MAJLIS IFTAR BERSAMA WARGA PENDIDIK PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH SEBERANG PERAI UTARA (PPD SPU)
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS IFTAR BERSAMA
WARGA PENDIDIK PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH SEBERANG PERAI UTARA (PPD SPU)
30 MAC 2023 (KHAMIS)
PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH SPU,
KEPALA BATAS
Selamat Petang, Salam Sejahtera dan Salam Ramadan kepada semua.
Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan rasa syukur atas kesempatan yang diberikan untuk kita sama-sama berhimpun bagi memeriahkan Majlis Berbuka Puasa yang telah diatur pada petang yang berbahagia ini.
Terima kasih kepada warga kerja Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara (PPD SPU) serta seluruh jawatankuasa yang terlibat atas komitmen yang diberikan dalam menjayakan majlis ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Mengambil kesempatan di bulan Ramadan yang penuh mulia ini, majlis yang julung kali diadakan ini merupakan inisiatif yang digerakkan oleh Kerajaan Negeri untuk menghimpunkan seluruh warga pendidik dan jabatan berkaitan di PPD SPU supaya dapat mengukuhkan lagi ikatan ukhwah sesama kita dan seterusnya bersama-sama menggembleng tenaga ke arah meningkatkan kecemerlangan pendidikan di SPU.
Saya berharap hubungan dua hala ini dapat membantu kita semua untuk bergerak dalam satu kumpulan yang kuat sebagai persiapan untuk membina ekosistem pendidikan yang lebih baik serta memangkin lebih banyak kecemerlangan anak-anak kita pada masa akan datang.
Bagi pihak kepimpinan Kerajaan Negeri, kita komited dan akan terus konsisten dengan amalan pentadbiran yang berasaskan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), memastikan pembangunan negeri ini dalam segala aspek berada atas landasan yang tepat serta memastikan negeri Pulau Pinang terus pesat membangun dalam suasana penuh harmoni di antara semua kaum sekaligus melahirkan masyarakat yang berpaksikan kepada prinsip keadilan, demokrasi dan toleransi.
Malah bagi menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap mutu pendidikan di negeri ini yang sentiasa menjadi peneraju dalam pendidikan di negara ini, majlis hari ini akan turut menyaksikan pemberian 200 buah naskah Al-Quran Pimpinan Ar-Rahman yang bernilai RM27,000 yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada murid-murid terpilih di daerah Seberang Perai Utara (SPU) bertujuan untuk memudahkan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mata pelajaran tilawah dan mampu memberi kefahaman terhadap bacaan yang dibaca.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Seperti yang saya sering nyatakan, pembangunan modal insan, pembangunan infrastruktur dan perancangan untuk masa depan negeri merupakan tiga (3) indikator utama untuk memandu negeri ini dalam merealisasikan Visi Penang 2030.
Sebagai contoh bagi indikator pembangunan modal insan, Kerajaan Negeri telah menjalankan program tuisyen percuma yang telah memanfaatkan lebih 3,000 pelajar di seluruh negeri ini. Tidak setakat itu sahaja, Kerajaan Negeri juga telah melancarkan ‘Penang Internship Programme’ yang memberi insentif kepada syarikat tempatan untuk melatih pelajar pelatih (intern) supaya dapat membangunkan pembangunan modal insan atau ‘human capital’ dalam negeri.
Kita berharap dengan pelbagai pengisian dan program yang diadakan dari semasa ke semasa, ia dapat membantu warga pendidik dan anak-anak pelajar di negeri ini untuk menerokai segala peluang yang diberikan demi pembangunan diri dan institusi secara keseluruhannya.
Saya tidak bercadang mengambil masa yang lama untuk berucap pada petang ini, justeru itu, sekali lagi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang sudi meluangkan masa untuk sama-sama memeriahkan dan merealisasikan majlis ini.
Semoga majlis pada hari ini menjadi titik mula kepada lebih banyak jalinan kerjasama pada masa-masa akan datang.
Sekian, terima kasih