MAJLIS PENUTUPAN PERSIDANGAN SIDANG MUDA 2024

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PENUTUPAN PERSIDANGAN SIDANG MUDA 2024

1 JUN 2024 (SABTU) | 5 PM

DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG

[Salutasi]

Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, ribuan terima kasih saya ucapkan kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya bagi bersama-sama dalam Majlis Penutupan Persidangan Sidang Muda 2024 pada petang yang indah ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua Ahli Sidang Muda yang memberanikan diri menyahut cabaran dan memberi komitmen sepanjang Persidangan Sidang Muda tahun ini.

Tidak dapat dinafikan lagi kehebatan barisan Ahli Sidang Muda pada kali ini yang mana masing-masing telah menunjukkan bakat dalam memberikan hujahan masing-masing sebagai barisan Exco, backbenchers dan pembangkang dengan membawa isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat berserta penyelesaian serta cadangan dalam persidangan kali ini. Umumnya, dewan yang mulia ini telah menjadi saksi kehebatan barisan Ahli Sidang Muda dalam berinteraksi antara satu sama lain untuk memberikan hujahan dan perbahasan melalui penyelidikan dasar serta isu semasa mengenai topik masing-masing.

Saya percaya Ahli-Ahli Sidang Muda telah menggunakan tempoh masa yang diberikan dengan baik untuk membuat persiapan diri dari segi fizikal dan mental untuk bersidang pada hari ini. Saya berharap barisan Ahli Sidang Muda akan memanfaatkan peluang dan ruang yang disediakan ini untuk menonjolkan bakat masing-masing, secara tidak langsung mendapat pendedahan mengenai proses dan perjalanan dalam membuat dasar dan keputusan kerajaan di peringkat negeri.

Besar kemungkinan, kalianlah bakal pemimpin negara di mana perjalannya bermula dalam dewan yang mulia ini.

Sidang dewan yang dihormati,

Platform Sidang Muda ini merupakan satu inisiatif yang terbaik untuk mencungkil serta menggilapkan bakat anak-anak muda sebagai seorang pemimpin, lebih-lebih lagi apabila belia yang berusia bermula 18 tahun kini sudah bersedia untuk menyumbang dalam pembangunan negara sejurus pelaksanaan penurunan umur layak bertanding sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah diluluskan di dewan yang mulia ini.

Kerajaan Negeri sedar akan kepentingan peranan dan suara anak muda dalam menggerakkan aspirasi belia. Selaras dengan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, pentadbiran ini telah merangka dan melipatgandakan pelbagai program serta inisiatif bagi tujuan menggalakkan penyertaan lebih ramai golongan belia untuk kita mendidik, membangun dan memperkasakan ke arah pembangunan yang holistik.


Sebagai kata, syabas kepada Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dalam usaha pembangunan pemimpin generasi baharu dan agenda pembangunan potensi golongan belia.

Saya menyeru agar ahli Sidang Muda yang telah bersidang pada hari ini mahupun alumni Sidang Muda yang pernah bersidang sebelum ini dapat menjadi pengantara antara Kerajaan Negeri dan golongan belia di luar sana, terutamanya dalam menyampaikan fakta serta dasar kerajaan Pulau Pinang, dan berusaha dalam agenda pembangunan belia dengan menggunakan potensi tersendiri.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang