MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC) PENTADBIRAN SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2023

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC) PENTADBIRAN SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2023

2 JULAI 2024 (SELASA) | 2.45 PETANG

PENANG MARRIOTT HOTEL

Terima kasih kepada Saudara/i Pengerusi Majlis

[Salutasi]

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Haji Rosli bin Isa serta barisan jawatankuasa yang terlibat dalam memastikan kelancaran Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2023 pada hari yang berbahagia ini. Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya amat mengalu-alukan kehadiran semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2023 yang diraikan dan semua hadirin yang dimuliakan ke majlis ini.

Hadirin yang saya hormati,

APC merupakan satu manifestasi pengiktirafan dan penghargaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada mereka yang telah berusaha secara berterusan melaksanakan kerja dengan cekap, produktif dan penuh dedikasi dalam mencurahkan khidmat bakti tanpa berbelah bahagi kepada kerajaan dan rakyat. Kerajaan Negeri amat berterima kasih dan menghargai komitmen tuan-tuan dan puan-puan yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh ke arah merealisasikan matlamat yang dihasratkan. Inilah amanah yang disandarkan kepada kita, dan inilah juga harapan saya kepada semua warga penjawat awam Kerajaan Negeri. Seiring dengan perubahan serta keperluan semasa, kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat harus sentiasa ditingkatkan.

Melalui Konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan di peringkat Persekutuan, Kerajaan Negeri turut mendukung dan terus mengemudi negeri melalui perancangan serta pelaksanaan rapi untuk mencapai Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Usaha ini adalah seiring dengan tindakan pemulihan sektor ekonomi agar pembangunan negeri khususnya, dan negara amnya dapat bergerak dengan pantas serta bertambah rancak. Tuan-tuan dan puan-puan memainkan peranan penting dalam memastikan hala tuju serta kecemerlangan agensi masing-masing dalam menjayakan dasar dan juga agenda Kerajaan Negeri secara keseluruhan.
Saya berharap dengan pengiktirafan dan penghargaan ini, ia bukan sahaja akan menjadi pencetus semangat kepada semua 317 warga cemerlang yang berkumpul pada hari ini, malah juga kepada seluruh warga SUK Negeri Pulau Pinang supaya sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Kerajaan Negeri amat berterima kasih serta amat menghargai komitmen tuan-tuan dan puan-puan yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan amanah, ikhlas dan gigih ke arah mencapai matlamat yang dihasratkan.

Justeru, adalah diharapkan tuan-tuan dan puan-puan selaku barisan kepimpinan di jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta semua anggota perkhidmatan awam akan terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh integriti.

Hadirin sekalian,

Selaras dengan hasrat saya pada tahun lalu, Majlis APC kita masih mengekalkan tema yang sama iaitu “Penjawat Awam Cemerlang, Meneraju Visi Penang2030”. Kecemerlangan prestasi perlu dibudayakan bagi memastikan usaha dan tindakan bersungguh dilaksanakan sehingga Kerajaan Negeri berjaya merealisasikan semua inisiatif yang ditetapkan dalam Visi Penang2030. Tema ini masih dikekalkan sebagai aspirasi yang perlu disematkan dalam sanubari semua penjawat awam hingga ke tahun 2030.

Penganugerahan APC yang diberikan ini menunjukkan sumbangan serta khidmat bakti dalam perkhidmatan awam adalah dihargai dan tidak pernah dilupakan oleh Kerajaan Negeri kerana sememangnya penjawat awam merupakan perantara antara rakyat serta juga kerajaan. Penjawat awam merupakan cerminan imej Kerajaan Negeri di mata masyarakat. Justeru, tuan-tuan dan puan-puan perlu sentiasa mengutamakan kualiti dan keberkesanan tindakan ketika memberikan perkhidmatan.

Harus saya ingatkan bahawa tanggungjawab hakiki penjawat awam adalah membantu pihak kerajaan dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Saya faham, kadang kala sukar untuk kita memuaskan hati semua pihak ketika menjalankan tugas, namun saya berharap agar semua penjawat awam di Pulau Pinang sentiasa menjalankan tugas dengan penuh amanah dan sabar.

Dalam usaha merealisasikan Visi Penang2030, sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada semua penerima APC dan semua yang berada dalam dewan ini. Sumbangan serta jasa bakti tuan-tuan dan puan-puan dalam usaha mencapai Visi Penang2030 dengan penuh dedikasi amatlah dihargai. Saya yakin visi ini akan tercapai dengan jayanya menjelang 2030 berpaksikan kepada kecemerlangan serta berkat usaha tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Semoga anugerah ini menyuntik motivasi kerja dan impak positif kepada semua warga PSUK Pulau Pinang dalam membentuk ekosistem kerja yang cemerlang. Sesungguhnya, Kerajaan Negeri amat bertuah kerana memiliki barisan penjawat awam yang berdedikasi, berintegriti dan komited dalam memastikan dasar-dasar Kerajaan Negeri dilaksanakan secara berkesan.

Sebagai penutup kata, adalah menjadi harapan saya agar seluruh warga penjawat awam Pulau Pinang memberikan sokongan penuh kepada pentadbiran Kerajaan Negeri untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di negeri ini. Kita ini merupakan sebuah keluarga yang besar, saya yakin kita semua mampu mencapai lebih banyak kecemerlangan dan kejayaan bersama asalkan kita semua bersatu-padu dalam mencapai hasrat tersebut. Semoga kejayaan ini akan terus menjadi pemangkin dan inspirasi dalam memacu lebih banyak kejayaan lagi pada masa hadapan.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang