari ini kita mencatat sejarah baru dengan menanam satu juta pokok yang akan menjadi tambahan kepada pokok-pokok sedia ada dalam negeri supaya pada suatu hari nanti, anak cucu kita dapat menikmati teduhan pohon-pohon ini yang bukan sahaja mampu menyejuk serta menyamankan persekitaran, malah juga mampu berfungsi dalam mengurangkan kesan pemanasan global melalui penyerapan karbon dioksida terutamanya di kawasan-kawasan yang membangun.

Tuan Yang Terutama Tun serta hadirin yang disayangi,

Seperti yang saya pernah cadangkan tidak lama dahulu, saya berpendapat alangkah moleknya jika setiap tahun dapat diisytiharkan hari menanam pokok supaya budaya penanaman pokok ini dapat disemai dalam jati diri setiap anak Pulau Pinang, dan sekaligus dapat mendidik anak-anak ini menjadi golongan yang peka serta bertanggungjawab dengan perubahan iklim dan alam sekitar.

Secara tidak langsung, usaha ini mampu meletakkan Pulau Pinang di mata dunia sebagai sebuah lokasi pelancongan hijau dan pusat kajian strategik kemampanan selaras dengan kehendak kemampanan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di samping lokasi yang mendapat pengiktirafan UNESCO.

Saya tidak merancang untuk berucap dengan lebih panjang, sebagai penutup kata, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun, kerana dengan idea serta bimbingan daripada Tuan Yang Terutama Tun, negeri kita sekali lagi dapat mencapai kejayaan demi kejayaan yang akhirnya akan memanfaatkan seluruh warga Pulau Pinang.

Sekian, Terima kasih,

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang