UCAPAN PENGGULUNGAN MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KELIMA BELAS
UCAPAN PENGGULUNGAN
MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KELIMA BELAS
PADA 30 MEI 2024 (KHAMIS)
OLEH
YANG AMAT BERHORMAT TUAN CHOW KON YEOW,
KETUA MENTERI PULAU PINANG
MERANGKAP
PENGERUSI JAWATANKUASA MMK
KEWANGAN, PEMBANGUNAN EKONOMI, TANAH DAN KOMUNIKASI
Selamat sejahtera dan salam Penang2030.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri,
Yang Berhormat Ketua Pembangkang,
Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,
Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri,
Ketua-ketua Jabatan,
Rakan-rakan media, serta
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.
PENDAHULUAN
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
- Terlebih dahulu, saya merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah Al Mutawakkil Alallahi Shah sebagai Raja Permaisuri Agong.
- Pada kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang atas ucapan perasmian sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas pada Jumaat, 24 Mei yang lalu.
- Saya turut ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan ke atas ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
- Seterusnya, saya mewakili seluruh warga Kerajaan Negeri Pulau Pinang merakamkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Nor Zamri Latiff, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap yang telah meninggal dunia pada 25 Mei 2024 yang lalu. Terima kasih diucapkan kepada Allahyarham di atas sumbangan bakti beliau sepanjang menjadi wakil rakyat. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
- Saya turut ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang menyantuni rakyat melalui pelbagai dasar MADANI serta membantu negeri ini untuk terus membangun melalui kelulusan peruntukan pembangunan yang lebih tinggi demi kesejahteraan rakyat. Terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan.
KEWANGAN
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
- Menjawab kepada Yang Berhormat ADUN Air Putih, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada November 2023 telah meluluskan Bajet Negeri Pulau Pinang berjumlah RM1.047 bilion. Dengan mengambil kira unjuran hasil negeri tahun 2024, sebanyak RM533.07 juta berbanding unjuran perbelanjaan mengurus dan pembangunan sebanyak RM1.047 bilion, maka Kerajaan Negeri mengunjurkan bajet defisit sebanyak RM513.93 juta. Ketika bajet 2024 disediakan, baki semasa Akaun Hasil Disatukan adalah sebanyak RM688.85 juta. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah mencatatkan perbelanjaan yang tinggi demi melipatgandakan usaha membantu rakyat pada tahun 2023 (juga merupakan tahun Pilihan Raya Negeri). Kesannya, menjelang 31 Disember 2023, baki semasa Akaun Hasil Disatukan Negeri telah berkurang daripada RM688.85 juta kepada RM330.03 juta.
- Dalam situasi ini, Kerajaan Negeri secara relatifnya mempunyai kemampuan berbelanja sebanyak RM863.10 juta, iaitu unjuran hasil tahun 2024 sebanyak RM533.07 juta ditambah dengan baki Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM330.03 juta. Oleh itu, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif melaksanakan strategi pengurangan unjuran defisit negeri daripada RM1.047 bilion kepada RM863.10 juta. Strategi ini merupakan langkah kawalan dalaman yang diambil oleh Kerajaan Negeri demi kelangsungan fiskal negeri. Oleh itu, sekiranya Jabatan, Agensi, Badan Berkanun dan Anak-anak Syarikat Kerajaan Negeri dapat mematuhi disiplin penjajaran ke atas perbelanjaan tahun 2024, maka Kerajaan Negeri optimis strategi ini mampu mengeluarkan Kerajaan Negeri daripada mengalami defisit sebenar pada akhir tahun 2024. Selain itu, Kerajaan Negeri juga yakin dapat meningkatkan kutipan hasil tahun 2024 dengan lebih baik berbanding tahun 2023. Dengan iltizam dan komitmen daripada semua pihak, Kerajaan Negeri percaya prestasi kewangan negeri akan lebih baik pada tahun ini. Sebagai makluman, sehingga 29 Mei 2024, Kerajaan Negeri mencatatkan surplus sebenar sebanyak RM28.66 juta memandangkan hasil sebenar negeri sebanyak RM342.60 juta melebihi perbelanjaan sebenar negeri sebanyak RM313.95 juta.
- Kerajaan Negeri turut mempertimbangkan alternatif bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan Malaysia (MOF). Antara bentuk bantuan yang ditawarkan oleh MOF adalah pemberian pendahuluan kepada Kerajaan Negeri berdasarkan jumlah defisit sebenar negeri pada tahun sebelumnya. Pada masa ini, hanya beberapa negeri sahaja yang terpaksa memohon inisiatif pemberian pendahuluan daripada pihak MOF. Hal ini kerana jumlah pendahuluan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri akan diselaraskan semula dengan jumlah penyaluran Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) yang akan disalurkan kepada Kerajaan Negeri. Alternatif lain adalah melalui permohonan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan. Kaedah ini lebih sesuai bagi pelaksanaan projek-projek berskala besar dan projek yang memberi impak kepada rakyat.
- Tambahan pula, sehingga 31 Januari 2024, Pulau Pinang merupakan negeri kedua yang mencatatkan jumlah terkumpul baki pinjaman Kerajaan Persekutuan belum selesai yang terendah selepas Selangor, iaitu sebanyak RM36.73 juta. Oleh itu, tindakan Kerajaan Negeri melakukan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan akan merencatkan misi Kerajaan Negeri untuk menjadi negeri bebas hutang Kerajaan Persekutuan dalam tempoh terdekat. Namun, Jabatan Kewangan Negeri dari semasa ke semasa akan menilai perkara ini dan akan mencadangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sekiranya terdapat keperluan berhubung cadangan peminjaman daripada Kerajaan Persekutuan.
- Selain itu, Kerajaan Negeri turut melihat kemungkinan melaksanakan projek-projek kecil yang telah dibajetkan di bawah bajet pembangunan Kerajaan Negeri untuk mengguna pakai peruntukan dari Kementerian Ekonomi. Di samping itu, kerjasama dengan Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang perlu diperkukuhkan agar manfaat pelaksanaan program dan projek ke atas rakyat Pulau Pinang dapat diselaraskan, selain memastikan tiada pertindihan perbelanjaan bagi maksud dan tujuan yang sama. Tuntasnya, Kerajaan Negeri masih optimis untuk berdikari secara positif dengan komitmen dan kepercayaan daripada semua pihak.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
- Apabila saya dilantik sebagai Ketua Menteri pada tahun 2018, Kerajaan Negeri memiliki jumlah rizab sebanyak RM1.97 bilion. Ianya dikumpul melalui hasil Kerajaan Negeri yang besar sebanyak RM833.71 juta pada tahun 2013, RM799.71 juta pada tahun 2014, RM897.66 juta pada tahun 2015, RM1.03 bilion pada tahun 2016, RM757.01 juta pada tahun 2017 dan RM987.05 juta pada tahun 2018. Dalam tempoh lima (5) tahun ini, Hasil Bukan Cukai yang berjaya dikutip adalah sebanyak RM3.15 bilion.
- Namun, sejak tahun 2019 hingga 2023, hasil Kerajaan Negeri telah mula menurun dengan RM661.52 juta pada tahun 2019, RM467.28 pada tahun 2020, RM692.24 pada tahun 2021, RM595.06 pada tahun 2022 dan RM592.94 pada tahun 2023. Hasil Bukan Cukai untuk tempoh lima (5) tahun ini pula hanya RM1.72 bilion sahaja. Jumlah hasil Kerajaan Negeri tidak meningkat dengan drastik berikutan semua perancangan Kerajaan Negeri masih belum matang untuk menuai hasilnya. Tambahan pula, jumlah perbelanjaan keseluruhan Kerajaan Negeri menunjukkan trend meningkat dengan RM581.31 juta pada tahun 2019, RM734.06 juta pada tahun 2020, RM730.90 juta pada tahun 2021, RM755.02 juta pada tahun 2022 dan RM951.75 juta pada tahun 2023.
- Kerajaan Negeri juga telah mengharungi detik-detik sukar seperti peristiwa bencana banjir besar di negeri ini pada tahun 2017 yang disusuli dengan pengumuman pelaksanaan lapan (8) Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dengan kos sebenar sebanyak RM169.45 juta. Sebahagian daripada projek-projek ini mulai siap pada tahun 2020, manakala sebahagian lagi masih dalam pelbagai peringkat pembinaan. Kerajaan Negeri juga diuji dengan pandemik COVID-19 pada tahun 2020 dan 2021 di mana sejumlah RM158.14 juta telah dibelanjakan melalui Pakej Bantuan Khas Penang Lawan COVID-19 untuk membantu rakyat yang terkesan. Malahan, Program Kebajikan i-Sejahtera yang bermula pada tahun 2010 dengan peruntukan sebanyak RM12.49 juta juga telah meningkat kepada RM56.21 juta pada tahun 2023. Semua perbelanjaan besar ini tentunya memberikan kesan kepada kedudukan kewangan negeri.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
- Untuk makluman Yang Berhormat ADUN Bukit Tambun, jumlah hasil yang telah dikutip pada tahun 2023 adalah sebanyak RM592.21 juta. Pecahan kutipan hasil adalah sebanyak RM150.15 juta bagi hasil cukai manakala sebanyak RM324.54 juta bagi hasil bukan cukai. Kerajaan Negeri juga telah berjaya mengutip terimaan bukan hasil sebanyak RM117.52 juta.
- Sebagai tambahan, sehingga 27 Mei 2024 sebanyak RM335.81 juta telah berjaya dikutip oleh Kerajaan Negeri iaitu sebanyak RM111.33 juta bagi hasil cukai, RM181.33 juta bagi hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil sebanyak RM43.15 juta bagi terimaan bukan hasil.
- Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri (CMI) telah berjaya melaksanakan beberapa projek bersama syarikat swasta secara Public Private Partnership. Secara keseluruhannya bagi tahun 2023 hingga 2024, jumlah pelaburan melalui CMI adalah sebanyak RM315.9 juta. Manakala, sumber hasil adalah melalui pajakan dan sewaan tanah untuk pelbagai tujuan secara tahunan. Selain itu, CMI juga akan menguruskan pembidaan secara Request For Proposal (RFP) bagi projek Gurney Bay melalui dua (2) plot tanah seluas 15 ekar yang sedang ditambak.
- Kerajaan Negeri dijangka akan menerima anggaran hasil pada tahun 2024 sebanyak RM420 juta di mana sebanyak RM277 juta telah dibajetkan iaitu kutipan hasil cukai dan hasil bukan cukai manakala bakinya sebanyak RM143 juta adalah tambahan daripada bayaran premium tanah, hasil pajakan dan sewaan Perbadanan Ketua Menteri (CMI), penjualan tanah Gurney di Waterbody A dan B, caj-caj permohonan PlanMalaysia@Pulau Pinang, bayaran sumbangan pematuhan 30% LMC mengikut Kempen Pemilikan Rumah 3.0 (HOC 3.0) dan anggaran serahan tanah atau hasil bagi projek tebus guna tanah di bawah penyeliaan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
- Kerajaan Negeri menyambut baik saranan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas pada 24 Mei 2024 agar semua Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri berkongsi pandangan dan cadangan bagi meningkatkan hasil negeri.
- Rentetan itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kewangan Negeri akan turut mengadakan bengkel semakan kadar, prosedur kutipan hasil dan mengenal pasti isu-isu melibatkan tunggakan dan pengurangan hasil negeri dalam masa terdekat ini. Objektif bengkel ini diadakan adalah untuk meneliti punca kuasa berkaitan kadar hasil yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri, membincangkan garis panduan atau Standard Operating Procedure (SOP) bagi proses kutipan hasil dan meneliti penyelarasan kepada isu-isu yang melibatkan tunggakan dan pengurangan hasil negeri di samping membincangkan tindakan-tindakan memperkasakan peningkatan hasil.
- Merujuk soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat ADUN Bukit Tambun, terdapat beberapa cadangan untuk meningkatkan hasil negeri Pulau Pinang. Satu, melaksanakan semakan cukai tanah di bawah Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828). Sebagai makluman, Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mempunyai bidang kuasa untuk menyemak cukai tanah bagi tanah beri milik sekurang-kurangnya 10 tahun sekali. Cukai tanah di negeri ini telah disemak pada tahun 1970, 1984 dan 1994. Justeru, kali terakhir semakan cukai tanah di negeri ini ialah pada tahun 1994 tetapi ianya hanya berkuat kuasa pada tahun 1996.
- Kedua, dengan melaksanakan rebat tunggakan cukai tanah dan petak sebanyak lima puluh peratus (50%) sehingga 31 Mei 2024. Cadangan ini adalah berdasarkan kepada Seksyen 14(1)(j), Akta 828 yang mana membenarkan Pihak Berkuasa Negeri membuat peruntukan mengenai pemungutan, pengurangan, perebatan, pembayaran secara ansuran atau penangguhan berkaitan pembayaran cukai. Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk membuat semakan pengiraan semula denda lewat bagi cukai tanah dan cukai petak di Pulau Pinang memandangkan ia melibatkan pengenaan denda ke atas denda.
- Sebagai makluman, tarikh pengiraan baharu denda lewat ini akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2024 dan hanya dikenakan kepada pembayar cukai tanah serta cukai petak yang gagal membuat pembayaran sebelum 31 Mei setiap tahun seperti mana yang telah ditetapkan di bawah Kanun Tanah Negara.
- Pengenaan denda lewat cukai tanah dan cukai petak di negeri Pulau Pinang dikira berdasarkan cukai tahunan sahaja dan tidak melibatkan jumlah tunggakan cukai serta tunggakan denda lewat secara keseluruhan. Kadar denda lewat yang dikenakan adalah masih sama iaitu sepuluh peratus (10%) bagi cukai tanah dan lima peratus (5%) bagi cukai petak. Pengiraan baharu denda lewat ini bukan berbentuk retrospektif dan tidak terpakai kepada orang awam yang telah membuat pembayaran tunggakan denda lewat sebelum tarikh semakan semula pengiraan denda lewat ini dikuatkuasakan.
- Sehingga kini, pengiraan kadar denda lewat di negeri Pulau Pinang masing-masing adalah pada kadar sepuluh peratus (10%) bagi cukai tanah dan lima peratus (5%) bagi cukai petak ke atas jumlah keseluruhan cukai yang perlu dibayar oleh pemilik tanah. Jumlah keseluruhan ini merangkumi jumlah cukai tahunan, tunggakan cukai serta tunggakan denda lewat yang dikenakan terhadap pemilik tanah. Dengan pelaksanaan cadangan ini, diharapkan akan memberi peluang kepada rakyat yang terkesan dengan jumlah denda lewat yang tinggi untuk melunaskan bayaran cukai tanah atau petak di samping meningkatkan hasil Kerajaan Negeri.
- Ketiga, cadangan untuk pelaksanaan pengkelasan semula tanah desa ke tanah bandar. Sebagai makluman terdapat sempadan bagi enam belas (16) buah bandar-bandar ini tidak pernah dipinda sejak 54 tahun yang lalu walaupun kawasan disekitarnya telah melalui pembangunan yang pesat yang melibatkan tanah-tanah desa. Bandar-bandar ini dicadangkan diubah sempadannya dengan memasukan kawasan-kawasan yang dibangunkan dan yang telah diluluskan Kebenaran Merancang oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
- Terdapat juga tanah-tanah desa yang telah dibangunkan menjadi bandar yang mana bandar-bandar baharu perlu diwujudkan dengan dikelaskan semula tanah-tanah desa tersebut menjadi tanah bandar di bawah Seksyen 51(2)(a) Kanun Tanah Negara dan diwartakan di bawah Seksyen 11(d) Kanun Tanah Negara.
- Cadangan untuk meminda sempadan bandar dan pewujudan bandar baharu adalah mengambil kira pembangunan sedia ada yang telah memenuhi kehendak perancangan seperti Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang, Rancangan Tempatan Daerah serta memenuhi kriteria penubuhan bandar-bandar baru di bawah Dasar Perbandaran Negara yang merupakan satu dasar sektoral dalam Rancangan Fizikal Negara. Bandar-bandar baru yang dicadangkan ini adalah merupakan bandar utama dan bandar tempatan yang telah disenaraikan dalam Dasar Perbandaran Negara bagi Negeri Pulau Pinang.
- Sehubungan itu, dianggarkan sebanyak RM56,014,134.00 akan dikutip setiap tahun hasil dari pengkelasan semula tanah-tanah desa kepada tanah-tanah bandar seluruh daerah yang melibatkan 170,000 lot yang akan menjadi tanah bandar. Kenaikan ini adalah wajar kerana tanah-tanah desa yang dikelaskan kepada tanah-tanah bandar ini telah lama menikmati kemudahan perbandaran jika dibandingkan dengan tanah-tanah bandar yang sedia ada dan dikenakan kadar yang munasabah.
- Bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat ADUN Bukit Tambun, Kerajaan Negeri sedang dalam penelitian untuk kebolehlaksanaan pengabungan beberapa GLC yang mempunyai pertindihan peranan seperti berikut:
- Penang Science Cluster, Penang STEM Sdn. Bhd dan Penang Tech Centre yang mempunyai peranan untuk menyediakan pendidikan dan latihan dalam bidang STEM dan TVET yang mana boleh digabungkan di bawah satu organisasi STEM;
- Penang Global Tourism dan PICEB Sdn. Bhd. yang berperanan mempromosikan aktiviti-aktiviti pelancongan di Pulau Pinang;
- PWDC Sdn. Bhd. dan PYDC Strategies Sdn. Bhd. yang berperanan mendidik dan membangunkan belia serta wanita ke arah pembangunan holistik dan mencapai kesaksamaan gender dalam meningkatkan penyertaan wanita dan belia dalam bidang ekonomi.
Sebagai makluman, lima belas (15) GLC telah mendapat geran tahunan daripada Kerajaan Negeri dan merupakan syarikat yang menjalankan aktiviti bukan berteraskan keuntungan (non-profit activity) dan tiada hasil kewangan yang disumbangkan kepada Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa GLC yang didapati boleh menjana hasil untuk menampung sebahagian kos pengoperasian dan program. Contohnya seperti Tech Dome melalui penjualan tiket untuk pameran dan sumbangan dari syarikat multinational. Penang Science Cluster melalui dana dari pihak swasta serta organisasi antarabangsa. Manakala Digital Penang dan PICEB boleh berkaloborasi dalam penganjuran persidangan dan pameran antarabangsa.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
- Bagi menjawab Yang Berhormat ADUN Permatang Berangan berkenaan pengagihan peruntukan yang lebih adil kepada pembangkang, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM60,000.00 setahun bagi pelaksanaan Projek Pembangunan Masyarakat di bawah maksud Pembangunan P.16 (02) kepada semua YB. ADUN Pembangkang. Peruntukan yang diberikan adalah dengan mengambil kira kedudukan semasa kewangan negeri.
- Selain itu, semua program yang berorientasikan kesejahteraan rakyat di Pulau Pinang seperti Program i-Sejahtera, pengangkutan awam termasuk bas percuma CAT dan program-program di bawah Jawatankuasa MMK Negeri, mahupun yang dilaksanakan oleh Anak-anak Syarikat dan Badan Berkanun Negeri dilaksanakan secara menyeluruh tanpa membezakan kawasan Kerajaan atau pembangkang. Kerajaan Negeri juga tidak pernah membezakan kawasan mengikut parti politik dalam melaksanakan projek-projek pembangunan berskala kecil, sederhana dan berimpak tinggi yang melibatkan peruntukan negeri kerana projek-projek tersebut dilaksanakan demi kepentingan rakyat Pulau Pinang.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
- Seperti mana yang telah dimaklumkan di dalam ucapan perasmian Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Kerajaan Negeri terus berharap khabar gembira dari Kerajaan Persekutuan terhadap permohonan 93 projek dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM17.7 bilion dan peruntukan yang diperlukan oleh negeri Pulau Pinang untuk tahun 2025 adalah berjumlah RM2.8 bilion di bawah Rolling Plan Kelima (RP5), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Kerajaan Negeri juga telah mengemukakan permohonan khas kepada Kementerian Kewangan Malaysia berjumlah RM100.0 juta pada Februari 2024 bagi membiayai pelaksanaan projek-projek pembangunan Kerajaan Negeri demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat.
EKONOMI
- Berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pulau Pinang telah berjaya merekodkan aliran masuk pelaburan bagi tahun 2023 berjumlah RM71.9 bilion yang tertinggi di Malaysia diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah. Pertumbuhan luar biasa ini adalah didorong oleh pelaburan langsung asing (FDI) yang menyumbang RM61.7 bilion daripada aliran masuk pelaburan pembuatan di Pulau Pinang. Peningkatan pelaburan ini secara tidak langsung menggambarkan keyakinan teguh pelabur antarabangsa terhadap potensi negeri ini serta infrastruktur yang ditawarkan secara menyeluruh. Selain itu, peningkatan pelaburan ini juga akan memberi impak positif dari sudut peluang pekerjaan kepada rakyat sebanyak 17,623 orang yang mana purata gaji pekerja berkemahiran tinggi dianggarkan sebanyak RM5,000.00 sebulan.
- Untuk makluman Yang Berhormat Batu Uban, Kerajaan Negeri telah berusaha keras untuk menarik dan mengekalkan pelaburan di Pulau Pinang. Salah satu cara adalah dengan menyediakan bank tanah yang mencukupi bagi menampung keperluan sektor perindustrian. Pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang bersesuaian untuk pembangunan perindustrian baharu. Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP 3) dan Taman Teknologi Bandar Cassia (BCTP) yang masing-masing mempunyai keluasan berjumlah 407 ekar dan 303 ekar kini sedang dalam proses pembangunan untuk ditawarkan kepada pelabur. Fasa 1 di BKIP 3 iaitu seluas 60 ekar dijangka siap pada suku tahun ke empat 2025 manakala keseluruhan pembangunan BCTP dijangka siap pada suku ke empat tahun 2026.
- Untuk tujuan kesinambungan bekalan tanah perindustrian yang mencukupi bagi menampung keperluan sektor perindustrian, PDC sedang dalam perancangan untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang bersesuaian dan berpotensi untuk dimajukan sebagai kawasan perindustrian baru.
- Selain itu, Kerajaan Negeri melalui InvestPenang telah melaksanakan ‘hand holding programme' kepada para pelabur baharu yang ingin beroperasi di Pulau Pinang diberi perhatian, sokongan dan fasilitasi untuk memudahkan mereka menubuhkan syarikat perniagaan, membina atau menyewa bangunan kilang yang baharu dan memulakan operasi pengilangan. Ini adalah untuk memastikan ease of doing business di Pulau Pinang kekal tinggi berbanding dengan pesaing-pesaing utama mahupun negara asing seperti negara Singapura, Vietnam, Thailand, Indonesia atau negara-negara lain.
- Bersandarkan rekod cemerlang pembangunan perindustrian melebihi tempoh 50 tahun, negeri Pulau Pinang kini digelar ‘Silicon Valley of the East’ dan mempunyai ekosistem industri terutamanya untuk industri elektrik dan elektronik (E&E) dan semikonduktor yang paling lengkap di Malaysia. Kelebihan ini menjadi faktor penarikan pelabur-pelabur berpotensi terutamanya syarikat-syarikat dalam bidang yang sama di mana banyak pembekal dan pelanggan mereka sudah mempunyai tapak pembuatan di dalam negeri. Kebolehan syarikat-syarikat tempatan yang berkeupayaan tinggi juga membolehkan para pelabur asing mendapatkan komponen, bahan mentah serta servis dengan mudah, cepat dan kos yang lebih murah.
- Merujuk kepada Jabatan Statistik Malaysia, jumlah eksport Pulau Pinang pada bulan Januari hingga Mac 2024 adalah sebanyak RM107.1 juta berbanding RM105.66 juta tempoh yang sama pada tahun 2023. Ini menunjukkan sekali lagi Pulau Pinang mengungguli tangga teratas eksport negara dan diikuti Johor (RM103.44 juta) dan Selangor (RM83.77 juta).
ZON EKONOMI KHAS
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
- Pulau Pinang telah berkembang maju bukan sahaja dalam menarik pelaburan pembuatan tetapi juga pelaburan perkhidmatan perniagaan sepanjang lima dekad yang lalu. Zon Perindustrian Bebas dan Zon Perdagangan Bebas telah menyediakan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan di kawasan Wilayah Utara Malaysia dan sekitarnya.
- Negeri ini mempunyai asas yang kukuh untuk menjadi Zon Ekonomi Khas yang berjaya. Zon Perdagangan Bebas yang sedia ada membentuk asas infrastruktur sokongan untuk pembentukan perniagaan. Lokasi yang berdekatan laluan perdagangan antarabangsa melalui Pelabuhan Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang adalah elemen menarik untuk pelabur ke negeri ini. Zon Ekonomi Khas boleh melengkapkan zon-zon sedia ada dengan menyediakan manfaat fiskal dan bukan fiskal seperti pengecualian cukai dan kelonggaran peraturan buruh asing yang menjadi kunci untuk menarik bakat asing.
- Pengilang luar pesisir (offshore manufacturers) terus mengembangkan jejak mereka dengan menubuhkan pusat perkhidmatan global mereka di Pulau Pinang. Pada masa ini, syarikat-syarikat perkhidmatan perniagaan global menyediakan fungsi berikut di Malaysia dan di seluruh dunia iaitu pematuhan dan perkhidmatan kewangan, perakaunan dan perkhidmatan profesional, perkhidmatan kejuruteraan, perkhidmatan perisian atau teknologi maklumat (IT), perkhidmatan penyelidikan dan analitik serta pusat panggilan.
- Selain sektor pembuatan, Zon Ekonomi Khas juga boleh menjadi pemangkin kepada industri pelancongan, digital, kreatif dan perkhidmatan perniagaan global yang kukuh di Pulau Pinang. Salah satu pembangunan berpotensi untuk Zon Ekonomi Khas adalah pelaburan kewangan dan perniagaan bernilai tinggi yang meningkatkan daya saing perniagaan tempatan. Zon Ekonomi Khas membentuk asas untuk mencipta infrastruktur penting dan sokongan fiskal daripada Kerajaan Persekutuan.
- Dengan mengambil kira kesan berganda Zon Ekonomi Khas terhadap pembangunan sektoral Pulau Pinang, penubuhan Zon Ekonomi Khas dijangka memberi manfaat kepada negeri Pulau Pinang dengan menarik pelaburan, meningkatkan pekerjaan, mengekalkan dan menarik bakat, memupuk inovasi dan meningkatkan pembangunan ekonomi.
ZON KEWANGAN KHAS
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
- Berkaitan Zon Kewangan Khas yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat ADUN Air Putih, prospek penubuhan Zon Kewangan Khas di Pulau Pinang sebagai enjin pertumbuhan kini sedang dikaji oleh Penang Institute(PI). Kajian ini menilai Government Linked Company(GLC) Pulau Pinang dan sentimen perniagaan mengenai Zon Kewangan Khas, dan jika penubuhan zon akan meningkatkan kecekapan perniagaan, memacu suntikan modal dan menghapuskan halangan kepada perdagangan. Pada masa ini, penyelidikan sedang dalam peringkat perundingan bersama pihak-pihak berkepentingan. Seterusnya, permohonan akan dimajukan kepada Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan Zon Kewangan Khas.
PEMBANGUNAN SEMIKONDUKTOR
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
- Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam ucapan beliau bertajuk National Semiconductor Strategy (NSS) Bridging Technology for Our Shared Tomorrow di SEMICON Southeast Asia 2024 pada 28 Mei 2024 memaklumkan bahawa sejak Intel membangunkan kilangnya di Pulau Pinang pada tahun 1972, negeri ini terus menjadi tumpuan syarikat-syarikat multinational (MNCs) lain seperti AMD, Clarion, Robert Bosch, OSRAM, Micron, Infineon dan pelbagai lagi.
- Dalam tempoh 50 tahun sejak ketibaan Intel, negeri ini telah membina asas yang kukuh dan ekosistem semikonduktor yang berkembang maju. Negeri ini mempunyai rantaian bekalan end to end dengan akses pasaran melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan tenaga kerja mahir. Dalam masa yang sama, Kerajaan Persekutuan juga telah menyediakan pelbagai insentif untuk menggalakkan pertumbuhan industri. Hasilnya, Taman Perindustrian Batu Kawan dan Bayan Lepas terus berdiri teguh dengan infrastruktur bertaraf dunia seperti lapangan terbang antarabangsa dan pelabuhan laut bertaraf dunia.
- Pada 2023 sahaja, Pulau Pinang menerima USD12.8 bilion (RM61 bilion) dalam Pelaburan Langsung Asing (FDI) daripada MNC semikonduktor, melebihi daripada jumlah gabungan tujuh tahun sebelumnya di mana Intel mengumumkan pelaburan USD7 bilion (RM30 bilion) dalam fasiliti pembuatan baharu.
- Untuk terus memacu industri semikonduktor negara, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah melancarkan Malaysia’s National Semiconductor Strategy (NSS) atau Strategi Semikonduktor Kebangsaan Malaysia. Strategi ini akan melibatkan beberapa fasa pelaksanaan seperti berikut:
Fasa 1 - Membina Di Atas Asas Sedia Ada (Building on Our Foundations).
- Dalam fasa ini, Kerajaan akan memanfaatkan kapasiti dan keupayaan sedia ada industri semikonduktor untuk menyokong pemodenan Outsourced Semiconductor Assembly and Test (OSAT) dengan langkah ke arah pembungkusan termaju (advanced packaging), mengembangkan fabrik sedia ada di Malaysia dan mengejar FDI untuk mengembangkan kapasiti terutamanya power chips; serta membangunkan reka bentuk cip tempatan.
Fasa 2 – Bergerak Ke Hadapan (Moving to the Frontier).
- Kerajaan akan menumpukan usaha ke atas reka bentuk, fabrikasi dan ujian ke atas cip berteknologi tinggi serta proses pemadanan pembeli cip ini. Sebaik sahaja Fasa 1 dilaksanakan, lebih banyak pengeluar cip termaju dan terkemuka akan tertarik untuk melabur di negara kita. Dengan itu, syarikat tempatan boleh diserapkan dengan mudah ke dalam ekosistem syarikat-syarikat MNC termaju ini.
Fasa 3 – Inovasi Di Hadapan (Innovating at the Frontier).
- Fasa seterusnya adalah untuk terus menyokong pembangunan syarikat reka bentuk semikonduktor Malaysia, pembungkusan termaju dan peralatan pembuatan bertaraf dunia dan pada masa yang sama, menarik pembeli cip termaju seperti Apple, Huawei, Lenovo dan lain-lain syarikat berteknologi tinggi yang seangkatan.
- Untuk terus berada pada landasan yang betul, NSS menggariskan lima (5) sasaran utama iaitu:
- Mengenai pelaburan : Kerajaan Persekutuan menyasarkan sekurang-kurangnya RM500 bilion pelaburan dalam Fasa 1, dengan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) memfokuskan pada IC Design, pembungkusan termaju (advanced packaging) dan peralatan pembuatan serta FDI memfokuskan pada wafer fabrication dan peralatan pembuatan.
- Pertumbuhan syarikat : Menjelang Fasa 2, Kerajaan Persekutuan ingin menubuhkan sekurang-kurangnya 10 syarikat Malaysia dalam bidang reka bentuk dan pembungkusan termaju (advanced packaging) dengan pendapatan antara RM1.0 bilion hingga RM4.7 bilion (USD210 juta hingga USD 1 bilion), dan sekurang-kurangnya 100 syarikat berkaitan semikonduktor dengan pendapatan RM1.0 bilion (USD210 juta) serta mewujudkan kadar gaji yang lebih tinggi untuk pekerja Malaysia.
- Hab Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) : Membangunkan Malaysia sebagai Hab R&D global untuk semikonduktor, mewujudkan universiti bertaraf dunia, R&D korporat dan pusat kecemerlangan serta menggabungkan bakat terbaik Malaysia dan antarabangsa.
- Latihan : Melatih dan meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera di Malaysia yang berkemahiran tinggi.
- Sokongan Fiskal : Memperuntukkan sekurang-kurangnya RM25 bilion (lebih kurang USD5.3 bilion) dalam sokongan fiskal untuk mengoperasikan NSS dengan insentif yang disasarkan, yang butirannya akan diumumkan oleh MITI tidak lama lagi.
- Berdasarkan kepada sasaran-sasaran ini, Kerajaan Negeri kelak boleh meneroka peluang-peluang yang bakal disediakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui pihak MITI agar industri semikonduktor di negeri ni dapat terus berkembang.
TAMAN REKA BENTUK LITAR BERSEPADU DAN DIGITAL
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
- Sebagai usaha dalam memperkasakan ekosistem pelaburan, Kerajaan Negeri telah mengumumkan pelan untuk mewujudkan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) dan Digital, penyelidikan dan pembangunan (R&D), perkhidmatan perniagaan global (GBS), pelaburan teknologi digital dan ekosistem ekonomi digital kitaran yang menawarkan sejumlah sejuta kaki persegi ruang pejabat premium untuk menarik dan menempatkan projek berimpak tinggi sekali gus dapat memberikan peluang kepada bakat tempatan untuk kekal berkhidmat di negeri Pulau Pinang.
- Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bersama InvestPenang kini dalam proses untuk meneliti pakej insentif yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi projek yang sama di Bandar Puteri, Puchong sebelum sebarang insentif ditawarkan kepada syarikat-syarikat atau pelabur-pelabur yang berpotensi. Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan agensi Kerajaan Persekutuan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan mengadakan perbincangan khusus dengan syarikat venture capital bagi membantu pelabur baharu mendapatkan insentif dan geran yang bersesuaian dengan industri ini.
- Bagi menerangkan cadangan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat ADUN Air Putih supaya Kerajaan Negeri membangunkan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), IC Design dan wafer fabrication, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah menyumbang kepada perkembangan sektor front end melalui penyediaan ruang pejabat bertaraf Koridor Raya Multimedia (MSC) seperti GBS@Mayang untuk syarikat-syarikat menjalankan operasi R&D dan IC Design di Pulau Pinang sejak tahun 2018. Sehingga kini, sebanyak enam (6) syarikat IC Design sedang menyewa bangunan GBS, PDC untuk beroperasi.
- PDC juga telah mengambil inisiatif untuk menarik lebih ramai pelabur selain dari industri pembuatan melalui pembangunan Fasa 1 iaitu dua (2) bangunan Global Business Services (GBS) iaitu GBS By The Sea dan GBS TechSpace di kawasan Technoplex, Taman Perindustrian Bayan Lepas yang akan disiapkan suku tahun keempat 2024 dengan jumlah ruang sewaan sebanyak 354,000 kaki persegi dengan nilai pelaburan sebanyak RM347 juta. Selain itu, PDC mempunyai perancangan untuk pembangunan Fasa 2, iaitu membangunkan satu lagi bangunan GBS yang akan dikenali sebagai GBS@Technoplex yang dapat menawarkan ruang sewaan seluas 500,000 kaki persegi dengan kos pembinaan sebanyak RM308 juta. Kerja-kerja pembinaan dijangka akan dimulakan pada tahun 2025 dan dijangka siap menjelang tahun 2027.
- Selain itu, antara perancangan yang akan dilaksanakan melalui Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu dan Digital (Penang Integrated Circuit Design and Digital Park) adalah memastikan keperluan prasarana yang disediakan sesuai untuk para pelabur IC Design dan Digital. Ini termasuk memastikan bangunan tersebut mempunyai kemudahan infrastruktur dari segi pembekalan elektrik dan komunikasi seperti broadband yang kompetitif, ruang lantai yang sesuai bagi menjalankan aktiviti berkaitan IC Design dan persekitaran perniagaan yang kondusif yang diperlukan untuk bangunan berstatus Malaysia Digital.
- Kerajaan Negeri juga bercadang memperkenalkan kadar sewa bersubsidi untuk ruang pejabat milik PDC khususnya kepada pemain tempatan dalam sektor IC Design dan memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk insentif dan geran bagi meningkatkan ekosistem IC dan Digital. Inisiatif ini akan dimasukkan dalam pakej insentif lengkap yang akan diumumkan kemudian. Seterusnya, Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan lebih banyak lagi syarikat pemula teknologi tempatan yang berkemahiran dalam sektor IC Design serta penyelidikan dan pembangunan.
- Kerajaan Negeri memandang tinggi keprihatian Yang Berhormat ADUN Berapit terhadap kebimbangan kerosakan ekosistem pelabur tempatan sekiranya tiada piawaian dan dasar kemasukan yang ketat syarikat asing bagi Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu dan Digital. Kerajaan Negeri melalui InvestPenang akan membina laluan bakat dan kepakaran untuk menyokong permintaan industri reka bentuk litar bersepadu melalui menggandakan pendaftaran STEM di Pulau Pinang, meningkatkan kemahiran dengan latihan akademik dan pengalaman hands-on di bawah Akademi Reka Bentuk Cip (Chip Design Academy). Ini adalah sebahagian daripada Rangka Tindakan Bakat STEM (STEM Talent Blueprint) yang akan diumumkan pada bulan Jun 2024.
- Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan menjalankan penilaian menyeluruh due diligence untuk memastikan syarikat yang ingin melabur di Pulau Pinang mempunyai rekod prestasi serta latar belakang kewangan yang kukuh dan baik serta memberikan keutamaan kepada syarikat yang dianugerahkan status Malaysia Digital oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
- Kerajaan Negeri juga menekankan kolaborasi antara syarikat asing dengan institusi pendidikan dan penyelidikan tempatan sedia ada kerana ianya secara tidak langsung dapat membantu dalam melahirkan bakat-bakat dalam industri ini. Syarikat asing juga adalah perlu mampu memberikan komitmen untuk membangun dan melatih bakat tempatan sedia ada melalui program upskilling dan reskilling yang dijalankan oleh syarikat asing tersebut. Dengan langkah-langkah ini, Kerajaan Negeri dapat memastikan bahawa pelaburan asing yang masuk akan menyumbang secara positif kepada ekosistem tempatan tanpa merosakkannya.
BANDAR PERINDUSTRIAN BAHARU BERCIRIKAN BANDAR PINTAR
- Untuk makluman Yang Berhormat ADUN Bukit Tambun, kawasan perindustrian baharu PDC seperti Taman Teknologi Bandar Cassia (BCTP) dan Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP3) dirancang lengkap dengan elemen bandar pintar seperti rangkaian 5G dan smart pole. Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) bersama Plan Malaysia dan PDC serta beberapa jabatan berkaitan juga kini sedang menyediakan perincian garis panduan bagi Pembangunan Taman Perindustrian Berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) di Pulau Pinang yang merangkumi taman perindustrian berpusat dan berpagar yang mengelilingi keseluruhan kawasan, mempunyai akses keluar masuk yang terhad dan terkawal, serta mempunyai kemudahan bersama (Common Property).
