MAJLIS KENDURI RAKYAT AIDILFITRI PERPADUAN BERSAMA YAB PERDANA MENTERI
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS KENDURI RAKYAT AIDILFITRI PERPADUAN BERSAMA YAB PERDANA MENTERI
5 MEI 2024 (AHAD) | 1.35 PETANG
GALERI PEJUANG,
CHEROK TOK KUN
Terima kasih saudara/i pengacara majlis.
[SALUTASI]
Salam Sejahtera, Salam Penang 2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilftri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua penduduk Cherok Tok Kun dan kawasan sekitarnya. Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri di atas kesudian menghadiri majlis kenduri rakyat pada hari yang berbahagia ini.
Saya mewakili barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan selamat kembali ke kampung halaman, akhirnya YAB Dato’ Seri kembali beraya di Pulau Pinang pada tahun ini.
Di samping itu, saya berasa amat terharu melihat kehadiran Tuan-tuan dan Puan-puan pada petang ini, kerana sesungguhnya semangat dan komitmen untuk bersama-sama di dalam majlis ini akan memeriahkan lagi jamuan kenduri rakyat pada hari ini. Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pihak urus setia kerana di dalam kesibukan menguruskan program Madani Rakyat 2024, namun anda semua tetap komited dalam menyatu idea, serta menzahir upacara bagi memastikan program ini terlaksana dengan penuh tertib dan jayanya.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri serta hadirin yang dihormati sekalian,
Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyokong penuh usaha Perdana Menteri dalam membasmi dan menoktahkan kemiskinan tegar dalam negara demi kesejahteraan hidup rakyat secara umumnya. Dato' Seri Utama sendiri ketika pulang berbuka puasa di Pulau Pinang bulan lalu telah mengumumkan bahawa Pulau Pinang dijangka mencatatkan rekod sifar kemiskinan tegar pada Jun ini.
Sukacita dimaklumkan bahawa sehingga 29 April 2024, negeri ini telah mencatatkan seramai 45 ketua isi rumah (KIR) dalam kategori miskin tegar berbanding 4,949 KIR pada 31 Januari 2023. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan syabas kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan semua pihak yang bertungkus lumus dalam mengenal pasti keluarga yang terlibat dan menyalurkan bantuan supaya keluarga ini keluar daripada garis kemiskinan tegar.
Ketika ini, ICU telahpun menyalurkan bantuan khas kewangan selama tiga (3) bulan berturut-turut bermula April sehingga Jun 2024 kepada KIR yang terlibat dalam usaha mencukupkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang telah ditetapkan. Kini, tiada lagi keluarga yang tergolong di bawah garis kemiskinan tegar di Pulau Pinang, dan Kerajaan Negeri akan berusaha memastikan data ini dapat dikekalkan sehingga bantuan khas ini dihentikan pada Julai kelak.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Pejabat Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Pembangunan Bukan Islam juga telah mengaturkan sesi perbincangan bersama ICU bagi menyelaraskan Dasar Pembasmian Kemiskinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya bantuan kewangan bulanan dapat disalurkan kepada KIR di negeri ini demi membantu meningkatkan pendapatan rakyat.
Namun, harus saya ingatkan sudah tentu dari masa ke masa, angka KIR itu akan berubah kerana garis kemiskinan tegar itu berubah. Jadi, Kerajaan Negeri akan melihat kepada pelaporan miskin tegar tahunan yang akan dijadikan sasaran untuk mengeluarkan sejumlah keluarga itu daripada paras miskin tegar setiap tahun.
Saudara saudari yang saya hormati,
Tidak hanya tertumpu kepada golongan miskin tegar, bantuan Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus melaksanakan i-Sejahtera yang merupakan sumbangan penghargaan dan keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berbentuk kewangan kepada rakyat Pulau Pinang iaitu warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, suri rumah dan bayi berumur dua (2) tahun ke bawah. Daerah Seberang Perai Tengah sahaja telah diperuntukkan anggaran perbelanjaan berjumlah RM10,118,400 yang merangkumi bilangan penerima berjumlah 56,157 orang.
Kita kini berada dalam daerah Seberang Perai Tengah yang baru-baru ini telah dilanda kejadian bencana yakni banjir kilat dan kejadian ribut. Syabas saya ucapkan kepada barisan penjawat Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (PDTSPT) yang telah mengambil langkah awal dan proaktif bersama-sama agensi-agensi dan pihak berkepentingan yang lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ikatan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam mengatur gerak kerja serta memberikan bantuan secara pantas dan efisien. Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (PDTSPT) telah memproses dan mempercepatkan pembayaran kepada mangsa-mangsa ribut yang berkaitan menggunakan peruntukan Tabung Bencana Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak.
Tidak hanya itu, Daerah Seberang Perai Tengah juga adalah lokasi yang bertuah ekoran terpilih untuk menjadi lokasi Pusat Logistik Kemanusiaan atau lebih dikenali sebagai Depoh Bencana, yang mana peruntukan berjumlah RM6.5 juta telah diluluskan untuk menjadikan depoh ini sebagai hub stor simpanan bagi semua keperluan bencana di Negeri Pulau Pinang.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama serta hadirin yang dimuliakan,
Sebagai penutup kata, bersempena juga di tempat lahir Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri, besar harapan saya untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai penyumbang ekonomi terbesar negara yang berterusan biarpun saya sudah tidak berkhidmat sebagai Ketua Menteri kelak. Saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh anggota perkhidmatan awam dan swasta yang bertungkus lumus menyumbang kepada pembangunan ekonomi di negeri ini.
Di samping itu, adalah menjadi impian saya supaya seluruh rakyat Pulau Pinang terus membangun dari segi sosial yakni mempunyai keperibadian yang mulia, berilmu dan berwawasan. Sebagai penutup kata, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang hadir pada hari ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
Sekian, terima kasih.