MAJLIS TAHLIL & IFTAR ANJURAN PERSATUAN SAUDAGAR-SAUDAGAR PERMATA DAN PENUTIAN WANG MUSLIM PULAU PINANG (MJMC)

MAJLIS TAHLIL & IFTAR

ANJURAN PERSATUAN SAUDAGAR-SAUDAGAR PERMATA DAN PENUTIAN WANG MUSLIM PULAU PINANG (MJMC)

 

12 APRIL 2023, RABU ; 6.45 PETANG

20, LORONG SOO HONG

_____________________________________________

 

YB Teh Lai Heng

ADUN Komtar

YB Daniel Gooi Zi Sen

ADUN Pengkalan Kota

 

Yang Berusaha Dr. Haji Anvar Hussain

Presiden Persatuan Saudagar-Saudagar Permata dan Penutian Wang Muslim Pulau Pinang (MJMC)

Barisan Ahli Jawatankuasa Persatuan Saudagar-Saudagar Permata dan Penutian Wang Muslim Pulau Pinang

Para Jemputan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

  • Sebagai pembuka kata, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan kepimpinan Persatuan Saudagar-Saudagar Permata dan Penutian Wang Muslim Pulau Pinang (MJMC) atas jemputan ke Majlis Tahlil & Iftar pada petang yang berbahagia ini;
  • Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri amat berbesar hati dapat menyertai acara tradisi iftar ini bersama-sama anda semua;
  • Tahniah dan syabas kepada barisan kepimpinan Persatuan Saudagar-Saudagar Permata dan Penutian Wang Muslim Pulau Pinang (MJMC) jua yang telah menjayakan penganjuran ini;
  • Sejak ditubuhkan pada tahun 1973, MJMC yang terdiri daripada gabungan dua (2) perniagaan berbeza iaitu Peniaga Kedai Emas dan Pengurus Wang (Money Changer) yang diletakkan di bawah satu payung ini mempunyai keunikannya yang tersendiri;
  • Pujian harus diberikan kepada seluruh ahlinya atas komitmen bukan sahaja demi kelangsungan perniagaan masing-masing, tetapi juga dalam meneruskan agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada komuniti setempat;
  • Hari ini, kita boleh menarik sedikit nafas lega selepas melalui suatu tempoh panjang dan sukar ekoran pandemik COVID-19;
  • Meskipun virus ini masih berada di sekeliling kita, namun keadaan kini adalah bertambah baik bagi membolehkan kita semua kembali meneruskan kepada kehidupan normal;
  • Di peringkat Kerajaan Negeri, kita komited untuk meneruskan agenda-agenda pemerkasaan dan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini selari dengan aspirasi Visi Penang2030, dan juga gagasan Malaysia Madani di bawah pentadbiran YAB Perdana Menteri Malaysia;
  • Yang mana di pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pelbagai program-program kebajikan i-Sejahtera telah dilaksanakan sejak tahun 2008 dan ia akan diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM53.00 juta pada tahun ini;
  • Manakala di bawah gagasan Malaysia Madani, Kerajaan Negeri akan bersama-sama Kerajaan Persekutuan menjayakan inisiatif Madani antaranya program-program Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Jualan Rahmah, Pakej Rahmah, Sumbangan Tunai Rahmah dan lain-lain yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri serta negara ini. Pendekatan berkaitan adalah bagi memastikan kerangka Malaysia Madani menjadi pemacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah dan kearifan tempatan;
  • Justeru, suka untuk saya mengajak tuan-tuan dan puan-puan yang menjadi rakan karib kepada Kerajaan Negeri untuk bersama-sama dengan stakeholders serta agensi berkaitan bagi membolehkan dasar-dasar digubal mengikut kesesuaian dan keutamaan semasa;
  • Saya berharap jalinan kerjasama yang erat ini mampu menjadikan kita sebuah pasukan yang kuat demi kemajuan dan kemakmuran negeri dan rakyat di negeri ini;
  • Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada barisan jawatankuasa yang terlibat dalam memastikan majlis pada petang ini berjalan dengan lancar dan teratur;
  • Semoga dengan penganjuran acara tahunan ini menjadi medium bagi merapatkan hubungan silaturahim sebagai sebuah keluarga besar antara barisan kepimpinan, ahli serta komuniti setempat, di samping mengimarahkan bulan yang penuh keberkatan ini;
  • Selamat berbuka dan semoga kita diberikan kesempatan untuk berjumpa lagi dalam majlis-majlis yang akan datang;

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang