MAJLIS PERASMIAN DEWAN ORANG RAMAI CHEROK TO’KUN ATAS & IFTAR RAKYAT

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN DEWAN ORANG RAMAI CHEROK TO’KUN ATAS & IFTAR RAKYAT

 

14 APRIL 2023 (JUMAAT)

DEWAN ORANG RAMAI, CHEROK TO’KUN

Yang Berhormat Chong Eng

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam

 

Yang Berhormat Zairil Khir Johari

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan

 

Yang Berhormat Dr Hajah Norlela binti Ariffin

Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan,

Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan

Yang Berhormat Lee Khai Loon

ADUN Machang Bubuk

 

Yang Berhormat Heng Lee Lee

ADUN Berapit

Yang Berusaha Tuan Kamarul Haizal bin Koderat

Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT)

ACP Tan Cheng San

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah

Yang Berusaha Ir. Ahmad Nadzri bin Abdul Majid

Pengarah, Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang

Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan

Ketua-ketua Komuniti dan barisan MPKK

Para Jemputan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih atas jemputan sempena Majlis Perasmian Dewan Orang Ramai Cherok To’kun Atas pada petang 23 Ramadan yang berbahagia ini.

Tahniah dan syabas kepada Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang atas komitmen yang telah diberikan sehingga terbinanya dewan ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Pelbagai lapisan prosedur telah dilalui sebelum dewan yang tersergam indah ini berjaya disiapkan di mana beberapa peringkat rundingan dan perbincangan perlu diadakan dari semasa ke semasa melibatkan pelbagai komponen bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul termasuklah ketika proses pengambilan balik tanah, permohonan peruntukan, penentuan reka bentuk dan lain-lain isu berbangkit.

Dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM 3,268,000 proses pengambilan tanah seluas 0.77 ekar ini telah menelan belanja sebanyak RM 1,705,000. Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjaya memiliki tapak dewan ini secara rasmi pada 24 Ogos 2020. Kerja-kerja pembinaan kemudiannya diteruskan dengan kos RM 1,563,000. Akhirnya pada tanggal 26 Oktober 2022, projek ini berjaya disiapkan dengan dilengkapi kemudahan gelanggang badminton, pejabat pengurusan, bilik utiliti, tandas, surau dan ruang pantri. Sekali lagi, syabas saya ucapkan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Selaras dengan Visi Penang2030 - Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, adalah menjadi hasrat dan komitmen Kerajaan Negeri agar aspek pembangunan fizikal seperti dewan ini sentiasa selari dengan pembangunan sosial dalam memastikan kelestarian pembangunan Pulau Pinang dicapai secara inklusif dan menyeluruh.

Kerajaan Negeri menghargai segala komitmen yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat dalam menyiapkan projek yang mencatatkan sejarah baru kepada KADUN Machang Bubuk ini khususnya.

Diharapkan para pemimpin dan masyarakat setempat dapat memaksimakan penggunaan dewan ini dalam melaksanakan pelbagai aktiviti sosial yang memberi manfaat kepada komuniti setempat yang merangkumi sembilan (9) buah kampung di bawah KADUN Machang Bubuk dengan populasi seramai 6,750 orang. Selain aktiviti sukan, saya difahamkan dewan ini juga digunakan oleh penduduk untuk mengadakan acara keramaian bagi mengeratkan lagi ukhuwah sesama penduduk setempat.

Penganjuran majlis perasmian dewan yang dijalankan serentak dengan majlis Iftar Rakyat pada hari ini secara tidak langsung mampu menyuntik nilai perpaduan dalam kalangan rakyat ke arah merealisasikan intipati Malaysia Madani yang digagaskan oleh Kerajaan Persekutuan merangkumi aspek-aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah.

Rakyat Malaysia, terutama di Pulau Pinang khususnya telah menjadi saksi bahawa perpaduan dan permuafakatan rakyat itu sentiasa subur namun hanya kerana segelintir individu dan pihak yang kurang bertanggungjawab, sentimen perkauman sentiasa digembar-gemburkan demi kepentingan mereka sendiri. Saya amat yakin bahawa tuan-tuan, puan-puan dan semua penduduk di sini tidak mudah terpedaya dengan tipu daya dan sentimen yang hanya akan meruntuhkan semangat perpaduan yang sangat kukuh sesama kita.

Di kesempatan ini juga, sukacitanya saya umumkan bahawa sebentar lagi, akan disampaikan sumbangan wang ihsan daripada Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bernilai RM 1,000 kepada ketua keluarga yang yang terjejas akibat banjir yang melanda daerah Seberang Perai Tengah tahun lalu.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Dewan Orang Ramai Cherok To’kun Atas Daerah Seberang Perai Tengah.

Selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat berbuka puasa kepada semua.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang