MAJLIS PERASMIAN HARI MUZIUM ANTARABANGSA
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PERASMIAN HARI MUZIUM ANTARABANGSA
18 MEI 2024 (SABTU) | 11 PAGI
DEWAN SRI PINANG
[Senarai salutasi]
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya mewakili barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengucapkan selamat datang ke kepada para tetamu yang sudi bersama-sama di Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2024. Pada pagi yang berbahagia ini, satu lembaran sejarah telah terpatri buat negeri Pulau Pinang yang mana setelah 27 tahun festival ini menjelajah ke segenap negeri di seluruh Malaysia, akhirnya untuk sambutan kali ke-28, ia ‘berlabuh’ di Pulau Pinang buat julung kalinya.
Majlis Perasmian Festival Hari Muzium Antarabangsa ini yang menghimpunkan para pejuang ilmu dan sejarah daripada dunia permuziuman termasuk bidang kebudayaan, kesenian serta warisan. Program ini secara tidak langsung merupakan titik penyatupaduan dan kebersamaan dalam bersama-sama memperkasakan institusi permuziuman, memperkembangkan peradaban minda masyarakat dan mengimbangkan keperluan antara pemodenan serta warisan sejarah.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Saya sedar bahawa tugas sebagai penjaga amanah warisan sejarah serta kebudayaan bukanlah mudah dan sering kali berdepan dengan pelbagai cabaran. Hakikatnya, tanpa kewujudan institusi muzium, segala warisan tinggalan sejarah akan lenyap daripada pengetahuan anak bangsa. Justeru, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat atas segala usaha pemeliharaan dan pemuliharaan fakta, artifak mahupun tapak bersejarah demi pembangunan jati diri bangsa Malaysia.
Saya percaya, salah satu proses pembangunan sosial dan pengukuhan identtiti serta jati diri adalah dengan menyuntik perkembangan ilmu dan pembentukan adab melalui pembelajaran sejarah serta juga warisan. Sesungguhnya, siapalah seseorang manusia tanpa jati diri dan identiti. Oleh itu, dengan penganjuran Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan ini, ia secara langsung dapat menarik minat semua golongan daripada pelbagai peringkat usia untuk sama-sama melihat, menghayati dan mengagumi nilai-nilai sejarah sesuatu negeri atau negara memandangkan pada hari ini, kita bertuah kerana semua muzium kini berpameran di bawah satu bumbung.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,
Pulau Pinang sememangnya terkenal di seluruh pelusuk dunia dengan keindahan pesisir pantainya, berlatar-belakangkan bangunan-bangunan bersejarah, serta tidak dilupa menawarkan makanan yang lazat-lazat daripada pelbagai latar belakang budaya. Malah, hari ini kita semua berkumpul dalam kawasan George Town, yang merupakan salah sebuah bandar bersejarah yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO berdasarkan nilai keunggulan sejagat yang mempamerkan kepelbagaian budaya yang sebati dalam warisan hidup serta warisan binaan. Oleh itu, saya mengajak para hadirin untuk meluangkan masa bersiar-serta mengunjungi tarikan-tarikan di sekitar kawasan ini sebagai salah satu proses pembelajaran sejarah secara tidak langsung.
Pada kesempatan ini juga, saya juga ingin mengucapkan setinggi- tinggi tahniah kepada Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif merangkap Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, Yang Berhormat Wong Hon Wai serta Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, Puan Haryany Mohamad dan seluruh warga kerjanya atas usaha gigih dalam menjayakan festival ini.
Serentak itu, saya juga ingin merakakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang, Penang Global Tourism, Kraftangan Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Malay Heritage Centre Singapore, IHH Creative Hub Jakarta, Asosiasi Museum Indonesia Kalimantan, Dinas Pendidikan dan Kebudayaan Kabupaten Sintang serta Alliance Francaise de Penang di atas penyertaan dalam festival ini. Semoga hubungan yang baik dan kerjasama yang erat ini akan terus utuh pada masa- sama yang akan datang.
Mengambil peluang ini juga, saya menyeru kepada semua warga Pulau Pinang sama ada yang bermastautin di bahagian pulau atau Seberang Perai serta negeri-negeri berdekatan untuk hadir berkunjung ke festival ini. Sebagai penutup kata, saya berdoa agar festival ini akan berjalan dengan lancar, dan seterusnya mengukir memori indah dalam kalangan peserta yang pertama kali menjejakkan kaki ke negeri Pulau Pinang.
Dengan ini, saya dengan penuh sukacitanya merasmikan Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Pulau Pinang 2024.
Sekian, terima kasih.