- Kerajaan Negeri menyahut saranan Yang Berhormat ADUN Bukit Tambun berkaitan pewujudan Pelan Strategik Pelaburan bagi menarik lebih banyak pelaburan ke Pulau Pinang. Sehingga kini, Kerajaan Negeri melalui InvestPenang mempunyai Pelan Tindakan Pelaburan sebagai panduan untuk menarik pelaburan ke Pulau Pinang.
PERBADANAN PEMBANGUNAN PULAU PINANG (PDC)
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
- Merujuk ucapan Yang Berhormat ADUN Air Putih mengenai peningkatan cukai PDC yang mendadak daripada tahun 2018 hingga 2022 berbanding tahun 2008 hingga 2017 adalah disebabkan oleh kegagalan pengurusan dan perancangan cukai. Namun begitu, berdasarkan maklumat PDC, antaranya penyumbang kepada peningkatan keuntungan daripada aktiviti utama PDC terutamanya dari penjualan tanah, peningkatan hasil pajakan tanah jangka panjang yang diterima secara prabayar untuk keseluruhan tempoh pajakan di mana cukai dikenakan ke atas keseluruhan hasil diterima, bayaran faedah pinjaman tidak dibenarkan sebagai tolakan cukai kerana tanah di kawasan BKIP2 dan BKIP3 masih belum dapat dijual dan terdapat elaun modal yang tinggi daripada bangunan-bangunan industri pada ketika itu terutamanya bangunan di Plot 144 dan 150, Bayan Lepas dengan kos RM180 juta yang boleh diguna pakai. PDC telah dikenakan cukai makmur iaitu sebanyak 33% pada tahun 2022 bagi pendapatan bercukai melebihi RM100 juta.
- Kerajaan Negeri juga memandang serius berkenaan dakwaan menyatakan Kerajaan Negeri dan PDC silap menandatangani surat perjanjian jual beli tanah dengan UMECH Land Sdn. Bhd. Bagi menjawab Yang Berhormat ADUN Air Putih, pihak PDC telah mengambil tindakan undang-undang terhadap salah seorang ahli mantan Lembaga Pengarah PDC setelah mendapat mandat daripada Lembaga Pengarah PDC dan Notis tuntutan telah dikeluarkan pada 8 Mei 2024. Seterusnya, peguam PDC kini dalam proses untuk memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap beliau. Manakala, tindakan perundangan terhadap laporan The Edge sedang dalam penelitian peguam PDC dan tindakan selanjutnya akan diambil dalam masa yang sewajarnya.
- Berkaitan cadangan Yang Berhormat ADUN Air Putih untuk membina elevated reservoir dalam memastikan bekalan air di Taman Perindustrian Batu Kawan tidak terjejas, PDC sedang dalam proses lantikan kontraktor bagi pembinaan reservoir yang pertama berkapasiti empat puluh lima juta liter (45 juta liter) terletak di utara Batu Kawan bagi menampung keperluan permintaan air di Taman Sains Pulau Pinang, Taman Sains Pulau Pinang (Utara) dan sebahagian pembangunan Bandar Cassia termasuk Taman Perindustrian Batu Kawan. Kerja pembinaan reservoir akan bermula pada bulan Julai 2024 dan dijangka siap pada bulan Jun 2027. Manakala, baki tiga (3) buah reservoir akan dibina secara elevated structure mengikut fasa pembangunan PDC yang melibatkan pembangunan Taman Teknologi Bandar Cassia (BCTP), Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP) 3, BKIP 2, Taman Sains Pulau Pinang (Selatan) dan sebahagian pembangunan Bandar Cassia. Sebagai makluman, pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah mensyaratkan PDC untuk membina empat (4) buah reservoir yang berkapasiti keseluruhan sebanyak 225 juta liter) di kawasan Bandar Cassia.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
- Kerajaan Negeri sangat diberi penekanan berkaitan pembayaran tanggungan dengan mengambil kira kepatuhan peraturan dan tatacara kewangan. Bagi menjawab Yang Berhormat ADUN Air Putih berkaitan kedudukan kewangan yang tenat sehingga Kerajaan Negeri tidak membayar fi kelulusan yang berjumlah besar kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). Saya di sini ingin membuat pembetulan terhadap maklumat yang diberikan di mana berdasarkan semakan rekod Jabatan Kewangan Negeri, tuntutan fi kelulusan daripada PDC telah dijelaskan sepenuhnya iaitu sebanyak RM62,669,861.09 bagi tempoh 2021 hingga suku tahun pertama 2024. Oleh yang demikian, adalah salah maklumat tersebut yang mana memberi kesan buruk kepada nama baik Kerajaan Negeri.
KAJIAN PELAN INDUK PEMBANGUNAN STRATEGIK PENANG BAY
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
- Sebagai makluman, kajian Pelan Induk Pembangunan Strategik Penang Bay adalah merupakan garis panduan bagi menyelaraskan pembangunan yang sedang dilaksanakan atau dalam perancangan di kawasan Penang Bay yang meliputi kawasan persisiran laut George Town dan Butterworth. Misi utama adalah untuk menjadi pusat tumpuan pembangunan ekonomi serantau dan antarabangsa menjelang tahun 2050. Pembangunan ini tidak hanya tertumpu kepada pembangunan industri berat tetapi turut merangkumi aspek pelancongan dan kebudayaan.
- Justeru itu, cadangan Yang Berhormat ADUN Seberang Jaya adalah disambut baik untuk menyediakan satu peluang dan platform industri berkaitan kaum Melayu yang berkait rapat dengan kebudayaan dan warisan masyarakat Melayu terutamanya di kawasan Seberang Perai dan boleh diintegrasikan dalam Pelan Induk tersebut.
KOMUNIKASI
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
- Bagi menjawab soalan Yang Berhormat ADUN Sungai Puyu berkenaan keberkesanan sistem Penang Information and Complaints System (ePintas), iaitu sistem aduan, komen, teguran, cadangan dan pertanyaan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri. Berdasarkan rekod, sebanyak 3,012 aduan telah diterima melalui sistem ePINTAS dari tahun 2021 sehingga Mei 2024 dan kadar penyelesaian aduan adalah sebanyak 1,709 (56.74%). Manakala, baki aduan sedang dalam tindakan penyelesaian oleh jabatan/ agensi yang berkaitan.
PENGURUSAN AIR
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
- Sebagai makluman, kadar tarif domestik telah diwartakan pada 30 Januari 2024 dan berkuat kuasa pada 1 Februari 2024. Semakan tarif dibuat adalah bagi tujuan untuk meningkatkan tahap pembangunan dan perkhidmatan bekalan air. Semakan tarif untuk seluruh negara akan dijalankan oleh SPAN di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air setiap 3 tahun melalui mekanisme penetapan tarif (TSM- Tariff Setting Mechanism). Jalur tarif (band) adalah sepertimana yang diluluskan oleh SPAN. PBAPP telah menanggung subsidi air domestik sebanyak RM116 juta pada tahun 2023.
- Bagi meringankan beban rakyat yang kurang berkemampuan, pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah bekerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) melalui program e-Kasih dengan menawarkan skim rebat melalui Rebat Mesra Keluarga (RMK) dan Rebat Mutiara.
JAWATANKUASA PEMBANGUNAN MODAL INSAN NASIONAL
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
- Sektor pembuatan dan perkhidmatan telah memacu pertumbuhan ekonomi negeri ini serta mewujudkan peluang pekerjaan dan membawa kemakmuran kepada penduduk Pulau Pinang serta Malaysia. Sejak Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas dibuka pada awal tahun 1970an, Pulau Pinang telah menarik syarikat multinasional (MNC) yang utama. Berdasarkan laporan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dan UN Comtrade, Pulau Pinang menguasai kira-kira lima peratus (5%) eksport semikonduktor dunia pada tahun 2019.
- Kini, sebanyak 400 syarikat multinasional (MNC) dan lebih 6,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (SME) telah berpengkalan dan bergiat aktif di negeri ini. Dengan adanya beberapa pelan perancangan, akses terhadap peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada semua pencari pekerjaan khususnya anak jati Pulau Pinang.
- Kadar pengangguran di Pulau Pinang mencatat kadar 1.8 peratus pada suku pertama 2024, di samping pertumbuhan gaji sektor formal (formal sector salary) tahun ke tahun sebanyak 6.7 peratus pada September 2023. Ini menandakan keadaan pasaran buruh di Pulau Pinang yang ketat tetapi belum sampai tahap kemeruapan.
- Mengikut Job Market Insights terbitan Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA), sektor pembuatan mencatat kekosongan jawatan yang tertinggi di Pulau Pinang sebanyak 1,745 kekosongan pada suku tahun ketiga 2023, iaitu suku daripada jumlah kekosongan jawatan di Pulau Pinang iaitu 7,009. Namun demikian, kekosongan dalam sektor pembuatan mengalami penurunan dari tahun ke tahun (year-on-year) sebanyak 37 peratus. Seiring dengan itu, jawatan juruteknik dan jurutera tidak lagi tercatat dalam lima jawatan dengan kekosongan tertinggi pada suku ketiga 2023.
- Penang SEED merupakan pelan tindakan ekonomi yang mengandungi langkah-langkah jangka pendek iaitu dua (2) tahun dan sederhana iaitu lima (5) tahun. Pelan ini menekankan kepentingan bakat, infrastruktur dan pengangkutan sebagai penggerak ekosistem ekonomi yang dinamik yang dapat membawa negeri ini ke arah ekonomi berpendapatan tinggi berasaskan pengetahuan. Pelan ini juga sejajar dengan Tema B - Visi Penang2030 iaitu memacu sektor-sektor strategik yang dikenal pasti iaitu pembuatan, pelancongan, industri kreatif, perkhidmatan perniagaan dan pertanian.
- Melalui Penang SEED, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti permintaan bakat berkemahiran dalam sektor pembuatan strategik, di samping memupuk kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan kekerapan pemantauan berhubung keadaan pasaran tenaga buruh tempatan. Tinjauan pertama telahpun diterbit dalam Penang Talent Prospects 2023 sebagai usaha bersama Penang Institute, Penang Skills Development Centre (PSDC) dan Penang STEM. Melalui langkah-langkah ini, keperluan dan jurang kemahiran dapat dikenal pasti secara tepat. Penang SEED turut mengesyorkan pelaksanaan program-program latihan bakat yang berkesan dengan menyasarkan kepada kemahiran yang mendapat permintaan tinggi. Umpamanya, Kerajaan Negeri telah menjalankan pelbagai inisiatif di peringkat sekolah melalui Penang STEM untuk menyokong permintaan terhadap bakat berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh sektor pembuatan.
- Kekurangan bekalan bakat dalam sektor semikonduktor adalah merupakan trend global yang dihadapi dan Pulau Pinang tidak terkecuali. Oleh itu, usaha perlu dipergiat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan untuk bakat berkemahiran tinggi. Penang SEED mencadangkan supaya program-program untuk menarik dan mengekalkan bakat dipergiat dan diperluaskan, contohnya penyediaan Rumah Mampu Milik (RMM) untuk bakat-bakat berkemahiran tinggi. Selain itu, persekitaran gaya hidup work-play-live yang menarik perlu disediakan kepada bakat berkemahiran tinggi melalui perancangan bandar yang seimbang, dinamik dan menyeronokkan.
- Kerajaan Negeri juga akan bekerjasama dengan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) untuk membentuk Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan Nasional. Jawatankuasa ini akan memberi tumpuan kepada pemeliharaan bakat, untuk mendapatkan bakat tempatan dengan kemahiran dan pengetahuan yang betul serta merangka hala tuju masa hadapan bekalan bakat berkemahiran tinggi di negeri ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
- Seperti yang sedia maklum, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam mulai Disember 2024. Kenaikan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam atas prestasi dan produktiviti yang dikekalkan di tahap yang tinggi walaupun beban dan tanggungjawab mereka kian bertambah. Kerajaan telah memperkenalkan kaedah penilaian prestasi khusus melibatkan Ketua Jabatan iaitu Performance based KPI berdasarkan sistem Demerit Performance Evaluation yang juga dikenali sebagai DEEP. Pemantauan berterusan wajib dilakukan oleh Ketua Jabatan terhadap penjawat awam yang tidak mencapai KPI supaya tidak diberikan ganjaran seperti mana yang ditetapkan.
PENUTUP
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
- Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kerana dengan hasil komitmen dan hubungan erat dan tidak berbelah bahagi antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, pemimpin, jabatan, agensi dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) telah membolehkan Kerajaan Negeri menjalankan amanah untuk membangunkan negeri ini demi kemakmuran rakyat.
- Kita perlu mengharungi cabaran dan dugaan tahun 2024 ini bersama-sama seiring menggalas tanggungjawab demi memastikan Pulau Pinang terus berada pada landasan yang telah dirancang dengan sumber kewangan yang terhad tanpa membelakangkan kepentingan rakyat di samping mencapai kedudukan ekonomi jitu serta cemerlang selaras dengan Visi Penang2030 - Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
- Segala cadangan dan komen positif yang dibangkitkan ketika perbahasan sememangnya akan diambil kira untuk penambahbaikan selaras dengan hasrat kita untuk merealisasikan sasaran di bawah Visi Penang2030.
Sekian Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, dengan ini saya mohon menyokong.