MAJLIS ANGKAT SUMPAH PERSATUAN BOMBA SUKARELA TAMAN MERAK JAYA

TEKS UCAPAN YAB TUAN CHOW KON YEOW

KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS ANGKAT SUMPAH PERSATUAN BOMBA SUKARELA TAMAN MERAK JAYA

9 APRIL 2022

 

 

YB Phee Boon Poh

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan

YB Goh Choon Aik

ADUN Bukit Tambun

YBrs. Tuan Mohd Tarmizi bin Abdul Salam

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap

YBrs. Tuan Goh Then Lai

Penaung Penasihat Bomba Sukarela Taman Merak Jaya

YBrs. En Loh Han Meng (PJK)

Penasihat Undang Undang Bomba Sukarela Taman Merak Jaya

Para Jemputan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Taman Merak Jaya atas jemputan sempena Majlis Angkat Sumpah Ahli Jawatankuasa (AJK) bagi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Taman Merak Tahun 2023-2025 ini.

Saya secara peribadi amat gembira untuk menerima jemputan ke majlis sebegini kerana inilah platform untuk saya bertemu dengan anda semua yang merupakan antara pasukan barisan hadapan terpenting yang ada di negeri ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sejak ditubuhkan pada sekitar tahun 2008, kini Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Taman Merak Jaya boleh berbangga dengan kekuatan ahli seramai 80 orang yang terlatih dan cekap dalam mengendalikan tugas-tugas operasi pemadaman dan penyelamatan kepada komuniti.

Meskipun ada yang mempunyai pekerjaan tetap di tempat lain, namun atas minat dan semangat yang tinggi, mereka ada di sini bagi meneruskan kerja-kerja sukarelawan ini.

Sesungguhnya komitmen dan penglibatan tanpa mengira batas masa dan cuaca demi menjaga komuniti adalah sesuatu yang harus diberikan pujian. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sepertimana yang dimaklumkan, gabungan kali ini melibatkan pelantikan semula 12 ahli sedia ada dan 8 muka baharu yang akan dilantik secara rasmi dan menerima watikah sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Taman Merak Jaya bagi tahun 2023-2025.

Semoga dengan pelantikan barisan kepimpinan baharu ini akan membantu menguatkan dan memantapkan struktur dan organisasi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Taman Merak Jaya secara keseluruhannya.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada seluruh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) atas kemajuan yang dikecapi selama ini dan diharapkan pelantikan ini dapat menaikkan semangat pasukan ini untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.

Kerajaan Negeri amat menghargai segala usaha dan keringat yang telah diberikan oleh anda semua yang sanggup mengambil risiko demi berkhidmat kepada masyarakat dan negeri.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang