MAJLIS PENANAMAN 150,000 POKOK PERINGKAT PARLIMEN BATU KAWAN SEMPENA INISIATIF PENANAMAN 1 JUTA POKOK DI PULAU PINANG PADA HARI BUMI 2024

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PENANAMAN 150,000 POKOK PERINGKAT PARLIMEN BATU KAWAN SEMPENA INISIATIF PENANAMAN 1 JUTA POKOK DI PULAU PINANG PADA HARI BUMI 2024

22 APRIL (ISNIN) | 8.15 PAGI

PEACOCK ECO PARK, PERAI
_________________________

Terima kasih saudara/i Pengacara Majlis.

[SALUTASI]

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Yang Berhormat Dato’ Seri Sundarajoo Somu serta pihak urus setia majlis penanaman 150,000 pokok pada pagi ini, di atas kesudian menjemput saya untuk turut bersama dalam majlis yang cukup bersejarah ini.

Sebagai makluman hadirin sekalian, inisiatif penanaman 150,000 pokok peringkat Parlimen Batu Kawan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai merupakan salah satu usaha yang dijalankan sempena Program Penanaman Satu Juta Pokok di Pulau Pinang sempena sambutan Hari Bumi pada hari ini iaitu 22 April.

Yayasan Amal Tuan Yang Terutama Pulau Pinang dengan kerjasama Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perumahan dan Alam Sekitar telah bertungkus lumus dan begitu komited ke arah usaha merealisasikannya. Sukacitanya dimaklumkan bahawa usaha murni ini bakal mencipta sejarah pada petang ini dengan pengiktirafan Malaysian Book of Records (MBOR) dan disaksikan sendiri oleh Tuan Yang Dipertua Negeri (TYT). Ini bermakna, sebuah lagi kejayaan berjaya digapai, syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat!

Hadirin yang dihormati,

Sebagai Ketua Menteri dan juga Ahli Parliman bagi kawasan Batu Kawan, saya menyambut baik usaha yang telah diambil oleh Pejabat ADUN Perai dengan kerjasama dan sokongan daripada agensi-agensi Kerajaan Negeri serta Persekutuan di peringkat daerah serta institusi kepimpinan di peringkat akar umbi. Ini termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menanam sebanyak 150,000 pokok di KADUN Perai pada pagi yang mulia ini.

Saya difahamkan bahawa jumlah ini merupakan yang terbesar yang ditanam di satu-satu KADUN pada hari ini membabitkan seluruh Pulau Pinang. Sekali lagi, tahniah saya ucapkan.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya berpandangan inisiatif yang diambil oleh Yayasan Amal Tuan Yang Terutama Tun merupakan cerminan terhadap kepekaan dan komitmen Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Abdul Razak, dan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan sasaran Visi Penang2030 iaitu untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang prihatin, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa terbuka dan menyokong penuh segala usaha yang dilaksanakan untuk memperkasa daya tahan iklim negeri selaras yang digariskan dalam Tema D Visi Penang2030 iaitu ‘melabur dalam persekitaran terbina bagi menambah baik daya pemulihan’. Usaha penanaman pokok ini adalah bertepatan dengan strategi D1 iaitu ‘Mengimbangi Pembangunan melalui perancangan ruang yang berkesan’ dan strategi D4 iaitu ‘Melaksanakan rancangan penyusuaian perubahan iklim’.

Hadirin sekalian,

Saya amat bangga melihatkan usaha berterusan Kerajaan Negeri mendapat sokongan daripada pelbagai pihak yang bukan hanya dapat memberikan impak positif kepada rakyat Pulau Pinang, malah sekaligus akan membantu Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai infrastruktur asas utuh dalam menerajui agenda ketahanan iklim negara.

Di samping usaha-usaha hijau lain, saya amat berbangga kerana negeri kita Pulau Pinang telah mengambil langkah yang progesif untuk memperkasakan agenda ini melalui inisiatif penanaman Satu Juta Pokok di Pulau Pinang sempena Hari Bumi dengan sokongan penuh Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Abdul Razak.

Pada pagi ini, saya berbesar hati dapat melihat sendiri komitmen serta usaha berterusan daripada saudara dan saudari sekalian sebagai pemegang taruh utama di negeri kita dalam menyumbang tenaga serta masa demi menjamin masa hadapan lebih hijau, mampan dan lebih terjamin untuk anak-anak kita semua.

Saya difahamkan antara pokok yang ditanam dalam usaha ini termasuklah spesies buah-buahan tempatan, herba, bunga, tumbuhan landskap serta pokok paya bakau. Semoga segala usaha kita untuk menjadikan negeri ini lebih hijau, selamat dan menjadikan kita semua insan-insan peka dan bertanggungjawab dengan perubahan iklim yang melanda dunia kini. Sekali lagi, tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada semua.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang