MAJLIS PELANCARAN FORUM EKSEKUTIF 5G@PULAU PINANG

TEKS UCAPAN YAB CHOW KON YEOW

KETUA MENTERI PULAU PINANG BERSEMPENA

MAJLIS PELANCARAN FORUM EKSEKUTIF 5G@PULAU PINANG

9 APRIL 2023, AHAD

2.00 PETANG – 4.30 PETANG

 

GRAND BALLROOM, HOTEL EASTERN & ORIENTAL

 

Terima kasih kepada saudari Pengacara Majlis;

Yang Berhormat Dato’ Mohd. Sayuthi bin Bakar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang;

Yang Berhormat Zairil Khir Johari,

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan;

Moderator serta ahli-ahli panel forum;

Ketua-Ketua Jabatan dari Agensi Kerajaan Negeri,

Wakil-wakil Network Facility and Service Provider (NFP and NSP),

Rakan-rakan media,

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Salam Sejahtera dan Salam Madani.

 

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur atas inisiatif penganjuran Majlis Pelancaran Forum Eksekutif 5G pada petang yang berbahagia ini.

Globalisasi telah bermula dengan pergerakan manusia, perdagangan dan aliran modal melalui dunia tanpa sempadan secara kaedah konvensional.

Kini, dalam evolusi perindustrian keempat (IR 4.0), dunia tanpa sempadan dihubungkan melalui mesin yang boleh berkomunikasi antara satu sama lain menggunakan Internet of Things (IoT) dan mempunyai keupayaan automasi yang lebih pintar dan intuitif dengan gabungan kecerdasan buatan, robotik, data besar, realiti maya dan kejuruteraan perisian.

Pulau Pinang memahami kepentingan teknologi 5G dalam evolusi perindustrian keempat dan potensinya untuk meningkatkan prospek ekonomi selain dapat menyediakan pekerjaan baharu kepada rakyat di negeri ini. Teknologi 5G ini akan membuka inovasi dan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, pendidikan, pentadbiran kerajaan, penjagaan kesihatan, keselamatan awam dan pengangkutan.

Menurut kajian oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), 5G berpotensi untuk menyumbang tambahan RM12.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dalam tempoh lima (5) tahun iaitu dari 2021 sehingga 2025 dan bakal mewujudkan lebih 39,000 pekerjaan dalam tempoh masa yang sama.

PRESTASI TELEKOMUNIKASI DI NEGERI PULAU PINANG

Para hadirin sekalian,

Saya masih ingat lagi semasa memegang portfolio telekomunikasi pada 10 tahun lalu, banyak perkara dasar yang perlu ditambah baik dalam memastikan Pulau Pinang tidak ketinggalan dalam penyediaan infrastruktur telekomunikasi.

Antara usaha-usaha yang dilaksanakan pada ketika itu adalah dengan mempercepatkan kelulusan permit telekomunikasi melalui pengecualian kebenaran merancang dan membatalkan status One Stop Agency (OSA) terhadap PDC Telekomunikasi bagi pembinaan struktur komunikasi.

Kini, Pulau Pinang telah menjadi ‘champion’ dalam memudahcara pembangunan dan naik taraf infrastruktur telekomunikasi di Malaysia. Beberapa garis panduan baharu telah diwujudkan untuk membantu industri mempercepatkan penambahbaikan liputan telekomunikasi antaranya ‘Garis Panduan Clip on Solution’ dan ‘Garis Panduan Smart Street Pole’.

Hasilnya terbukti dengan kepesatan pembangunan struktur infrastruktur telekomunikasi baharu dalam masa yang singkat dan dapat menyelesaikan masalah liputan telekomunikasi di kawasan-kawasan bermasalah berbanding 10 tahun sebelum ini.

Pada tahun 2020, Pulau Pinang merupakan negeri pertama dalam negara yang telah mengiktiraf telekomunikasi sebagai utiliti ketiga selepas kemudahan elektrik dan air. Ini bermakna penyediaan telekomunikasi perlu dirancang lebih awal bagi pembangunan baharu dan perlu dibekalkan pada pembangunan sedia ada kerana semasa dunia dilanda pandemik COVID-19, komunikasi secara jelas menjadi keperluan kepada semua pihak untuk meneruskan aktiviti samada dalam bidang ekonomi, pendidikan mahupun kesihatan.

Selain itu, Pulau Pinang juga telah menjadi negeri pertama di Wilayah Utara yang telah melancarkan perkhidmatan rangkaian 5G di Pulau Pinang pada 9 September tahun lalu. Teknologi 5G membolehkan rakyat di negeri ini menikmati pengalaman teknologi mudah alih terkini serta menawarkan kelajuan lebih tinggi, rangkaian lebih terjamin, latensi yang rendah dan kapasiti rangkaian lebih besar.

