MAJLIS IFTAR RAKYAT PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS IFTAR RAKYAT

PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

6 APRIL 2022

DEWAN ORANG RAMAI PERMATANG PASIR

 

 

YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abd. Rahman

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang

YB Muhammad Faiz bin Fadzil

ADUN Permatang Pasir

YB Nurul Izzah binti Anwar

Ahli Parlimen Permatang Pauh

Ketua-ketua Jabatan

Para Jemputan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

 

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa bersama yang telah mengatur dengan baik bagi memastikan Majlis Iftar Rakyat pada petang ini dapat diadakan dengan jayanya.


Ini merupakan kali kedua saya datang ke dewan baharu ini selepas merasmikannya pada 1 April yang lalu. Saya berasa amat gembira dan sudah pasti ini juga adalah sebahagian daripada hasrat Kerajaan Negeri untuk terus melihat perkembangan positif sebegini apabila projek pembinaan infrastruktur awam dimanfaatkan dengan kegiatan dan aktiviti sosial yang melibatkan penyertaan dan penglibatan komuniti setempat.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Dengan beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diberikan oleh pihak berkuasa, saya percaya bulan Ramadan pada kali ini menjadi lebih meriah dan bermakna buat kita semua terutama kepada rakan-rakan Muslim yang ada di sini.

Dan sepertimana tahun-tahun sebelum ini, saya akan mengambil peluang dengan masyarakat untuk beriftar bersama, kerana saya percaya budaya ini akan mengeratkan lagi hubungan sesama kita tanpa mengira agama dan bangsa.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Kerajaan Negeri seperti tahun-tahun sebelumnya akan meneruskan sumbangan Ihya’ Ramadan kepada 246 buah masjid dan surau di seluruh negeri dengan peruntukan keseluruhan adalah sebanyak RM256,000. Perincian adalah seperti berikut:

i)      Masjid Negeri sebanyak RM5,000

ii)     Masjid Daerah (5) sebanyak RM2,000

iii)     Masjid Kariah (207) sebanyak RM1,000

iv)    Masjid Jamek (13) sebanyak RM1,000

v)     Surau Jumaat (19) sebanyak RM1,000

Selain sumbangan program ihya Ramadan ini, Kerajaan Negeri juga memperuntukan sebanyak RM1.0 juta untuk program pengimarahan masjid-masjid di seluruh Pulau Pinang.

Dengan peruntukan yang diberi, saya menaruh harapan yang tinggi untuk terus melihat institusi agama Islam terus kekal harmoni dan utuh, sekaligus memastikan usaha-usaha pembangunan ummah di negeri dapat direalisasikan dengan jayanya serta institusi masjid kembali menjadi penghubung perpaduan masyarakat khususnya orang-orang Islam di Pulau Pinang.

Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan dan hadir ke program iftar petang ini dan berharap  semua rakyat Pulau Pinang sentiasa sihat dan sejahtera. Semoga kita semua dapat berjumpa lagi di majlis-majlis yang akan datang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang