MAJLIS SAMBUTAN HARI PENDERMA DARAH SEDUNIA PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI PENDERMA DARAH SEDUNIA
PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022
12 JUN 2022
PERSATUAN UGAMA BUDDHA BUTTERWORTH
YB Dato’ Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
YB Phee Boon Poh
Exco Alam Sekitar dan Kebajikan
YB Soon Lip Chee
Exco Belia dan Sukan
YB Lim Guan Eng
Ahli Parlimen Bagan
Dr. Vikneswaran a/l Murugiah
Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan,
Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP)
Encik Tan Gee Beng
Pengerusi Majlis & Penyelia Kebajikan Persatuan Ugama Buddha Butterworth
Para Jemputan
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Ugama Buddha Butterworth yang telah menggerakkan inisiaitif penganjuran Majlis Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 pada petang ini.
Bersempena dengan Hari Penderma Darah Sedunia yang diraikan pada setiap 14 Jun di seluruh dunia, penganjuran ini amat tepat pada masanya bagi meningkatkan kesedaran serta menggalakkan orang ramai untuk terus menjalankan tanggungjawab sosial dengan aktiviti menderma darah.
Saya amat gembira untuk turut serta bersama dengan rakan-rakan penganjur bagi menyatakan sokongan kepada tuan-tuan dan puan-puan yang telah banyak menyumbangkan tenaga dan memberikan kerjasama kepada pihak hospital sepanjang masa.
Kerajaan Negeri amat bangga dan berterima kasih kepada semua pihak khususnya badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang banyak terlibat dalam menjalankan jelajah aktiviti derma darah seperti Persatuan Ugama Buddha Butterworth, Pertubuhan Hui Yin Seh, Persatuan Penderma Darah Seberang Perai Utara, St John Ambulans Malaysia Pulau Pinang, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan lain-lain.
Persatuan Ugama Buddha Butterworth sendiri telah membantu dalam mengumpulkan darah sebanyak 7,688 beg darah untuk diagihkan kepada 11 buah hospital, semasa tempoh pandemik COVID-19. Tahniah dan syabas saya ucapkan.
Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada para penderma darah yang cukup berani dalam menyalurkan bantuan meskipun keadaan COVID-19 ketika itu agak membimbangkan.
Anda adalah wira negara atas pengorbanan menderma darah secara sukarela bagi membantu menyelamatkan nyawa pesakit.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Saya dimaklumkan bahawa sebentar nanti kita akan melancarkan satu sistem yang merangkumi peranan para penganjur, penderma darah dan penerima darah sebagai salah satu medium penambahbaikan yang diwujudkan untuk meningkatkan kualiti proses mengumpulkan darah yang diperlukan.
Sistem yang disumbangkan oleh Happy Icon Sdn Bhd ini dapat memudahkan orang ramai yang ingin menderma darah dari semasa ke semasa, mendapatkan info terkini berkenaan dengan program derma darah dan mendaftarkan diri sebagai sukarelawan.
Saya percaya dengan adanya sistem ini, segala urusan berkenaan dengan pendermaan dan penggunaan darah dapat dijalankan dengan lebih lancar.
Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua yang telah menjayakan majlis pada hari ini. Diharapkan kempen-kempen akan terus dipergiatkan agar dapat menarik lebih ramai masyarakat untuk memulakan langkah pertama dan menjadikan amalan menderma darah sebagai budaya hidup sihat.
Sekian, terima kasih.