PROGRAM MADANI RAKYAT ZON UTARA

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA

PROGRAM MADANI RAKYAT ZON UTARA

5 MEI 2024 (AHAD) | 9.50 PAGI

TAPAK PESTA SUNGAI NIBONG, PULAU PINANG 
Terima kasih saudara/saudari pengacara majlis.

[SALUTASI]

Selamat Petang, Salam Sejahtera, Salam Penang 2030, dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri yang sudi bersama-sama kita semua dalam Program MADANI Rakyat Zon Utara tahun 2024. Rasanya, masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua hadirin yang sanggup meluangkan masa untuk bersama-sama dalam majlis yang mulia ini.

Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kementerian Pengangkutan selaku Kementerian Peneraju program ini, Kerajaan Negeri Kedah, Kerajaan Negeri Perlis, Kementerian-kementerian serta semua agensi yang telah memberikan komitmen yang tinggi dalam menyatu idea, menyempurna kerja, menzahir upacara bagi memastikan program ini terlaksana dengan jayanya serta dapat dilihat jumlah pengunjung yang hadir juga menjangkaui sasaran awal. Syabas diucapkan.

Yang Berhormat Datuk Seri Utama, serta hadirin yang dikasihi,

Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam usaha memajukan negeri Pulau Pinang kerana segala kemudahan yang dibangunkan adalah untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Buktinya dapat dilihat melalui kepesatan pembangunan negeri ini serta kehidupan masyarakat majmuk yang aman dan damai. Secara peribadi, saya amat berbangga menjadi seorang Ketua Menteri kepada sebuah negeri yang mana rakyatnya cintakan kesepaduan dan meraikan kepelbagaian sekaligus menonjolkan nilai-nilai masuarakat Madani.

Hari ini, kita semua berkumpul dalam Program MADANI Rakyat Zon Utara 2024 yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula 3 Mei sehingga hari ini, iaitu kesinambungan daripada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, yang menjadi wadah masyarakat mendapatkan maklumat meliputi 163 perkhidmatan kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi berkaitan. Sesungguhnya, pelbagai perkhidmatan touch point boleh didapati melalui program tiga (3) hari ini seperti kaunter pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM), kaunter pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan perkhidmatan Bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memudahkan orang ramai yang ingin memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) persendirian atau perdagangan selain program penukaran topi keledar sepanjang 3 hari ini.

Dari pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pelbagai program juga telah diatur seperti Skim I-Sejahtera, projek perumahan baharu, pameran dan advokasi sistem pengangkutan, bayaran kompaun tempat letak kereta, bayaran Fi lesen dan macam-macam lagi. Dianggarkan seramai 200,000 pengunjung telah mengunjungi Program MADANI Rakyat Zon Utara pada kali ini. Syabas dan tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat.

Saudara saudari yang saya hormati,

Sebagai peneraju kuasa ekonomi negara, Pulau Pinang memuji usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri dalam usaha-usaha menarik pelaburan strategik melalui lawatan-lawatan kerja ke luar negara. Harus diakui, bahawa lawatan kerja sedemikian telah berjaya menarik potensi pelaburan asing berjumlah RM76.1 bilion setakat Mac sekaligus berpotensi merealisasikan pelaburan di beberapa negeri dalam Malaysia, saya berharap termasuk juga ke Pulau Pinang.

Walaupun Pulau Pinang berjaya mengekalkan status sebagai penyumbang terbesar eksport kepada jumlah dagangan negara serta merekodkan aliran masuk pelaburan tertinggi di Malaysia, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan sektor pembuatan dan perkhidmatan demi kemampanan ekonomi pada masa akan datang. Pulau Pinang lazimnya berhasrat untuk menguasai bidang baharu yang sudah tentu tidak hanya bermanfaat kepada ekonomi negeri malah mampu menjadi limpahan buat negeri-negeri di koridor utara.

Selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), sektor berimpak tinggi seperti Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC), Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) akan diberi penekanan di Pulau Pinang. Malah, Industri dan Pelancongan Halal serta Fintech dalam kewangan Islam akan diperkukuhkan ke dalam usaha Pulau Pinang untuk mempelbagaikan aliran masuk pelaburan dan pendapatan ke Malaysia umumnya.

Justeru, saya melihat lawatan kerja baru-baru ini oleh Perdana Menteri ke Arab Saudi serta beberapa negara lain berpotensi untuk membantu Pulau Pinang mencapai matlamat ini. Oleh itu, besar harapan saya agar Perdana Menteri membantu Pulau Pinang mencapai cita-cita tersebut dengan mengalirkan potensi pelaburan tersebut ke Pulau Pinang yang kini bergelar Lembah Silikon di Timur.

Hadirin yang dirahmati,

Rakyat di Pulau Pinang pada hari ini bersyukur kerana Kerajaan Madani amat prihatin dengan keperluan pembangunan negeri dan rakyat. Saya ingin sekali lagi menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Anwar bin Ibrahim kerana telah meluluskan beberapa projek besar untuk membangunkan negeri Pulau Pinang.

Melalui pelaksanaan projek-projek ini, ianya satu manifestasi hubungan baik yang terjalin di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Saya berharap agar kesemua perancangan projek-projek ini berjalan dengan lancar serta dapat dimanfaatkan oleh rakyat dalam tempoh waktu yang telah ditetapkan.

Sebagai penutup kata, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang hadir untuk program ini. Saya sekali lagi mewakili rakyat Pulau Pinang amat berbesar hati di atas kehadiran YAB Perdana Menteri bersama-sama kita pada hari ini dan marilah sama-sama kita mendengar ucapan beliau sebentar lagi.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang