PESTA KEBUDAYAAN DAN KESENIAN USM 2024
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA PESTA KEBUDAYAAN DAN KESENIAN USM 2024
12 MEI 2024 (AHAD) | 8.00 MALAM
PADANG KAWAD, KAMPUS INDUK USM
[Salutasi]
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua Universiti Sains Malaysia (USM) kerana sudi menjemput saya untuk bersama-sama memeriahkan Pesta Kebudayaan dan Kesenian USM 2024 pada malam yang berbahagia ini.
Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua ahli jawatankuasa penganjur yang telah bertungkus lumus menganjurkan pada hari ini yang mana ianya bertujuan untuk mempromosikan keunikan dan kekayaan budaya tempatan kepada semua lapisan masyarakat.
Sesuai dengan slogan ‘Kami Memimpin’, saya sebagai alumni USM amat berbangga dengan usaha pihak penganjur yang berupaya menyediakan platform seperti ini untuk berkongsi ilmu serta mempromosikan warisan budaya yang telah diwarisi sejak turun temurun supaya ianya tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Seperti yang diketahui umum, Bandaraya George Town telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO berdasarkan Nilai Keunggulan Sejagat yang mempamerkan kepelbagaian budaya yang sebati dalam warisan hidup dan warisan binaan. Jelas, peninggalan sejarah serta keragaman warna-warni budaya yang masih subur di Pulau Pinang mencerminkan pemeliharaan tradisi pelbagai etnik dan kaum secara harmoni termasuk budaya masyarakat Melayu, Cina, India dan Baba Nyonya.
Pemeliharaan warisan, seni dan budaya yang begitu berharga ini bukan sahaja harta yang tidak ternilai, tetapi juga ia merupakan simbol integrasi serta perpaduan antara bangsa yang berbeza. Dengan menghormati dan memelihara warisan budaya di Pulau Pinang khususnya, ia merupakan aspek yang sangat penting dalam usaha memastikan generasi muda dan generasi akan datang dilahirkan dalam sebuah masyarakat yang menjunjung identiti sebagai ‘Bangsa Malaysia’.
Saudara dan saudari sekalian,
Sesungguhnya, saya amat bangga melihatkan penglibatan golongan muda dalam penganjuran yang bertemakan ‘Rustic Splendour’ yang mana sekaligus membawa isyarat bahawa golongan muda atau lebih dikenali sebagai ‘gen z’ ini merupakan generasi yang amat bertanggungjawab serta mementingkan pemeliharaan warisan, seni dan budaya.
Sebagai Ketua Menteri, adalah menjadi usaha dan harapan saya untuk membentuk sebuah masyarakat yang berilmu. Justeru, saya menyokong penuh agar acara sebegini diketengahkan lagi bagi membentuk sebuah masyarakat berpengetahuan serta cintakan negara yang tersulam dengan pelbagai peristiwa dalam lipatan sejarah ibu pertiwi ini.
Sebagai penutup kata, saya berharap semua pihak yang terlibat dalam persiapan program ini dapat memperoleh pengalaman dan mengekalkan semangat kerjasama antara satu sama lain. Semoga Pesta Kebudayaan dan Kesenian USM 2024 pada malam ini bakal membawa kebahagiaan, inspirasi dan kebanggaan kepada kita semua. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Pesta Kebudayaan dan Kesenian USM 2024.
Sekian, terima kasih.