SIDANG AKHBAR BERKAITAN REQUEST FOR PROPOSAL (RFP)  UNTUK PROJEK KERETA KABEL BUKIT BENDERA

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

DI SIDANG AKHBAR BERKAITAN REQUEST FOR PROPOSAL (RFP)

 UNTUK PROJEK KERETA KABEL BUKIT BENDERA

11 JANUARI 2021

 

Dato’ Cheok Lay Leng

Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP)

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke Sidang Media berkaitan Permintaan Cadangan atau Request For Proposal (RFP) bagi projek kereta kabel Bukit Bendera.

Susulan pembatalan peruntukan bernilai RM100 juta bagi membangunkan kereta kabel Bukit Bendera oleh Kerajaan Persekutuan pada April 2020, hari ini Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) ingin mengumumkan hasrat untuk meneruskan projek tersebut melalui konsep kerjasama dengan pihak swasta.

Ini adalah kerana Kerajaan Negeri berasakan selain kereta api furnikular sedia ada, kereta kabel ini mampu menjadi mod pengangkutan tambahan terutamanya dalam mengurangkan kesesakan pada waktu puncak sekaligus menyumbang kepada pembangunan pelancongan Negeri Pulau Pinang secara berterusan.

Seperti yang semua sedia maklum, sistem kereta kabel amat dikenali sebagai mod Enviromental Sustainable Transport (EST) yang disokong dengan data serta penyelidikan sahih. Terdapat banyak taman negara, rizab alam semula jadi, malah tapak warisan dunia UNESCO di dunia berjaya melaksanakan sistem kereta kabel dengan membabitkan ruangan kecil dan metodologi pembinaan yang mesra alam. 

Kajian pra-kebolehlaksanaan (pre-feasibilty) projek kereta kabel telah dijalankan dan penilaian menyeluruh di pasaran, sosial, ekonomi, impak alam semulajadi, model kewangan, potensi, pemilihan penyelarasan serta lain-lain telah dijalankan oleh pihak perunding berkaliber.

Dan berdasarkan kajian pra-kebolehlaksanaan yang dijalankan ini, terdapat beberapa laluan pilihan untuk pelaksanaan projek kereta kabel iaitu menerusi Taman Botani, Taman Belia (Youth Park) dan Teluk Bahang. Malah, turut menjadi kemungkinan bahawa bangunan parkir bertingkat akan dibina di beberapa lokasi berbeza bergantung kepada penjajaran serta lokasi stesen bawah kereta kabel berkenaan.

PBBPP turut mencadangkan penggunaan kenderaan elektronik bagi membawa pengunjung dari bangunan parkir bertingkat ke stesen bawah kereta api.

Ekoran permohonan PBBPP untuk mengiktiraf Bukit Bendera sebagai Rizab Biosfera UNESCO iaitu di bawah program Man and The Biosphere (MAB), perancangan dan ramalan pembangunan perlu dilakukan secara teliti demi masa depan Bukit Bendera serta negeri Pulau Pinang secara menyeluruh. 

Dengan kata lain, projek kereta kabel ini bukan sebuah projek persendirian, sebaliknya ia memerlukan banyak pertimbangan serta perbincangan yang perlu dilakukan secara kolektif. Komitmen ini jelas membuktikan pendekatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejajar dengan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Projek kereta kabel Bukit Bendera ini dijangka akan mengambil masa selama 3-4 tahun untuk disiapkan dan beroperasi sepenuhnya.

Justeru, Kerajaan Negeri ingin mengalu-alukan  penyertaan dari syarikat-syarikat berdaftar yang layak dan mempunyai kepakaran untuk mengambil bahagian dalam proses RFP ini bermula 13 Januari 2021 (Rabu) sehingga 24 Mei 2021.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang