RUMAH TERBUKA HARI RAYA KADUN PERAI
NOTA PERCAKAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA RUMAH TERBUKA HARI RAYA KADUN PERAI
5 MEI 2024 | 6.30 PETANG
KAMPUNG MANIS, PERAI
Yang Berhormat Lim Guan Eng
Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih
Yang Berhormat Dato’ Seri Sundarajoo Somu
Exco Perumahan dan Alam Sekitar merangkap ADUN Perai
Yang Berhormat ADUN-ADUN
Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai
Yang Berbahagia Dato’-Dato’, Datin-Datin, rakan-rakan media, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
>> Pada malam 26 Syawal yang mulia ini, rasanya saya masih berkesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua hadirin yang hadir pada malam ini khususnya penduduk daripada Kampung Manis yang manis-manis belaka.
>> Suka saya menerima jemputan untuk hadir dalam majlis pada hari ini untuk menyambut Aidilfitri, yang mana penganjuran dan kehadiran tetamunya terdiri daripada pelbagai bangsa yang semakin mengukuhkan realiti bahawa Pulau Pinang merupakan negeri yang kukuh nilai perpaduannya.
Hadirin sekalian,
>> Awal tahun ini, saya dan Dato’ Seri Sundarajoo bersama-sama Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) cadangan pembangunan projek Rumah Mampu Milik di Kampung Manis.
>> Saya telah dimaklumkan oleh pihak YB Sundarajoo bahawa kini, projek pembangunan tersebut sedang dalam proses pelantikan pemaju, dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027, bersamaan kemungkinan tahun akhir penggal saya berkhidmat sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.
>> Projek ini begitu dekat di hati saya, seperti yang telah saya katakan sebelum ini bahawa saya membesar sebagai anak penempatan setinggan. Pembangunan kawasan ini adalah amat penting iaitu sebagai pembangunan perumahan yang lebih teratur dan efisien demi kesejahteraan masyarakat setempat, supaya tiada lagi anak-anak membesar tanpa infrastruktur yang lengkap serta sistem perparitan yang tidak baik.
>> Sepanjang hari ini, saya telah meluangkan masa bersama YAB Perdana Menteri Dato’Seri Utama Anwar Ibrahim. Pelbagai isu telah dikupas antaranya pembangunan sosial, ekonomi, isu kemiskinan tegar dan macam-macam lagi.
>> Ketahuilah bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama Kerajaan Persekutuan sedang menumpukan sepenuh tenaga dan upaya untuk membangunkan semula negara demi kemashalahatan semua.
>> Dengan ini, saya cuma memohon sokongan dan doa daripada hadirin semua agar projek-projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan demi kesejahteraan semua pihak.
>> Sebagai peutup kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyumbang kepada kemajuan negeri ini. Marilah kita sambut Hari Raya ini dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran, sambil memperkukuhkan lagi ikatan persaudaraan dalam kalangan kita. Sekali lagi, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Dan Batin.
Sekian, terima kasih.