Malah, menerusi teknologi 5G juga, rakyat Pulau Pinang kini boleh menikmati kelajuan muat turun, melayari laman web dan penstriman video yang lebih pantas.

Berdasarkan statistik liputan telekomunikasi daripada MCMC pada suku keempat tahun 2022, Pulau Pinang telah merekodkan kadar penembusan jalur lebar talian tetap bagi setiap 100 penduduk di negeri ini sebanyak 110 peratus iaitu melebihi kadar nasional 85.82 peratus. Bagi peratusan liputan 4G pula, Pulau Pinang telah mencapai sebanyak 99.85 peratus berbanding sasaran nasional iaitu sebanyak 96.92 peratus.

Bagi kelajuan muat turun mudah alih pula, Pulau Pinang mencatatkan kelajuan sebanyak 122.61Mbps juga melebihi sasaran nasional iaitu 116.03Mbps.

CABARAN PELAKSANAAN 5G DI PULAU PINANG

 

Saudara dan Saudari sekalian,

 

Dalam merealisasikan inisiatif berkaitan, antara cabaran yang dihadapi adalah halangan terhadap pemasangan infrastruktur telekomunikasi akibat kekhuatiran berkaitan kesihatan dan keselamatan daripada medan electromagnet (EMF).

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia secara berkala telah turun padang memberi penerangan berkaitan dengan rangkaian 5G serta kesan radiasi daripada struktur telekomunikasi kepada rakyat. Namun, adalah lebih penting semua pemegang taruh terutamanya barisan Ahli Parlimen, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli-ahli Majlis mendapat informasi yang tepat berkaitan perkara ini.

Semua yang hadir pada hari ini akan menjadi duta kecil kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk berkongsi maklumat serta informasi kepada semua pemegang taruh lain khususnya kepada rakyat di lokaliti masing-masing. Maklumat yang sahih adalah penting bagi memastikan pembangunan infrastruktur telekomunikasi di lapangan tidak terganggu dan dapat berjalan dengan lancar.

Kerajaan Negeri pada masa kini berada di landasan yang betul dalam menambah baik kadar liputan telekomunikasi sedia ada dan dalam perancangan pembangunan infrastuktur telekomunikasi yang baharu. Adalah diharapkan semua jabatan dan agensi di negeri Pulau Pinang khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat menyediakan fasilitasi terbaik kepada pemain industri telekomunikasi bagi menarik minat penyedia perkhidmatan dan infrastruktur untuk melabur di negeri ini.

PENUTUP

 

Sebelum mengakhiri ucapan saya pada petang ini, izinkan saya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Digital Nasional Berhad (DNB) yang menjalinkan kerjasama erat bersama-sama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memastikan pelaksanaan rangkaian 5G di Negeri Pulau Pinang berjalan dengan lancar.

Saya difahamkan bahawa melalui Pelan Pelaksanaan 5G, pihak DNB menyasarkan 472 lokasi di seluruh negeri Pulau Pinang, dan diharapkan sasaran berkaitan dapat dilaksanakan mengikut perancangan yang telah dibuat.

Kerajaan Negeri dalam pada itu juga mengalu-alukan kerjasama semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan dan pihak swasta terutamanya syarikat penyedia perkhidmatan serta infrastruktur lain untuk bersama-sama merealisasikan perancangan projek infrastruktur telekomunikasi 5G di Pulau Pinang selaras dengan visi Kerajaan Negeri untuk menjadi Negeri Pintar menjelang tahun 2030.

Serentak itu, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada YB Zairil Khir Johari selaku Pengerusi Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negari (MMKN) Infrastruktur dan Pengangkutan yang telah bertungkus-lumus menjayakan perancangan dan pelaksanaan peningkatan prestasi ketersediaan telekomunikasi melalui Pelan Induk Jaringan Telekomunikasi Pulau Pinang atau PCMP yang seterusnya telah membawa teknologi 5G ke negeri Pulau Pinang menjadi realiti.

Akhir kata, adalah menjadi impian saya agar Pulau Pinang terus maju dengan penyediaan infrastruktur komunikasi 5G yang efisien bagi memastikan semua rakyat negeri ini mendapat capaian internet yang bertaraf Gigabit. Semoga dengan kerjasama yang erat antara semua pihak, Pulau Pinang akan terus bergerak maju ke hadapan dan membawa kemakmuran kepada rakyat secara keseluruhan.

Saya berharap Forum Eksekutif 5G akan memberikan inspirasi hari ini untuk kemungkinan hari esok. Dengan ini, saya merasmikan Forum Eksekutif 5G Negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang