MAJLIS PELANCARAN VAKSINASI HPV “LEAVING NO ONE BEHIND” PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG
TEKS UCAPAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PELANCARAN VAKSINASI HPV “LEAVING NO ONE BEHIND” PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG ANJURAN BERSAMA NCSM DAN PERTUBUHAN WANITA MUTIARA
29 JUN 2024 (SABTU) | 3 PETANG
DEWAN MPKK BUKIT TENGAH
Terima kasih kepada saudara/i pengacara majlis
[SALUTASI]
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia atau lebih dikenali sebagai National Cancer Society Malaysia (NCSM) dengan usaha bersama Pertubuhan Wanita Mutiara yang telah menjayakan Majlis Pelancaran Vaksinasi HPV “Leaving No One Behind” Peringkat Negeri Pulau Pinang pada pagi yang mulia ini.
Majlis pada hari ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri melalui Visi Penang2030 yang memberi fokus kepada pembangunan negeri secara menyeluruh termasuk menjamin kesejahteraan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Pulau Pinang di bawah Tema A iaitu meningkatkan daya huni bagi menambah baik kualiti kehidupan dengan penambahbikan sistem kebajikan serta penjagaan warga Pulau Pinang seperti yang telah dinyatakan dalam Inisiatif Strategik A3.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Program vaksinasi Vaksin virus papiloma manusia (HPV) biasanya diketahui umum bertujuan untuk mencegah virus HPV yang boleh menyebabkan penyakit kanser serviks, iaitu kanser ketiga (3) paling kerap dihidapi wanita di Malaysia.
Namun pada hari ini, saya dengan besar hatinya ingin mengumumkan bahawa buat julung kalinya, Program Vaksinasi HPV “Leaving No One Behind” Peringkat Negeri Pulau Pinang bukan sahaja akan menyasarkan kepada golongan wanita semata-mata, malah difokuskan kepada golongan lelaki juga secara percuma. Saya berharap, usaha ini juga akan diteruskan ke negeri-negeri lain di seluruh negara.
Syabas saya ucapkan kepada NCSM kerana difahamkan bahawa institusi ini telah diberi kelulusan untuk memperluaskan lagi usaha pemvaksinan bagi menoktahkan kanser serviks dalam negara.
Adalah amat membimbangkan bahawa virus HPV ini bukan sahaja menyumbang kepada 95 peratus kes kanser serviks di Malaysia, malah juga boleh menyebabkan kanser-kanser lain seperti kanser pangkal hidung, kanser tonsil, kanser zakar dan kanser faraj. Oleh itu, diharapkan melalui vaksinasi HPV ini, risiko kanser serviks boleh dikurangkan sehingga 90 peratus serta mengurangkan risiko untuk rakyat Pulau Pinang menghidapi kanser-kanser yang disenaraikan di atas.
Secara keseluruhan, program vaksinasi ini akan menyasarkan kepada golongan remaja (lelaki dan perempuan) warganegara Malaysia berumur sembilan (9) hingga 30 tahun yang belum pernah menerima suntikan vaksin HPV, malah keutamaan diberikan kepada golongan rentan dan memerlukan, selaras dengan Inisiatif Strategik C1 Visi Penang2030 iaitu membantu komuniti yang rentan dan mengurangkan ketaksamaan.
Hadirin yang dimuliakan,
Perasmian program pada hari ini hanyalah sebuah permulaan. Pemvaksinan secara percuma ini akan diteruskan sehingga ke tahun hadapan. Oleh itu, saya menyeru agar seluruh warga Pulau Pinang merebut peluang keemasan ini untuk melindungi diri dan insan yang tersayang.
Mengambil kesempatan ini, suka untuk saya mengingatkan kepada golongan berkemampuan serta syarikat-syarikat yang ingin memberi sumbangan kepada usaha murni ini untuk terus menghubungi NCSM supaya kerjasama antara pihak kerajaan, agensi swasta serta pemain industri semakin diperkukuhkan.
Sebelum mengakhiri ucapan ini, sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak NCSM atas usaha mulia ini, serta tidak lupa juga kepada Pertubuhan Wanita Mutiara yang turut bekerjasama dalam merealisasikan majlis pelancaran pada hari ini.
Sebagai penutup kata, sukacita saya merasmikan Majlis Pelancaran Program Vaksinasi HPV “Leaving No One Behind” Peringkat Negeri Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih